1. Pertumbuhan penduduk yang pesat berlaku apabila kadar kelahiran tinggi dan kadar kematian menurun atau rendah, atau penghijrahan besar-besaran penduduk. Faktor yang mempengaruhi keadaan ini berlaku ialah:
2. Faktor Sosial. Perkembangan pengetahuan tentang perubatan dan amalan menjaga kesihatan menyebabkan banyak wabak penyakit berbahaya dapat dikawal. Keadaan ini menyebabkan kadar kematian penduduk menurun. Penjagaan kesihatan untuk ibu mengandung dan bayi yang baru dilahirkan menyebabkan kadar kematian bayi turut menurun.
3. Faktor ekonomi. Di negara barat, kadar pertumbuhan penduduk yang pesat yang berlaku pada abad ke-19 dan awal ke-20 umumnya boleh dikaitkan dengan revolusi ilmu pengetahuan yang kemudiannya mencetuskan Revolusi Perindustrian. Penggunaan jentera dalam bidang pengeluaran pertanian berjaya menghasilkan bahan makanan yang mencukupi, malah melebihi keperluan penduduk masa itu. Kemakmuran yang wujud menggalakkan penduduk berkembang pesat.
4. Kepesatan ekonomi turut mempengaruhi imigasi. Pertumbuhan ekonomi yang pesat menjana banyak peluang pekerjaan mendorong penghijrahan masuk penduduk luar bandar di samping penduduk negara jiran . Untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memenuhi permintaan tenaga buruh yang tidak mencukupi, penghijrahan masuk amat digalakkan. Malah ada negara yang melonggarkan peraturan imigresen bagi menarik kemasukan pekerja asing mahir. Kemasukan pekerja asing ini telah menambah bilangan penduduk.
5. Faktor dasar kerajaan. Rancangan Lima Tahun lepas merdeka di kebanyakan negara Asia Tenggara memberi banyak tumpuan kepada penyediaan kemudahan kesihatan untuk penduduk khususnya di luar bandar. Hospital dan klinik dengan kakitangan terlatih dibina untuk memberi kemudahan rawatan moden dan penjagaan kesihatan. Berbagai-bagai jenis penyakit berjangkit berbahaya dapat dibasmi atau dikawal. Kesannya, kadar kematian orang dewasa menurun dan jangka hayat, iaitu umur purata seseorang penduduk dijangka boleh hidup, meningkat. Penjagaan bayi yang sempurna sebelum dan selepas dilahirkan menyebabkan kadar kematian bayi turut menurun. Pemakanan yang bertambah baik di kalangan penduduk dan penyebaran pengetahuan tentang penjagaan kesihatan termasuk amalan pemakanan yang sihat menggalakkan perkembangan penduduk yang pesat.
6. Dasar kependudukan yang khusus juga mempengaruhi pertumbuhan penduduk yang pesat. Singapura misalnya telah memperkenalkan dasar peningkatan penduduk melalui slogan “jangan berhenti setakat dua. Jadikannya tiga, empat atau lima jika kamu mampu". Malaysia juga memperkenalkan dasar 70 juta penduduk pada tahun 2100.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Boeklah
Post a Comment