1. Perpindahan antarabangsa di kalangan penduduk di beberapa kawasan dunia digerakkan oleh beberapa faktor. Sejak dari dulu ekonomi memainkan peranan penting mendorong berlakunya perpindahan antarabangsa. Di Eropah, kekurangan tanah pertanian akibat ledakan penduduk menyebabkan berjuta-juta penduduk meninggalkan negara masing-masing pada abad ke-19. Tujuan utama mereka ialah untuk mencari kekayaan di dunia baru terutama di Amerika Utara yang subur dan kaya dengan berbagai-bagai sumber alam. Penduduk India dan China juga meninggalkan negara masing-masing untuk mencari peluang meningkatkan taraf hidup di tempat lain khasnya Asia Tenggara.
2. Meskipun wujudnya sekatan oleh negara penerima, motif ekonomi terus mendorong berlakunya perpindahan antarabangsa. Desakan ekonomi seperti kemiskinan, kekurangan peluang pekerjaan dan sebagainya di negara asal menyebabkan penduduk Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar berhijrah ke Malaysia dan negara-negara lain yang maju. Pada 2000, terdapat 807 ribu rakyat negara lain yang berdaftar untuk bekerja di Malaysia dan jumlah ini meningkat kepada 1.47 juta orang pada 2004. Kebanyakan mereka bekerja sebagai pembantu rumah, sektor perkilangan, perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.
3. Setiap tahun negara maju menerima kira-kira dua juta penghijrah yang kebanyakannya berasal dari negara mundur di Afrika dan Asia. Perpindahan ini dikaitkan dengan masalah kemunduran. Keadaan infrastruktur, sistem pengangkutan, perhubungan, kemudahan kesihatan dan kemudahan lain yang masih belum dimajukan dan penggunaan teknologi yang terbatas mendorong penduduk, yang sebahagian besar berpindah menuju negara-negara di Eropah yang lebih maju.
4. Pergolakan politik dan bencana alam turut mempengaruhi perpindahan penduduk di kalangan penduduk beberapa kawasan dunia.. Peperangan yang tercetus menyebabkan berjuta-juta penduduk dunia menjadi pelarian. Pada 2005, dianggarkan enam juta orang lari meninggalkan negara masing-masing kerana ketidakstabilan politik. Malaysia misalnya telah menerima lebih 100 ribu pelarian politik yang kebanyakannya dari Filipina, Acheh dan Myanmar.
5. Bencana alam seperti gempa bumi di Indonesia dan Pakistan menyebabkan berlaku pergerakan penduduk ke negara berdekatan. Walau bagaimanapun, perpindahan ini lebih bersifat sementara. Ramai daripada kalangan penduduk ini yang berpindah kembali ke negara asal masing-masing setelah keadaan pulih.
6. Persekitaran turut mempengaruhi perpindahan antarabangsa. Ini dikaitkan dengan keadaan cuaca dan juga keselamatan di mana penduduk akan berpindah ke negara yang mempunyai keadaan cuaca yang sesuai dan bebas pencemaran serta kurang kadar jenayah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment