1. Kaitan antara pertumbuhan penduduk dengan pembangunan sesebuah negara boleh dilihat dalam konteks peralihan demografi. Proses perubahan ciri demografi sesebuah negara berlaku selari dengan proses pembangunan negara. Negara mundur dicirikan oleh kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi, kadar kelahiran yang tinggi dan kadar kematian yang tinggi. Manakala ciri demografi negara maju sebaliknya mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang rendah, kadar kematian dan kadar kelahiran yang rendah. Perubahan ciri demografi dipengaruhi oleh kemajuan sosial, ekonomi dan dasar kerajaan.
Model peralihan transisi demografi
Peringkat I
(a). Peringkat ini menunjukkan kadar kelahiran dan kadar kematian adalah tinggi dan ini menyebabkan kadar pertumbuhan semula jadi penduduk rendah. berlaku naik turun dalam pertumbuhan semula jadi penduduk sejajar dengan kenaikan dan penurunan dalam kadar kelahiran serta kadar kematian.
(b). Kadar kelahiran tinggi disebabkan oleh ketiadaan perancangan keluarga dan keperluan kepada buruh manusia untuk sektor pertanian. Manakala kadar kematian tinggi disebabkan oleh taraf kesihatan yang rendah, ancaman wabak penyakit, kebuluran, serta masalah peperangan. Pada tempoh tersebut, sesebuah negara itu berada di tahap yang mundur. Oleh sebab itu, kadar kelahiran dan kadar kematiannya sukar dikawal. Program perancangan keluarga sama sekali gagal atau langsung tidak dijalankan. Dasar-dasar kependudukan yang jelas juga tidak wujud.
Gambaran tahap pembangunan: Peringkat pra-perindustrian (masyarakat pertanian)
(a). Tahap pembangunan sosio-ekonomi yang mundur bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian berintensif buruh (masyarakat agraria – ekonomi sara diri). Pergantungan kepada teknologi tradisional sahaja, pembangunan sumber alam dan sumber manusia amat perlahan, atau sumber alam tersimpan sebagai stok sumber sahaja, dibelenggu dengan masalah kekurangan makanan mengakibatkan kebuluran.
(b). Pembangunan sosial juga mundur, taraf kesihatan rendah, jangka hayat penduduk rendah atau kadar kematian tinggi, taraf pendidikan rendah dan buta huruf tinggi, di samping masalah ketidakstabilan politik. Tahap pembandaran di peringkat permulaan. Diwakili oleh negara-negara mundur pada masa kini atau zaman pra-perindustrian di Eropah.
Peringkat II
(a). Kadar kelahiran masih lagi tinggi manakala kadar kematian menurun dengan cepat. Ini menyebabkan peningkatan mendadak dalam kadar pertumbuhan semula jadi penduduk. Tetapi di akhir peringkat ini, pertumbuhan semula jadi mulai menurun ekoran daripada penurunan dalam kadar kelahiran. Kadar kelahiran masih lagi tinggi disebabkan oleh kegagalan perancangan keluarga dan keperluan kepada tenaga buruh manusia masih lagi tinggi. Manakala penurunan dalam kadar kematian pula berpunca daripada taraf kesihatan dan perubatan yang semakin baik, bekalan makanan yang mencukupi dalam keadaan politik yang stabil daripada peperangan.
(b). Di awal era ini, pertumbuhan semula jadi atau kadar kelahiran mulai menurun disebabkan oleh perkembangan industri dan teknologi yang pesat maka kebergantungan kepada buruh manusia semakin berkurangan, masyarakat lebih moden dan berpendidikan lebih tinggi, mula mementingkan kerjaya, kos hidup meningkat, amalan perancangan keluarga mulai berkesan, perkahwinan lewat dan lain-lain. Kelompok negara sedang membangun adalah berada di peringkat ini.
Gambaran tahap pembangunan: Peringkat awal era-perindustrian (Peralihan masyarakat pertanian ke perindustrian)
(a). Pembangunan sektor ekonomi moden khususnya industri dan perkhidmatan mula berkembang maju dan tidak lagi semata-mata bergantung kepada sektor pertanian. Sumber-sumber alam dimajukan, kepelbagaian ekonomi dan peluang pekerjaan bertambah, serta pendapatan per kapita dan taraf hidup penduduk meningkat.
(b). Pembangunan sosial meningkat – taraf kesihatan penduduk bertambah baik, jangka hayat bertambah dan kadar kematian menurun. Tahap pendidikan juga meningkat dan kadar buta huruf menurun di samping kepesatan pembangunan fizikal (kemudahan asas).
(c). Pembangunan bandar juga berkembang dengan pesat. Diwakili oleh sebahagian besar negara sedang membangun di Asia, Afrika, dan Amerika Latin. Di peringkat akhir perkembangan – negara menuju ke negara industri yang maju. Struktur ekonomi jelas berubah – sebahagian besar bergantung kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan. Diwakili oleh negara-negara perindustrian baru (NIC) seperti Kore Selatan dan Taiwan.
Peringkat III
(a). Kadar kelahiran dan kadar kematian terus menurun hingga ke paras yang rendah yang menyebabkan pertumbuhan semula jadi penduduk juga terus menurun menuju ke sifar (zero populations growth) atau mungkin pertumbuhan penduduk menjadi stabil dan mantap.
(b). Keadaan ini disebabkan oleh taraf kesihatan dan perubatan moden bertambah maju serta berupaya meningkatkan jangka hayat penduduk. Pelbagai penyakit berbahaya yang boleh membawa kematian berjaya dikawal dengan penemuan ubat dan vaksin baru. Kadar kematian bayi di peringkat awal juga dikawal.
(c). Di samping itu, kejayaan sepenuhnya program kawalan penduduk atau perancangan keluarga dilaksanakan berikutan daripada masyarakatnya, yang berpendidikan tinggi, berkerjaya, mementingkan status quo, peningkatan taraf, kesejahteraan hidup dan lain-lain. Justeru itu, kadar kelahiran berkurangan. Peringkat ini dicerminkan oleh negara-negara maju.
Gambaran tahap pembangunan: Peringkat kestabilan (masyarakat industri)
(a). Pembangunan ekonomi yang mantap dan berkembang maju. Sektor industri dan perkhidmatan mendominasi sepenuhnya pembangunan ekonomi negara. Pendapatan per kapita dan taraf hidup penduduk yang tinggi, kadar pengangguran rendah.
(b). Pembangunan sumber alam secara optimum atau dijana sepenuhnya dengan adanya tahap teknologi yang tinggi. Tahap pembangunan sosial juga tinggi – masyarakat berilmu, bermaklumat dan mempunyai taraf kesihatan yang amat baik – jangka hayat tinggi, kadar kematian amat kecil. Penduduk berada di tahap optima.
(c). Selain itu, pembangunan pembandaran yang amat tinggi serta pembandaran sepenuhnya. Di sesetengah negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat wujudnya megalopolis. Peringkat ini diwakili oleh negara-negara perindustrian maju seperti Jepun, Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Kanada, Rusia dan Jepun.
Peringkat IV
(a). Pada peringkat ini kadar kelahiran dan kematian sama-sama berada pada paras rendah. Ramai ahli geografi beranggapan peralihan demografi akan lengkap apabila berada pada peringkat ini kerana pertumbuhan penduduk telah menjadi stabil.
Peringkat V
(a). Kadar kelahiran adalah kurang berbanding kadar kematian. Ini menyebabkan penduduk berada di bawah tahap penggantian semula penduduk.
Gambaran tahap pembangunan
(a). Model peralihan demografi yang asal hanya ada empat peringkat. Namun kini peringkat kelima semakin diterima secara meluas kerana ia perlu untuk mewakili negara-negara yang mengalami peralihan ekonomi dari industri berasaskan pembuatan kepada industri berasaskan perkhidmatan dan informasi (deindustrialization).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment