Monday, December 1, 2008

Ramai tidak bersekolah di negara miskin

GENEVA: Seorang daripada lapan kanak-kanak di negara membangun tidak memperoleh pendidikan sekolah rendah, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini bermakna sasaran untuk memberi pendidikan di peringkat sekolah rendah bagi semua kanak-kanak dunia menjelang 2015 tidak akan tercapai. Daripada kira-kira 75 juta kanak-kanak di negara membangun yang tidak mendapat pendidikan sekolah rendah, kira-kira 65 peratus adalah kanak-kanak perempuan.
Di sub-Sahara Afrika, menurut laporan Pertubuhan Budaya, Saintifik dan Pendidikan PBB (Unesco), kira-kira satu pertiga kanak-kanak tidak berpeluang bersekolah, walaupun ada kemajuan di Tanzania dan Habsyah. "Kanak-kanak di Britain atau Perancis mempunyai lebih banyak peluang ke universiti berbanding kanak-kanak di Nigeria atau Senegal menamatkan persekolahan rendah. Pada masa sama, 20 peratus kanak-kanak daripada keluarga miskin di Habsyah, Mali dan Nigeria adalah tiga kali kurang kemungkinan untuk mendapat pendidikan sekolah rendah berbanding 20 peratus kanak-kanak daripada keluarga kaya, menurut laporan berkenaan. - Reuters

dipetik dari Berita Harian. November 2008.

No comments: