Saturday, December 13, 2008

Nota 24 : Migrasi Dalaman (merujuk kes Malaysia)

Migrasi dalaman merujuk kepada perpindahan atau pergerakan penduduk antara tempat-tempat dalam negara.

(a) Arah aliran migrasi

1. Perpindahan penduduk antara kawasan dalam negara ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan arah aliran migrasi, iaitu:

(i). Migrasi Desa ke Bandar khususnya ke bandar-bandar utama atau bandar raya. Pola aliran yang utama terdiri daripada golongan muda, berhijrah kerana tarikan pekerjaan, pendidikan, kemudahan sosial, serta faktor tolakan di desa.

(ii). Migrasi Desa – Desa. Misalnya migrasi dari kampung-kampung tradisional ke tanah-tanah rancangan Felda atau Felcra di bawah prograf Pembangunan Wilayah yang berlaku sekitar tahun 1970-an.

(iii). Migrasi Bandar ke Desa. Golongan pesara yang pulang ke kampung setelah tamat perkhidmatan di bandar atau pertukaran tempat kerja.

(iv). Migrasi Bandar ke Bandar. Perpindahan kerana pertukaran tempat kerja sama ada dari bandar kecil atau bandar sederhana ke bandar besar atau sebaliknya.

2. Bagi tempoh 1980-2000, aliran migrasi dalaman di setiap negeri menunjukkan peratusan migrasi dari bandar ke bandar masih tinggi. Peratusan migrasi dari bandar ke bandar menunjukkan peningkatan daripada 21 peratus pada 1980 kepada 67.1 peratus pada 2000.

3. Negeri-negeri yang menunjukkan perkadaran yang tinggi adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (95.4 peratus), Selangor (88.6 peratus) dan Pulau Pinang (78.9 peratus). Sebaliknya negeri-negeri yang menunjukkan perkadaran yang rendah adalah Perlis (36.7 peratus), Kelantan (38.0 peratus) dan Kedah (46.4 peratus).

4. Aliran migrasi dalaman yang lain telah menurun iaitu migrasi bandar ke luar bandar (daripada 18.0 peratus kepada 11.0 peratus), luar bandar ke bandar (daripada 16.0 peratus kepada 10.6 peratus) dan luar bandar ke luar bandar (daripada 45 peratus kepada 11.3 peratus).

5. Pada masa lalu, aliran perpindahan penduduk yang utama ialah dari kawasan mundur ke kawasan maju. Aliran yang ketara adalah dari desa ke bandar besar. Kuala Lumpur adalah bandar utama yang menjadi tumpuan perpindahan.

6. Kini, perpindahan antara negeri menunjukkan beberapa aliran utama dengan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang adalah negeri yang paling banyak mengalami pertambahan penduduk akibat perpindahan.

7. Pada 2000, Selangor masih mengekalkan status sebagai negeri penerima terbesar migrasi antara negeri bersih iaitu 236.9 ribu, diikuti Johor (19.2 ribu), Negeri Sembilan (17.8 ribu) dan Pulau Pinang (13.6 ribu).

8. Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi aliran keluar migrasi bersih (94.2 ribu) dan ini mungkin disebabkan oleh penghijrahan ke Selangor. Ia disusuli dengan Negeri Kelantan (58.8 ribu) dan Perak (50.9 ribu). (Jadual)

9. Aliran penduduk yang menuju ke negeri Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dapat dianggap penting.

10. Aliran penduduk masuk ke Selangor dan Kuala Lumpur sebahagian besarnya menuju ke wilayah perbandaran. Pembangunan di Lembah Kelang menjadi daya tarikan yang kuat bagi perpindahan penduduk ke sana. Kawasan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Kelang adalah konurbasi yang sedang membangun.

11. Di dalamnya terdapat pusat perindustrian utama di negara ini seperti Petaling Jaya, Sungai Way, Shah Alam, Batu Tiga, Kelang dan Pelabuhan Kelang. Selain perindustrian, kawasan tersebut juga menjadi tumpuan kegiatan ekonomi lain seperti perdagangan, perniagaan, perkhidmatan dan sebagainya.

12. Aglomerasi ekonomi di kawasan ini adalah suatu keuntungan bagi tujuan pembangunan. Oleh itu, peluang pekerjaan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa menyebabkan ia terus menjadi tumpuan perpindahan penduduk di negara ini.

(b) Isi padu dan komposisi aliran

1. Pada tahun 2000, aliran masuk ke negeri Selangor mencapai 344 390 orang yang sebahagian besar daripada mereka berasal dari Kuala Lumpur, Perak, Johor, Kelantan dan Pahang. Keadaan ini tidak banyak berubah berbanding 1991, dengan negeri Selangor masih menjadi tumpuan utama perpindahan.

2. Pada peringkat awal perpindahan khususnya aliran perpindahan desa ke bandar, kaum lelaki lebih ramai berbanding kaum wanita. Orang dewasa juga lebih ramai daripada kumpulan umur lain.

3. Kini, perpindahan penduduk banyak melibatkan golongan muda tanpa mengira jantina. Perubahan minat golongan muda yang ketara terhadap sektor pertanian desa yang tidak menjanjikan pendapatan lumayan dan taraf hidup yang baik mendorong mereka berpindah.

4. Peluang pekerjaan khususnya dalam sektor industri dan perkhimatan yang banyak menarik golongan muda dari luar bandar berpindah ke bandar. Selain itu, peluang melanjutkan pelajaran di bandar yang lebih banyak dan terbuka juga telah menarik minat golongan muda berpindah.

No comments: