Thursday, December 11, 2008

Nota 17: Dasar kependudukan Malaysia.

1. Sehingga awal tahun 1960 an, tiada dasar kerajaan yang jelas mengenai kependudukan. Pada waktu itu pandangan umum ahli-ahli ekonomi ialah peningkatan penduduk yang cepat boleh membawa kebaikan bagi pertumbuhan ekonomi.

2. Pada akhir tahun 1962, pertumbuhan penduduk pada waktu itu ialah sebanyak 3.0% setahun dan merupakan satu pertumbuhan yang tinggi. Dalam waktu itu juga terdapat langkah-langkah yang diambil untuk mempertingkatkan status kesihatan rakyat, dengan memberi penekanan terhadap langkah-langkah pencegahan dan pengubatan. Disini dapat dikatakan bahawa langkah-langkah yang telah dibuat merupakan dasar kependudukan yang tidak dinyatakan secara terang-terang.

3. Pada Rancangan Malaysia Pertama dibentuk pada tahun 1965, kerajaan telah memperkenalkan suatu matlamat penting, iaitu untuk mengurangkan kadar kelahiran nasional. Matlamat ini adalah selaras dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan per kapita.

4. Selaras dengan ini, kerajaan telah menjadikan program untuk perancang keluarga sebagai polisi nasional dan seterusnya membentuk Lembaga Perancang Keluarga Nasional melalui akta Parlimen. Tiga objektif lembaga ini ialah:
a) mengurangkan kadar pertumbuhan penduduk – 3% (1966) kepada 2% (1985)
b) membantu meningkatkan pendapatan perkapita dari $950 kepada $1500 dalam masa 20 tahun.
c) meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan keluarga melalui perkhidmatan dan aktiviti keibubapaan.

5. Pada tahun 1966, melalui akta Parlimen, lembaga ini telah diberi fungsi yang lebih besar seperti menjalankan kajian, membentuk polisi serta cara untuk mempromosi menyebarkan program dan pengetahuan tentang perancang keluarga. Melalui Rancangan Malaysia setiap 5 tahun itulah, objektif untuk menurunkan kadar pertumbuhan penduduk dicapai :

Kadar penurunan pertumbuhan penduduk

Rancangan J/Masa Penurunan (%)
Malaysia 1 1966 – 1970 37.3 – 35.0

Malaysia 2 1971 – 1975 35.0 – 30.0

Malaysia 3 1976 – 1980 31.0 – 28.2

Malaysia 4 1981 – 1985 28.2 – 26.0

6. Walau bagaimanapun pada tahun 1984, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohammad membuat cadangan mengenai Dasar Baru Penduduk Negara iaitu Malaysia harus mencapai bilangan penduduk 70 juta orang pada tahun 2100. Dasar ini bertentangan dengan dasar sebelum ini.

7. Dasar baru ini ialah melambatkan penurunan fertiliti iaitu dengan mengurangkan kadar fertiliti total sebanyak 0.1% setiap 5 tahun. Ini bertujuan untuk mencapai ‘Replacement Level Fertility’ 2.05 anak menjelang tahun 2070. Dengan ini populasi akan stabil pada 70 juta orang menjelang 2100.

8. Untuk menjayakan dasar ini, pelbagai dasar lain ditekankan. Namun begitu dasar-dasar ini tidaklah sekeras dasar yang telah dijalankan di Singapura. Di Malaysia, terdapat langkah-langkah yang boleh dikatakan menggabungkan kedua-dua dasar kategori primer dan sekunder. Antaranya :
a) mewujudkan skim keselamatan sosial
b) penekanan tentang penjagaan kesihatan
c) menukarkan kempen kurang anak kepada galakan ramai anak.
d) memanjangkan cuti bersalin bergaji bagi kakitangan awam dari 3 kepada 5 orang anak.
e) cukai pendapatan
f) membina rumah kos rendah untuk keluarga besar
g) kawal kelahiran dengan penekanan terhadap kesedaran hubungan kekeluargaan dan kebajikan.
h) pengguguran hanya untuk kes-kes tertentu
i) pemandulan hanya jika perlu
j) langkah imigresen
k) meningkatkan pembangunan luar bandar
l) meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi
m) umur minima berkahwin bagi wanita bukan islam ialah 18 tahun.

9. Dasar kependudukan Malaysia kini menuju ke arah peningkatan fertiliti tetapi pada tahap atau kadar yang lebih perlahan. Perubahan sosioekonomi dan program perancang keluarga menyebabkan fertiliti dan seterusnya kadar pertumbuhan penduduk susut dengan cepatnya. Oleh itu untuk mendapatkan saiz penduduk 70 juta orang, kejatuhan fertiliti perlulah diperlahankan.

1 comment:

Sharifah Balqis said...

Assalam .

saya nak emel boleh .?
nak tahu lebih lanjut pasal 70 juta rakyat pada tahun 2100.

mungkin boleh bagi info yg lebih jelas.

sekian, terima kasih