Monday, December 1, 2008

Nota 8: Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan penduduk.

1. Taburan penduduk di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
2. Pertamanya adalah pengaruh fizikal muka bumi dan sumber alam.
3. Faktor fizikal meliputi bentuk muka bumi dan kesuburan tanih.
4. Lazimnya kawasan tanah pamah, rata, datar dan beralun menjadi tumpuan penduduk untuk tinggal berbanding kawasan yang bentuk muka buminya bergunung ganang, berbukit bukau, berlembah, dan berlurah.
5. Di samping itu, faktor jenis tanih, kualiti dan kesuburannya turut mempengaruhi taburan penduduk.
6. Taburan penduduk turut dipengaruhi oleh taburan sumber alam.
7. Kawasan yang mempunyai sumber alam yang diterokai dan dimajukan akan menjadi tumpuan penduduk
8. Kedua adalah faktor kegiatan ekonomi.
9. Aktiviti pembangunan sosioekonomi sesebuah kawasan mempengaruhi penumpuan penduduk.
10. Tarikan pekerjaan yang luas dalam sektor perindustrian, perkhidmatan, perniagaan dan sebagainya telah menyebabkan berlakunya migrasi masuk.
11. Sektor pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan disamping pelbagai insentif yang menarik yang disediakan seperti kemudahan rawatan percuma, kemudahan tempat tinggal, kemudahan pengangkutan dan lain-lain yang akhirnya mendorong penduduk luar bandar bertumpu di bandar.
12. Selain itu, dasar dan rancangan kerajaan terutama sekali di awal kemerdekaan, meliputi rancangan pembangunan bandar, pembangunan industri, pembangunan pertanian dan lain-lain yang masih tertumpu di kawasan dan negeri pantai barat semenanjung Malaysia menyebabkan lebih ramai penduduk tertumpu di kawasan dan negeri tersebut.
13. Seterusnya adalah faktor kemudahan sosial.
14. Nikmat pembangunan bandar seperti kemudahan pendidikan tinggi, kemudahan hospital canggih, kemudahan pengangkutan moden, kemudahan kediaman selesa, kemudahan hiburan dan lain-lain kemudahan pembandaran yang mungkin tidak ada di tempat-tempat lain mendorong penumpuan penduduk.
15. Kesannya kawasan tersebut akan mengalami pertambahan penduduk dan menjadi semakin padat.
16. Sejarah kawasan juga turut mempengaruhi taburan penduduk di Malaysia.
17. Dasar-dasar penjajah ialah memajukan kawasan dan negeri yang berpotensi sahaja dan mengabaikan kawasan yang tidak mempunyai sumber.
18. Sejarah lampau menyaksikan negeri-negeri yang kaya dengan sumber sahaja dimajukan menyebabkan penduduk tertumpu di kawasan tersebut seperti di negeri Perak dan Selangor.