Wednesday, December 24, 2008

Nota 36: Daya Tampung Persekitaran Fizikal

1. Hubungan antara manusia dengan alam sekitar dirumuskan dalam dua cara, iaitu manusia dipengaruhi oleh alam sekitar dan pada masa yang sama manusia mempunyai keupayaan merubah alam sekitar.

2. Manusia memerlukan sumber alam untuk kehidupan dan kemajuan sosioekonomi. Sumber alam digunakan untuk menyempurnakan tiga keperluan manusia yang utama, iaitu makanan, pakaian dan perlindungan.

3. Untuk keperluan ini, sumber-sumber di darat dan air telah dieksploitasi seperti tanah pertanian dan padang rumput sebagai punca penghasilan bahan makanan. Manusia juga menggunakan sumber alam sebagai asas pembangunan ekonomi misalnya sumber mineral dan tenaga.

4. Namun, alam sebagai sumber mempunyai had untuk menampung keperluan manusia yang dikenali sebagi daya tampung persekitaran fizikal.

5. Daya tampung persekitaran fizikal (atau sumber alam) merujuk kepada kecukupan sumber alam seperti tanah pertanian, bekalan tenaga, air dan udara untuk menampung kehidupan manusia di sesebuah kawasan.

6. Dengan kata lain. daya tampung persekitaran fizikal ialah bilangan penduduk yang mampu ditampung oleh persekitaran tanpa mendatangkan kesan negatif. Ini bermakna saiz penduduk adalah sentiasa sama dengan sumber alam.

No comments: