Monday, December 1, 2008

Nota 5: Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan penduduk dunia

1. Taburan penduduk dunia dipengaruhi pertamanya oleh keadaan fizikal muka bumi.
2. Padang Pasir Sahara, Asia Tengah khususnya Mongolia, Utara Kanada, benua beku Antartika, Lembah Amazon dan Australia Tengah adalah wilayah-wilayah dunia yang kurang penduduk yang meliputi kawasan seluas 98.2 juta kilometer.
3. Wilayah ini kurang didiami kerana keadaan fizikal dan iklim yang kurang sesuai untuk manusia.
4. Sebahagian besar penduduk dunia tertumpu di kawasan lembah sungai yang subur seperti Lembah Yangtze, Lembah Ganges dan Chao Phraya kerana sesuai untuk petempatan dan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, perikanan, perindustrian dan sebagainya.
5. Keduanya ialah faktor kegiatan ekonomi.
6. Penduduk lazimnya tertumpu di kawasan bandar raya dan kawasan yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi.
7. Data yang diperolehi pada 1990 menunjukkan 43 peratus penduduk dunia tinggal di bandar.
8. Adalah dijangkakan menjelang 2015, 3.9 bilion penduduk tinggal di bandar.
9. Penumpuan penduduk di kawasan bandar adalah kerana dorongan ekonomi.
10. Bandar adalah pusat kegiatan ekonomi utama.
11. Wujudnya peluang pekerjaan yang banyak dan menawarkan kadar upah yang tinggi dan pelbagai insentif lain telah menarik ramai penduduk luar bandar berhijrah seterusnya menambahkan bilangan penduduk bandar.
12. Faktor ketiga ialah kemudahan asas.
13. Kemajuan ekonomi sering diiringi dengan penyediaan pelbagai prasarana sosial yang moden seperti jalan pengangkutan dan perhubungan, kemudahan pendidikan, kemudahan kesihatan yang moden dan kemudahan sosial lain khususnya berkaitan rekreasi, lawatan, membeli belah dan budaya.
14. Pembangunan aspek sosial ini menyebabkan kawasan-kawasan bandar besar menjadi tumpuan penduduk berbanding kawasan luar bandar yang mundur.
15. Seterusnya adalah faktor sumber alam.
16. Taburan sumber alam yang tidak seimbang turut mempengaruhi taburan penduduk.
17. Wilayah dunia yang padat penduduk adalah kawasan yang mempunyai sumber alam yang banyak dan pelbagai.
18. Sumber mineral, hutan, bahan mentah dan sebagainya diterokai dan dimajukan menyebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan penduduk.
19. Sejarah kawasan turut mempengaruhi taburan penduduk.
20. Taburan penduduk yang tidak seimbang juga boleh dikaitkan dengan sejarah kawasan sebagai petempatan awal manusia.
21. China dan India, dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia iaitu kira-kira 2.3 bilion orang merupakan pusat tamadun awal manusia.

2 comments:

Tze Hsien said...

Good

Tze Hsien said...
This comment has been removed by the author.