Saturday, December 13, 2008

Nota 25 : Faktor-faktor yang mempengaruhi migrasi

1. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan penduduk cenderung untuk berpindah. Dorongan penduduk untuk berpindah ini bergantung kepada faktor tolakan kawasan asal dan faktor tarikan kawasan destinasi. Antaranya termasuk:

(a). Faktor ekonomi.
i) Perpindahan berlaku disebabkan keadaan mundur di kawasan asal. Pertambahan penduduk yang pesat di luar bandar menyebabkan kekurangan kawasan pertanian Kawasan pertanian yang sempit dengan daya pengeluaran yang rendah boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah ekonomi.

ii) Masalah ekonomi seperti kekurangan pekerjaan, pengangguran, produktiviti dan pendapatan rendah, dibelenggu dengan lingkaran kemiskinan dan lain-lain bertindak menolak keluar penduduk luar bandar ke bandar yang mempunyai tarikan ekonomi secara khusus seperti peluang pekerjaan yang luas dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

(b). Faktor sosial.
i) Penduduk berpindah terutamanya kerana ingin menikmati kemudahan yang terdapat di bandar. Kekurangan kemudahan asas atau sosial di luar bandar dan kewujudan kemudahan sosial dan kemudahan bandar yang banyak seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, hiburan dan lain-lain mampu menarik terutama golongan muda ke bandar.
ii) Ramai juga yang berpindah ke bandar kerana ingin melanjutkan pelajaran, manakala sebahagian lagi berpindah atas sebab perkahwinan, mengikut keluarga dan sebagainya.

iii) Adanya jaringan dan sistem pengangkutan yang baik yang meningkatkan ketersampaian, mudah dan cepat sampai dan seterusnya memangkinkan lagi pergerakan.

(c). Dasar kerajaan.
i) Dasar dan galakkan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak seperti Dasar Pembangunan Wilayah dan rancangan penempatan peneroka, rancangan transmigrasi, dasar perindustrian dan lain-lain yang mampu menjadi daya penarik.

ii) Misalnya dasar kerajaan yang banyak menumpukan pembangunan di kawasan bandar dengan menubuhkan pusat perindustrian seperti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Senawang, Tampoi, Perai dan lain-lain dan menaiktaraf bandar-bandar menjadi pusat pentadbiran, pengangkutan, perdagangan, perniagaan, kebudayaan dan pendidikan mendorong
migrasi penduduk luar bandar ke bandar.

No comments: