Monday, December 15, 2008

Nota 29: Kesan Migrasi Antarabangsa

1. Perpindahan antarabangsa meninggalkan beberapa kesan sama ada ke atas negara yang ditinggalkan ataupun yang didatangi. Namun, kesan yang lebih nyata dapat diperhatikan di negara yang didatangi.

(a). Kesan langsung akibat kemasukan penduduk secara besar-besaran ke sesebuah negara ialah struktur umur dan jantina penduduk menjadi tidak seimbang. Ini kerana, sebahagian besar penghijrah terdiri dari kaum lelaki. Golongan dewasa juga lebih ramai daripada kumpulan umur lain. Kesan seperti ini dapat diperhatikan pada piramid penduduk Amerika Syarikat dan Malaysia. Bagaimanapun, keadaan ini hanya bersifat sementara. Penghijrahan secara berpilih (mengutamakan wanita) telah mengimbangkan semula keadaan ini.

(b). Perpindahan migrasi juga menyebabkan penumpuan penduduk di kawasan-kawasan tertentu dalam negara penerima. Penghijrah terutama yang bermotifkan ekonomi akan tertumpu di kawasan maju khususnya bandar-bandar utama yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi. Di Malaysia, sebahagian besar penghijrah tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur dan mendiami petempatan setinggan di pinggir bandar yang akhirnya menimbulkan masalah kesesakan dan berbagai-bagai masalah sosial lain.

(c). Perpindahan antarabangsa telah mewujudkan penduduk berbilang kaum atau masyarakat majmuk seperti yang dialami Australia dan Malaysia. Pada 2001, daripada 21 juta penduduk Australia 68 peratus adalah penduduk bukan keturunan tempatan. Di Malaysia, kedatangan penduduk dari kawasan yang masyarakatnya berbeza dari segi budaya dan agama menyukarkan proses integrasi kaum. Penumpuan kaum di kawasan tertentu menggalakkan proses pengasingan tempat kediaman menurut kaum dan agama.

(d). Tidak semua kesan perpindahan bersifat negatif. Perpindahan juga meninggalkan kesan yang positif ke atas negara yang didatangi. Kemasukan penduduk kulit putih menggantikan hamba abdi kulit hitam di Amerika Utara telah memajukan sektor pertanian di negara tersebut. Kawasan pertanian dimajukan secara besar-besaran. Lombong dimajukan untuk memperoleh hasil galiannya. Akibatnya, ekonomi negara turut berkembang maju.

(e). Keadaan serupa dapat diperhatikan di Malaysia. Kedatangan orang Cina dan India sejak sebelum merdeka telah memajukan perusahaan perlombongan dan pertanian dagang di negara ini seterusnya menggalakkan pembangunan dari segi infrastruktur. Petempatan moden dibuka dan dimajukan. Proses pembandaran berlaku dengan pesat. Akibatnya, keadaan ekonomi dan sosial penduduk bertambah baik secara tidak langsung. Sehingga hari ini pun, kemasukan buruh asing untuk bekerja di sektor-sektor yang kurang pekerja telah membantu memajukan ekonomi negara.

(f). Pada masa ini, banyak negara mengalu-alukan kedatangan penghijrah. Pertumbuhan penduduk semula jadi yang perlahan menyebabkan banyak negara maju berdepan masalah kekurangan tenaga kerja. Malaysia menerima baik kedatangan pekerja dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar bagi memenuhi keperluan tenaga buruh mahir yang mendesak di sektor-sektor terpilih. Walau bagaimanapun, kemasukan tenaga kerja asing telah menyebabkan pengaliran keluar wang negara. Pada 2004, pekerja asing di negara ini telah mengirim balik wang ke negara asal mereka berjumlah RM15 200 juta, meningkat 52 peratus daripada RM10 000 juta pada 2003.

(f). Kemasukan secara beramai-ramai juga telah meningkatkan jumlah penduduk di negara penerima. Dengan jumlah penghijrah yang ramai, negara maju dapat mengimbangkan kadar kesuburan yang semakin menurun khususnya di Eropah dan Amerika Utara. Negara-negara Eropah misalnya memerlukan 20.3 juta penghijrah manakala Amerika Syarikat memerlukan 14.3 juta antara tahun 2000 dan 2015 berbanding tujuh juta dan 10.8 juta antara tahun 1980 dan 1995 untuk mengatasi masalah paras pertumbuhan semula populasi yang semakin menurun.

(g). Di Singapura pula, kebimbangan terhadap kekurangan tenaga kerja pada masa depan menyebabkan kerajaan Singapura bercadang melonggarkan peraturan imigresen untuk menambah bilangan penduduk. Kementerian Sumber Manusia akan melonggarkan syarat termasuk pengeluaran visa pekerjaan bagi membolehkan rakyat asing terus tinggal selepas kontrak mereka berakhir. selain itu, kriteria bagi membenarkan graduan asing dan dewasa berkelayakan tinggal lebih lama daripada enam bulan ditetapkan bagi mencari kerja baru akan dikaji semula. Mewujudkan kempen sesuai bagi menarik warga asing berkenaan dan sistem penilaian secara online bagi membolehkan rakyat asing meneliti kelayakan bagi mendapatkan hak pemastautin tetap.

3 comments:

Hyuneiz said...

it can help me do my ''kerja kursus...like

Siti Anisah said...

can i have reference

Unknown said...

Fakk uuu