Wednesday, December 24, 2008

Nota 40: Langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber

1. Jika diperhitungkan satu persatu, terlalu banyak kerosakan alam sekitar yang telah berlaku yang disebabkan oleh aktiviti manusia meneroka alam untuk memenuhi keperluan mereka.

2. Kerosakan ini ditunjukkan melalui kekerapan terjadinya kejadian bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat yang telah memusnahkan banyak harta benda dan kehilangan nyawa.

3. Eksploitasi sumber yang berlebihan bagi memenuhi keperluan dan kehendak serta keinginan manusia akhir mendatangkan akibat yang buruk.

4. Oleh yang demikian, sewajarnyalah tindakan kawalan perlu diadakan bagi mengelakkan kesan-kesan negatif dari berlaku.

5. Tindakan kawalan pertama adalah melalui langkah perundangan seperti akta, peraturan, denda dan penguatkuasaan. Antaranya ialah:

a). Mewartakan kawasan rezab sumber di samping mengawal-selia aktiviti pembangunan yang berasaskan sumber alam seperti aktiviti pembalakan, pertanian, perlombongan, perindustrian dan lain-lain agar tidak mencemarkan alam sekitar. Kawal selia, pengawasan, dan pemantauan yang teliti dilakukan secara sepadu oleh agensi-agensi kerajaan.

b). Penguatkuasaan undang-undang. Tindakan tegas termasuk denda/kompaun, membatalkan lesen operasi, menyita premis dan juga penjara ke atas mana-mana pihak yang dikenalpasti mencemarkan alam sekitar sama ada ke atas syarikat atau orang perseorangan dan sebagainya. Langkah ini dilaksanakan oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

6. Kedua, tindakan kawalan juga boleh berupa langkah bukan perundangan seperti langkah pengurusan, rawatan dan kempen.

a) Pengurusan

i). Pemuliharaan sumber yang telah tercemar seperti merawat air yang telah tercemar, menyediakan sistem pemerangkap sampah yang berkesan untuk membersihkan sungai dari pencemaran sampah sarap, meninggi dan menyediakan sistem penapisan dalam serombong asap kilang, menghasilkan hujan tiruan untuk membersihkan udara, pemuliharaan sumber tanih, sumber marin dan lain-lain berkaitan.

ii). Mempertingkatkan R&D dan teknologi yang mesra alam seperti penggunaan sumber tenaga gantian, penggunaan bahan kitar semula, dan bahan pengganti, memperluaskan penggunaan bioteknologi dan lain-lain yang boleh mengurangkan risiko pencemaran.

iii). Meningkatkan kerjasama serantau bagi mengawal pencemaran. Misalnya di kalangan negara ASEAN – kerjasama dilakukan melalui pemantauan dan rondaan bersama, perkongsian teknologi dan kos pemuliharaan/pembersihan air laut yang tercemar di samping penyelarasan undang-undang dan peraturan laut. Kerjasama dan penyelarasan antara agensi kerajaan dalam negara, antara kerajaan-swasta-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

b) Kempen dan pendidikan alam sekitar.

i). Melaksanakan kempen dan pendidikan alam sekitar. Menyedarkan masyarakat tentang pentingnya mengawal/mencegah pencemaran. Kempen dilaksanakan melalui pelbagai saluran media massa seperti kempen Cintailah Sungai Kita, atau menganjurkan pelbagai aktiviti sosial seperti gotong royong membersihkan sungai. Pendidikan alam sekitar perlu bermula di peringkat sekolah, universiti dan juga masyarakat.

Nota 39: Kesan aktiviti penduduk ke atas sumber semula jadi

1. Suatu perkara yang jelas ialah tahap penggunaan alam sekitar fizikal dalam proses pembangunan akan menentukan sama ada banyak atau sedikitnya perubahan yang dialami alam sekitar fizikal.

2. Perubahan pada satu bahagian akan diikuti oleh perubahan pada bahagian lain, umpamanya pertambahan penduduk akan menyebabkan pertambahan keperluan tempat tinggal, makanan dan sebagainya.

3. Manusia menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial kerana inginkan pembangunan. Sudah pasti kegiatan ini memerlukan sumber alam dieksploitasi.

4. Eksploitasi sumber yang berterusan menerusi aktiviti pertanian, perindustrian, perlombongan dan pelbagai kegiatan lain tanpa diiringi dengan kawalan pemeliharaan dan pemuliharaan pastinya akan merosakkan keseimbangan ekosistem dan seterusnya menimbulkan pelbagai kesan negatif, seperti;

a). Kemerosotan kualiti sumber. Pembangunan tanah secara besar-besaran sama ada untuk pertanian, petempatan, pembandaran, perindustrian dan lain-lain yang melibatkan aktiviti pembalakan dan penyahhutanan. Ini menyebabkan sumber air seperti sungai dan tasik tercemar.

b). Kemusnahan sumber. Kegiatan pembalakan, pertanian dan penternakan menyebabkan keluasan hutan semakin berkurangan.

c). Kekurangan bekalan sumber. Pembangunan perindustrian, sektor pengangkutan dan pembandaran menyebabkan bekalan sumber bahan api fosil semakin berkurangan akibat eksploitasi berlebihan.
d). kepupusan sumber. Aktiviti-aktiviti pembangunan menyebabkan berlakunya kepupusan sumber semula jadi terutama sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti sumber mineral dan bahan api fosil. Sesetengah spesies flora dan fauna juga pupus kerana pembangunan tanah untuk petempatan, pembandaran, perindustrian dan lain-lain.

4. Sungguhpun demikian, jika aktiviti penduduk tersebut diiringi dengan pertimbangan keseimbangan alam sekitar dan pembangunan berterusan, maka kesan positif akan berlaku, seperti;

a). Pemeliharaan. Usaha-usaha menjaga dan mengawasi sumber bagi mengekalkan keadaan semula jadi sumber-sumber alam tersebut daripada diteroka, dieksploitasi atau dimusnahkan oleh manusia. Usaha penjagaan ini dilaksanakan melalui langkah perundangan. Misalnya melalui Akta Perhutanan Negara, Akta Tanah dan Galian dan juga Akta Perikanan.

b). Pemuliharaan. Usaha-usaha membaik pulih dan menggantikan sumber-sumber alam yang telah diteroka dan dieksploitasi. Usaha ini dilakukan melalui langkah bukan perundangan seperti amalan pengurusan yang strategi dan juga kempen kesedaran serta pendidikan alam sekitar. Sebagai contoh dalam pemuliharaan sumber hutan. Ia boleh dilakukan melalui penanaman semula hutan yang telah ditebang, program silvikultur dan juga kempen cintailah hutan kita.

Nota 38: Kesan Pertumbuhan dan Tumpuan Penduduk Terhadap Alam Sekitar

1. Jika di ulang semula tajuk taburan penduduk dan pertumbuhan penduduk, kita akan mendapati bahawa penduduk cenderung untuk tertumpu di sesuatu kawasan atas banyak alasan.

2. Didapati juga pertumbuhan penduduk yang pesat berlaku di negara-negara sedang membangun yang kebanyakan penduduknya hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan yang tegar.

3. Keadaan ini pasti akan menambah tekanan kepada alam sekitar untuk menampung bilangan penduduk yang semakin ramai itu. Eksploitasi alam sekitar dibenarkan atas dasar memenuhi keperluan manusia.

4. Akhirnya, pertumbuhan dan tumpuan penduduk di sesuatu kawasan akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap alam sekitar, antaranya ialah:

a). Tekanan terhadap sumber alam khususnya terhadap sumber tanah. Persaingan guna tanah untuk petempatan, pertanian, perindustrian, pembandaran, infrasturktur dan sebagainya menjadi semakin hebat apabila penduduk bertamabh. Kesannya saiz tanah secara relatifnya menjadi semakin sempit dan harganya semakin mahal.

b). Kepupusan/ kehabisan sumber alam khususnya jenis sumber yang tidak boleh diperbaharui. Misalnya sumber mineral seperti sumber bahan api fosil, bijih timah, bijih besi, emas dan lain-lain akibat pengeluaran berlebihan bagi menampung keperluan penduduk yang bertambah dengan pesat. Dalam keadaan sumber tersebut tidak boleh diganti maka kesan jangka panjangnya ialah diancam kehabisan atau kepupusan.

c). Pencemaran dan kemusnahan/kerosakan sumber seperti sumber udara dan air akibat pertambahan industri, kenderaan, pembuangan sisa domestik yang biasanya sejajar dengan pertumbuhan penduduk yang pesat. Termasuk juga kesan hakisan tanih serta tanah runtuh.

d). Berkurangnya sumber-sumber makanan khususnya yang berasaskan hasil-hasil pertanian, sumber perikanan dan penternakan relatif dengan keperluan penduduk yang bertambah dengan pesat. Pengeluaran sumber-sumber makanan tersebut tidak sepadan dengan pertambahan penduduk.

e). Kesan positif. Pembangunan sumber alam meningkat, sumber tidak terbiar membazir kerana mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk menjana dan membangunkannya.

Nota 37: Keseimbangan Ekosistem

1. Alam sekitar fizikal berada dalam keadaan seimbang apabila unsur fizikal bertindak balas antara satu dengan lain pada tahap semula jadi.

2. Dalam konteks untuk memenuhi keperluan hidup, manusia menganggap alam sekitar itu sumber yang membekalkan keperluan hidup manusia dan bertindak menggunakannya dengan mengambil kira etika pemuliharaan.

3. Manusia perlu memulihara keseimbangan tersebut supaya bekalan sumber berterusan dan kualitinya tidak terjejas sehingga generasi akan datang dapat menikmatnya.

4. Untuk lebih terperinci, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber (boleh diperbaharui) perlu dilakukan atas faktor-faktor berikut:

a). Untuk menjamin keperluan dan kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang sentiasa dapat dipenuhi seperti keperluan terhadap sumber air dan udara yang bersih, bekalan sumber pertanian (tanih), dan perikanan (marin) yang cukup dan lain-lain kebergantungan hidup manusia terhadap sumber alam.

b). Untuk menjamin keberkesanan sektor ekonomi yang bergantung kepada sumber berkenaan sebagai bahan mentah atau sumber tenaga. Seperti kegiatan pembalakan dan pelancongan yang bergantung kepada sumber hutan, sumber air membekalkan tenaga kepada sektor perindustrian, pengangkutan dan sebagainya.

c). Untuk menjamin kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan dan berkembang dengan pesat seperti R&D dalam bioteknologi dan bioperubatan.

d). Untuk mengekalkan sumber warisan seperti pelbagai jenis hidupan liar, hidupan marin, tumbuhan yang berharga daripada diancam kepupusan.

e). Untuk mengekalkan keseimbangan sistem alam sekitar fizikal sama ada sistem hidrologi, sistem ekologi, sistem atmosfera dan juga sistem geomorfologi.

Nota 36: Daya Tampung Persekitaran Fizikal

1. Hubungan antara manusia dengan alam sekitar dirumuskan dalam dua cara, iaitu manusia dipengaruhi oleh alam sekitar dan pada masa yang sama manusia mempunyai keupayaan merubah alam sekitar.

2. Manusia memerlukan sumber alam untuk kehidupan dan kemajuan sosioekonomi. Sumber alam digunakan untuk menyempurnakan tiga keperluan manusia yang utama, iaitu makanan, pakaian dan perlindungan.

3. Untuk keperluan ini, sumber-sumber di darat dan air telah dieksploitasi seperti tanah pertanian dan padang rumput sebagai punca penghasilan bahan makanan. Manusia juga menggunakan sumber alam sebagai asas pembangunan ekonomi misalnya sumber mineral dan tenaga.

4. Namun, alam sebagai sumber mempunyai had untuk menampung keperluan manusia yang dikenali sebagi daya tampung persekitaran fizikal.

5. Daya tampung persekitaran fizikal (atau sumber alam) merujuk kepada kecukupan sumber alam seperti tanah pertanian, bekalan tenaga, air dan udara untuk menampung kehidupan manusia di sesebuah kawasan.

6. Dengan kata lain. daya tampung persekitaran fizikal ialah bilangan penduduk yang mampu ditampung oleh persekitaran tanpa mendatangkan kesan negatif. Ini bermakna saiz penduduk adalah sentiasa sama dengan sumber alam.

Nota 35: Kepentingan penerokaan sumber

1. Di samping memberikan pelbagai alasan yang mendorong sesuatu sumber diterokai, manusia juga melihat penerokaan sumber sesuatu yang penting. Antara kepentingan penerokaan sumber adalah seperti berikut:

a). Sumber semulajadi dijadikan bahan mentah dalam pelbagai kegiatan perindustrian. Misalnya petroleum digunakan dalam industri petrokimia.

b). Mewujudkan dan menambah pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk. Pertambahan peluang pekerjaan ini dapat meningkatkan taraf hidup penduduk dan mengurangkan kadar pengangguran.

c). Penerokaan pelbagai sumber hutan, mineral dan tenaga menyumbangkan pendapatan kepada negara.

d). Penerokaan sumber membolehkan sesuatu kawasan baru dibuka dan dimajukan kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan penduduk.

f). Penerokaan sumber menggalakkan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jaringan jalan pengangkutan, komunikasi, bekalan air dan bekalan elektrik, kesihatan serta pendidikan.

Nota 34: Faktor-faktor penerokaan sumber

1. Manusia menerokai sumber atas pelbagai alasan. Antaranya adalah seperti berikut:

a). Nilai ekonomi yang dimiliki oleh sumber-sumber tersebut seperti harganya yang mahal, boleh dan menguntungkan apabila dieksport bagi menghasilkan pendapatan negara.

b). Faktor pasaran. Terdapatnya permintaan yang tinggi sama ada dari dalam atau luar negara. Sumber berkenaan boleh memenuhi keperluan pengguna iaitu penduduk, sektor industri, sektor perkhidmatan dan sebagainya.

c). Keupayaan sumber tenaga tersebut untuk membekalkan tenaga seperti sumber petroleum, gas asli, arang batu, tenaga hidro, tenaga solar dan lain-lain.

d). Sifat-sifat yang dimiliki oleh sumber berkenaan. Misalnya sumber tersebut banyak `berterusan’ tidak habis, mudah diperolehi, kosnya murah, bersih serta risiko terhadap alam sekitar yang minima.

e). Faktor modal. Adanya keupayaan modal untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber berkenaan khususnya bagi sumber yang memerlukan modal yang besar.

f). Faktor teknologi dan kepakaran. Adanya keupayaan teknologi untuk meneroka dan mengambil sumber tersebut khususnya bagi sumber yang memerlukan teknologi tinggi dan kepakaran tenaga mahir.

g). Keupayaan sumber tersebut untuk memenuhi keperluan tenaga kerja atau tenaga buruh dalam negara berkenaan apabila diteroka – menyediakan pekerjaan yang banyak.

h). Keupayaan sumber tersebut untuk menggerakkan sektor-sektor ekonomi yang lain dalam negara berkenaan. Misalnya sumber perlombongan membantu memperkembangkan sektor industri dan perkhidmatan.

Saturday, December 20, 2008

Nota 33: Sumber alam

1. Sumber alam bererti sumber semula jadi (sumber asli). Sumber semula jadi terdiri daripada semua bahan asli yang berada dalam alam sekitar fizikal yang berguna dan bermanfaat serta dapat memenuhi keperluan atau kehendak manusia yang hidup di dalamnya.

2. Sumber alam terbahagi kepada dua, iaitu:

a). Sumber yang tidak boleh diperbaharui (Non-renewable resource) iaitu sumber-sumber yang akan pupus apabila diguna secara berterusan dan tidak boleh diganti semula dalam keadaan asalnya. Terbahagi kepada dua iaitu sumber yang tidak boleh dikitar misalnya sumber bahan api fosil: petroleum, gas asli, dan arang batu dan sumber yang boleh dikitar semula seperti: emas, besi, timah, perak, tembaga dan lain-lain.

b). Sumber boleh diperbaharui. Mempunyai dua makna iaitu pertama, sumber tersebut berterusan dan tidak pupus walaupun diguna berulang kali. Misalnya sumber tenaga solar, sumber air (hidro), sumber udara, angin, ombak dan sebagainya. Kedua, sumber tersebut boleh diganti semula setelah digunakan seperti sumber hutan, sumber tenaga biomass dan lain-lain.

Nota 32: Alam Sekitar Fizikal sebagai Sumber.

1. Manusia mempunyai keperluan tersendiri yang dapat dibahagikan kepada hierarki keperluan hidup. Manusia memerlukan udara, air, makanan dan tempat tinggal. Selain itu manusia juga memerlukan keselamatan dan keselesaan.

2. Dalam konteks untuk memenuhi keperluan hidup inilah manusia menganggap alam sekitar itu sumber yang membekalkan keperluan hidup mereka dan bertindak menggunakannya dengan mengambil kira etika pemuliharaan.

3.Alam sekitar menempatkan berbagai jenis sumber yang berguna kepada manusia, dalam bermacam bentuk dan rupa:

a). Biosfera bagi sumber yang terdiri daripada jenis flora seperti tumbuh-tumbuhan khususnya yang menghasilkan bahan makanan, kayu balak, rumput, kelapa sawit, getah dan sebagainya, dan jenis fauna seperti haiwan ternakan, ikan, burung dan sebagainya.

b). Litosfera merupakan lapisan bumi yang di dalamnya mengandungi pelbagai jenis sumber mineral logam dan tenaga selain sumber tanah yang sesuai untuk kegunaan pertanian.

c). Hidrosfera yang membentuk sumber air permukaan (air bersih), air bawah tanah dan marin yang mengandung pelbagai sumber lain seperti ikan dan rumput laut.

d). Atmosfera pula adalah bahagian yang mengandungi udara bersih khususnya oksigen yang amat penting kepada kehidupan manusia dan angin yang boleh menjana tenaga gantian.

Nota 31: Pengenalan Umum Komponen Alam Sekitar

1. Alam sekitar merujuk kepada segala benda yang berada di sekeliling manusia pada suatu titik dalam ruang dan masa.

2. Alam sekitar (fizikal) terdiri daripada beberapa bahagian iaitu atmosfera, biosfera (manusia adalah sebahagian daripadanya), hidrosfera, dan litosfera.

Monday, December 15, 2008

Nota 30: Pros and Cons of Migration

1) There has been a shifting balance in quality and composition of the labor force throughout the world for the better.

2) Relatively liberal immigration policies in many countries have helped reduce labor shortages in certain sectors in many regions of the world.

3) On the downside, the mass exodus of labor from the underdeveloped world to the developed world has had a devastating effect on the quality of the labor force in the underdeveloped countries. This brain drain has occurred as the economic opportunities are greater in the developed countries for workers from the underdeveloped world.

4) Immigration has changed the face of host nations, bringing together people from diverse backgrounds and cultures.

5) Immigration has led to the expansion of urban areas and an expansion of the public sector, particularly in gateway cities (ports of entry for immigrants).

6) In the developed countries of the world (particularly the United States), the influx of immigrants has created strains on social services in some communities. Despite these strains, immigrants as a whole have provided net economic, social, and political benefits to the communities in which they live.

7) Today, immigration has become a more important component of regional and national population change. This is particularly true for the United States, as the population growth of the South and West regions have largely been the result of migration out the Northeast and North Central regions.

Nota 29: Kesan Migrasi Antarabangsa

1. Perpindahan antarabangsa meninggalkan beberapa kesan sama ada ke atas negara yang ditinggalkan ataupun yang didatangi. Namun, kesan yang lebih nyata dapat diperhatikan di negara yang didatangi.

(a). Kesan langsung akibat kemasukan penduduk secara besar-besaran ke sesebuah negara ialah struktur umur dan jantina penduduk menjadi tidak seimbang. Ini kerana, sebahagian besar penghijrah terdiri dari kaum lelaki. Golongan dewasa juga lebih ramai daripada kumpulan umur lain. Kesan seperti ini dapat diperhatikan pada piramid penduduk Amerika Syarikat dan Malaysia. Bagaimanapun, keadaan ini hanya bersifat sementara. Penghijrahan secara berpilih (mengutamakan wanita) telah mengimbangkan semula keadaan ini.

(b). Perpindahan migrasi juga menyebabkan penumpuan penduduk di kawasan-kawasan tertentu dalam negara penerima. Penghijrah terutama yang bermotifkan ekonomi akan tertumpu di kawasan maju khususnya bandar-bandar utama yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi. Di Malaysia, sebahagian besar penghijrah tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur dan mendiami petempatan setinggan di pinggir bandar yang akhirnya menimbulkan masalah kesesakan dan berbagai-bagai masalah sosial lain.

(c). Perpindahan antarabangsa telah mewujudkan penduduk berbilang kaum atau masyarakat majmuk seperti yang dialami Australia dan Malaysia. Pada 2001, daripada 21 juta penduduk Australia 68 peratus adalah penduduk bukan keturunan tempatan. Di Malaysia, kedatangan penduduk dari kawasan yang masyarakatnya berbeza dari segi budaya dan agama menyukarkan proses integrasi kaum. Penumpuan kaum di kawasan tertentu menggalakkan proses pengasingan tempat kediaman menurut kaum dan agama.

(d). Tidak semua kesan perpindahan bersifat negatif. Perpindahan juga meninggalkan kesan yang positif ke atas negara yang didatangi. Kemasukan penduduk kulit putih menggantikan hamba abdi kulit hitam di Amerika Utara telah memajukan sektor pertanian di negara tersebut. Kawasan pertanian dimajukan secara besar-besaran. Lombong dimajukan untuk memperoleh hasil galiannya. Akibatnya, ekonomi negara turut berkembang maju.

(e). Keadaan serupa dapat diperhatikan di Malaysia. Kedatangan orang Cina dan India sejak sebelum merdeka telah memajukan perusahaan perlombongan dan pertanian dagang di negara ini seterusnya menggalakkan pembangunan dari segi infrastruktur. Petempatan moden dibuka dan dimajukan. Proses pembandaran berlaku dengan pesat. Akibatnya, keadaan ekonomi dan sosial penduduk bertambah baik secara tidak langsung. Sehingga hari ini pun, kemasukan buruh asing untuk bekerja di sektor-sektor yang kurang pekerja telah membantu memajukan ekonomi negara.

(f). Pada masa ini, banyak negara mengalu-alukan kedatangan penghijrah. Pertumbuhan penduduk semula jadi yang perlahan menyebabkan banyak negara maju berdepan masalah kekurangan tenaga kerja. Malaysia menerima baik kedatangan pekerja dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar bagi memenuhi keperluan tenaga buruh mahir yang mendesak di sektor-sektor terpilih. Walau bagaimanapun, kemasukan tenaga kerja asing telah menyebabkan pengaliran keluar wang negara. Pada 2004, pekerja asing di negara ini telah mengirim balik wang ke negara asal mereka berjumlah RM15 200 juta, meningkat 52 peratus daripada RM10 000 juta pada 2003.

(f). Kemasukan secara beramai-ramai juga telah meningkatkan jumlah penduduk di negara penerima. Dengan jumlah penghijrah yang ramai, negara maju dapat mengimbangkan kadar kesuburan yang semakin menurun khususnya di Eropah dan Amerika Utara. Negara-negara Eropah misalnya memerlukan 20.3 juta penghijrah manakala Amerika Syarikat memerlukan 14.3 juta antara tahun 2000 dan 2015 berbanding tujuh juta dan 10.8 juta antara tahun 1980 dan 1995 untuk mengatasi masalah paras pertumbuhan semula populasi yang semakin menurun.

(g). Di Singapura pula, kebimbangan terhadap kekurangan tenaga kerja pada masa depan menyebabkan kerajaan Singapura bercadang melonggarkan peraturan imigresen untuk menambah bilangan penduduk. Kementerian Sumber Manusia akan melonggarkan syarat termasuk pengeluaran visa pekerjaan bagi membolehkan rakyat asing terus tinggal selepas kontrak mereka berakhir. selain itu, kriteria bagi membenarkan graduan asing dan dewasa berkelayakan tinggal lebih lama daripada enam bulan ditetapkan bagi mencari kerja baru akan dikaji semula. Mewujudkan kempen sesuai bagi menarik warga asing berkenaan dan sistem penilaian secara online bagi membolehkan rakyat asing meneliti kelayakan bagi mendapatkan hak pemastautin tetap.

Nota 28: Faktor-faktor yang mempengaruhi migrasi antarabangsa

1. Perpindahan antarabangsa di kalangan penduduk di beberapa kawasan dunia digerakkan oleh beberapa faktor. Sejak dari dulu ekonomi memainkan peranan penting mendorong berlakunya perpindahan antarabangsa. Di Eropah, kekurangan tanah pertanian akibat ledakan penduduk menyebabkan berjuta-juta penduduk meninggalkan negara masing-masing pada abad ke-19. Tujuan utama mereka ialah untuk mencari kekayaan di dunia baru terutama di Amerika Utara yang subur dan kaya dengan berbagai-bagai sumber alam. Penduduk India dan China juga meninggalkan negara masing-masing untuk mencari peluang meningkatkan taraf hidup di tempat lain khasnya Asia Tenggara.

2. Meskipun wujudnya sekatan oleh negara penerima, motif ekonomi terus mendorong berlakunya perpindahan antarabangsa. Desakan ekonomi seperti kemiskinan, kekurangan peluang pekerjaan dan sebagainya di negara asal menyebabkan penduduk Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar berhijrah ke Malaysia dan negara-negara lain yang maju. Pada 2000, terdapat 807 ribu rakyat negara lain yang berdaftar untuk bekerja di Malaysia dan jumlah ini meningkat kepada 1.47 juta orang pada 2004. Kebanyakan mereka bekerja sebagai pembantu rumah, sektor perkilangan, perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

3. Setiap tahun negara maju menerima kira-kira dua juta penghijrah yang kebanyakannya berasal dari negara mundur di Afrika dan Asia. Perpindahan ini dikaitkan dengan masalah kemunduran. Keadaan infrastruktur, sistem pengangkutan, perhubungan, kemudahan kesihatan dan kemudahan lain yang masih belum dimajukan dan penggunaan teknologi yang terbatas mendorong penduduk, yang sebahagian besar berpindah menuju negara-negara di Eropah yang lebih maju.

4. Pergolakan politik dan bencana alam turut mempengaruhi perpindahan penduduk di kalangan penduduk beberapa kawasan dunia.. Peperangan yang tercetus menyebabkan berjuta-juta penduduk dunia menjadi pelarian. Pada 2005, dianggarkan enam juta orang lari meninggalkan negara masing-masing kerana ketidakstabilan politik. Malaysia misalnya telah menerima lebih 100 ribu pelarian politik yang kebanyakannya dari Filipina, Acheh dan Myanmar.

5. Bencana alam seperti gempa bumi di Indonesia dan Pakistan menyebabkan berlaku pergerakan penduduk ke negara berdekatan. Walau bagaimanapun, perpindahan ini lebih bersifat sementara. Ramai daripada kalangan penduduk ini yang berpindah kembali ke negara asal masing-masing setelah keadaan pulih.

6. Persekitaran turut mempengaruhi perpindahan antarabangsa. Ini dikaitkan dengan keadaan cuaca dan juga keselamatan di mana penduduk akan berpindah ke negara yang mempunyai keadaan cuaca yang sesuai dan bebas pencemaran serta kurang kadar jenayah.

Nota 27: Migrasi Antarabangsa

1. Perpindahan antarabangsa merujuk kepada sebarang pergerakan penduduk menyeberangi sempadan negara-negara masing-masing, sama ada sementara atau kekal. Perpindahan kekal melibatkan penghijrah yang berpindah kerana ingin menetap di kawasan baru.

2. Arah, Isipadu dan Komposisi Aliran

i) Sejarah perpindahan penduduk bukanlah suatu yang baru. Apabila Zaman Glasier berakhir kira-kira 15 000 tahun dahulu manusia mula bergerak dari kawasan di garisan lintang rendah menuju ke garisan lintang tinggi untuk mencari kawasan berburu, bercucuk tanam atau perlindungan.

ii) Pada zaman yang lebih moden, perpindahan penduduk melibatkan askar, hamba abdi, peniaga dan pentadbir selain petani. Terdapat juga pergerakan penduduk kerana penaklukan dan perluasan kuasa seperti empayar Rom, Monggol dan sebagainya.

iii) Sejak lima kurun kebelakangan ini, wujud aliran perpindahan yang amat ketara. Aliran perpindahan ini berlaku dari satu benua ke benua yang lain dalam jumlah yang amat ramai terutamanya dari benua Eropah, Asia dan Afrika.

iv) Kejayaan orang Barat menemui jalan laut menuju ke kawasan dunia baru di Afrika, Asia dan Amerika, berjuta-juta penduduk Eropah meninggalkan benua tersebut untuk bermastautin di kawasan baru.

v) Terdapat beberapa aliran perpindahan penduduk yang utama pada masa itu, antaranya termasuk: dari Eropah ke Amerika Utara, dari Eropah ke Afrika, Asia, Australia dan New Zealand, dari Eropah Latin ke Amerika Latin, dari Afrika ke Eropah, Amerika Utara dan Caribbean, dari India dan China ke Asia Tenggara dan Afrika Timur, dan aliran-aliran yang berlaku pada skala yang kecil.

vi) Pada dasarnya aliran perpindahan secara besar-besaran seperti ini tidak lagi berlaku sekarang kerana adanya sekatan oleh negara penerima tetapi kesannya amat dirasai sehingga hari ini.

vii) Pelarian penduduk akibat peperangan seperti Anggola, Vietnam, Afghanistan dan Iraq, walaupun boleh dianggap sebagai sebahagian daripada perpindahan antarabangsa, tetapi skala aliran tersebut tidak dapat disamakan dengan aliran yang berlaku sebelum Perang Dunia Kedua.

viii) Akhir-akhir ini berlaku perpindahan tenaga buruh dari sebuah negara ke sebuah negara lain sama ada secara sah atau haram. Dianggarkan seramai dua juta penghijrah bergerak menuju negara-negara maju setiap tahun.

ix) Kehadiran mereka adalah untuk bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi. Pada 2004, dianggarkan terdapat lebih 2.67 juta buruh asing bekerja di Malaysia, 1.2 juta daripadanya adalah pendatang yang tidak sah (haram) kerana mereka tidak memiliki dokumen perjalanan rasmi. Selain itu, terdapat juga pelarian dari Filipina, Acheh, Myanmar, Timur Tengah dan Nepal yang mendapat suaka politik oleh kerajaan Malaysia.

x) While international migration occurs throughout the world, there are several major migration patterns which have emerged over the last half-century and are as follows:

a) Latin America and Asia to the United States - this migration trend has been especially strong since the end of World War Two. This migration trend has contributed to the population growth of many western states.

b) Eastern Europe to Western Europe - this migration trend has been especially strong since the collapse of the communist governments in Eastern Europe
c) Asia and Africa to Western Africa - the trend in migration for Asia and Africa is for migrants to travel to those countries that were once former colonizing powers. For example, people who migrate from Africa to France tend to come from countries such as Algeria, Morocco, or Mali - all former French colonies. Another strong migration flow is the large influx of Turks into Germany.
d) Asia to Australia - this trend has only recently emerged since Australia changed its immigration policy in the 1970's.
e) Asia to the Middle East - people from Taiwan, Thailand, Malaysia, and the Philippines, for example, are migrating to the Middle East because of the economic opportunities that have resulted from the oil industry in the region.

Saturday, December 13, 2008

Nota 26 : Kesan migrasi terhadap kawasan asal dan kawasan destinasi.

1. Perpindahan penduduk di antara kawasan dalam sesebuah negara boleh meninggalkan berbagai-bagai kesan ke atas kawasan yang ditinggalkan dan kawasan yang didatangi. Kesan perpindahan mungkin positif atau negatif.

2. Perpindahan penduduk seringkali dikaitkan dengan aspek pembangunan penduduk. Perpindahan, sekiranya tidak dikawal boleh meninggalkan kesan negatif dan kawasan yang ditinggalkan ataupun yang dituju. Sebaliknya. melalui perancangan yang teliti, perpindahan boleh dijadikan suatu strategi penting bagi tujuan pembangunan negara.

3. Kesan positif migrasi
(a). Aspek positif kesan migrasi penduduk ialah perpindahan telah dapat mengimbangi taburan penduduk antara kawasan-kawasan di dalam negeri. Misalnya perpindahan penduduk Selangor ke negeri Pahang kerana program-program pembangunan.

(b). Selain itu, penduduk di bandar utama dipindahkan ke bandar-bandar baru di luar bandar bagi mengurangkan kesesakan seterusnya memajukan kawasan yang sebelumnya mundur.

(c). Migran menyediakan bekalan tenaga kerja yang mencukupi untuk memajukan dan memanfaatkan sumber-sumber ekonomi yang ada.

(d). Perpindahan penduduk Melayu luar bandar ke bandar dapat mengimbangi penduduk Cina dan mewujudkan perseimbangan kaum.

4. Kesan negatif migrasi
(a). Aspek negatif kesan migrasi ialah kawasan asal kehilangan sebahagian besar tenaga muda yang umumnya lebih produktif dan mahir (lepasan sekolah). Akibatnya banyak tanah pertanian terbiar.

(b). Perpindahan juga menyebabkan wujudnya masalah sosial sekiranya penduduk yang berhijrah tidak bersedia iaitu tidak berpelajaran atau berpengalaman untuk bekerja di bandar. Masalah seperti pengangguran, kemiskinan, kewujudan kawasan setinggan, jenayah dan sebagai akan berlaku.

(c). Perpindahan ke bandar besar juga menyebabkan kesesakan di bandar. Kemasukan penduduk pada jumlah yang ramai menyebabkan wujud keadaan bilangan penduduk tidak seimbang dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan. Misalnya pertambahan bilangan kenderaan –sejajar dengan pertambahan penduduk – tanpa diikuti dengan penyediaan jalan raya yang lebar dan panjang menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.

Nota 25 : Faktor-faktor yang mempengaruhi migrasi

1. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan penduduk cenderung untuk berpindah. Dorongan penduduk untuk berpindah ini bergantung kepada faktor tolakan kawasan asal dan faktor tarikan kawasan destinasi. Antaranya termasuk:

(a). Faktor ekonomi.
i) Perpindahan berlaku disebabkan keadaan mundur di kawasan asal. Pertambahan penduduk yang pesat di luar bandar menyebabkan kekurangan kawasan pertanian Kawasan pertanian yang sempit dengan daya pengeluaran yang rendah boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah ekonomi.

ii) Masalah ekonomi seperti kekurangan pekerjaan, pengangguran, produktiviti dan pendapatan rendah, dibelenggu dengan lingkaran kemiskinan dan lain-lain bertindak menolak keluar penduduk luar bandar ke bandar yang mempunyai tarikan ekonomi secara khusus seperti peluang pekerjaan yang luas dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

(b). Faktor sosial.
i) Penduduk berpindah terutamanya kerana ingin menikmati kemudahan yang terdapat di bandar. Kekurangan kemudahan asas atau sosial di luar bandar dan kewujudan kemudahan sosial dan kemudahan bandar yang banyak seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, hiburan dan lain-lain mampu menarik terutama golongan muda ke bandar.
ii) Ramai juga yang berpindah ke bandar kerana ingin melanjutkan pelajaran, manakala sebahagian lagi berpindah atas sebab perkahwinan, mengikut keluarga dan sebagainya.

iii) Adanya jaringan dan sistem pengangkutan yang baik yang meningkatkan ketersampaian, mudah dan cepat sampai dan seterusnya memangkinkan lagi pergerakan.

(c). Dasar kerajaan.
i) Dasar dan galakkan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak seperti Dasar Pembangunan Wilayah dan rancangan penempatan peneroka, rancangan transmigrasi, dasar perindustrian dan lain-lain yang mampu menjadi daya penarik.

ii) Misalnya dasar kerajaan yang banyak menumpukan pembangunan di kawasan bandar dengan menubuhkan pusat perindustrian seperti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Senawang, Tampoi, Perai dan lain-lain dan menaiktaraf bandar-bandar menjadi pusat pentadbiran, pengangkutan, perdagangan, perniagaan, kebudayaan dan pendidikan mendorong
migrasi penduduk luar bandar ke bandar.

Nota 24 : Migrasi Dalaman (merujuk kes Malaysia)

Migrasi dalaman merujuk kepada perpindahan atau pergerakan penduduk antara tempat-tempat dalam negara.

(a) Arah aliran migrasi

1. Perpindahan penduduk antara kawasan dalam negara ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan arah aliran migrasi, iaitu:

(i). Migrasi Desa ke Bandar khususnya ke bandar-bandar utama atau bandar raya. Pola aliran yang utama terdiri daripada golongan muda, berhijrah kerana tarikan pekerjaan, pendidikan, kemudahan sosial, serta faktor tolakan di desa.

(ii). Migrasi Desa – Desa. Misalnya migrasi dari kampung-kampung tradisional ke tanah-tanah rancangan Felda atau Felcra di bawah prograf Pembangunan Wilayah yang berlaku sekitar tahun 1970-an.

(iii). Migrasi Bandar ke Desa. Golongan pesara yang pulang ke kampung setelah tamat perkhidmatan di bandar atau pertukaran tempat kerja.

(iv). Migrasi Bandar ke Bandar. Perpindahan kerana pertukaran tempat kerja sama ada dari bandar kecil atau bandar sederhana ke bandar besar atau sebaliknya.

2. Bagi tempoh 1980-2000, aliran migrasi dalaman di setiap negeri menunjukkan peratusan migrasi dari bandar ke bandar masih tinggi. Peratusan migrasi dari bandar ke bandar menunjukkan peningkatan daripada 21 peratus pada 1980 kepada 67.1 peratus pada 2000.

3. Negeri-negeri yang menunjukkan perkadaran yang tinggi adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (95.4 peratus), Selangor (88.6 peratus) dan Pulau Pinang (78.9 peratus). Sebaliknya negeri-negeri yang menunjukkan perkadaran yang rendah adalah Perlis (36.7 peratus), Kelantan (38.0 peratus) dan Kedah (46.4 peratus).

4. Aliran migrasi dalaman yang lain telah menurun iaitu migrasi bandar ke luar bandar (daripada 18.0 peratus kepada 11.0 peratus), luar bandar ke bandar (daripada 16.0 peratus kepada 10.6 peratus) dan luar bandar ke luar bandar (daripada 45 peratus kepada 11.3 peratus).

5. Pada masa lalu, aliran perpindahan penduduk yang utama ialah dari kawasan mundur ke kawasan maju. Aliran yang ketara adalah dari desa ke bandar besar. Kuala Lumpur adalah bandar utama yang menjadi tumpuan perpindahan.

6. Kini, perpindahan antara negeri menunjukkan beberapa aliran utama dengan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang adalah negeri yang paling banyak mengalami pertambahan penduduk akibat perpindahan.

7. Pada 2000, Selangor masih mengekalkan status sebagai negeri penerima terbesar migrasi antara negeri bersih iaitu 236.9 ribu, diikuti Johor (19.2 ribu), Negeri Sembilan (17.8 ribu) dan Pulau Pinang (13.6 ribu).

8. Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi aliran keluar migrasi bersih (94.2 ribu) dan ini mungkin disebabkan oleh penghijrahan ke Selangor. Ia disusuli dengan Negeri Kelantan (58.8 ribu) dan Perak (50.9 ribu). (Jadual)

9. Aliran penduduk yang menuju ke negeri Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dapat dianggap penting.

10. Aliran penduduk masuk ke Selangor dan Kuala Lumpur sebahagian besarnya menuju ke wilayah perbandaran. Pembangunan di Lembah Kelang menjadi daya tarikan yang kuat bagi perpindahan penduduk ke sana. Kawasan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Kelang adalah konurbasi yang sedang membangun.

11. Di dalamnya terdapat pusat perindustrian utama di negara ini seperti Petaling Jaya, Sungai Way, Shah Alam, Batu Tiga, Kelang dan Pelabuhan Kelang. Selain perindustrian, kawasan tersebut juga menjadi tumpuan kegiatan ekonomi lain seperti perdagangan, perniagaan, perkhidmatan dan sebagainya.

12. Aglomerasi ekonomi di kawasan ini adalah suatu keuntungan bagi tujuan pembangunan. Oleh itu, peluang pekerjaan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa menyebabkan ia terus menjadi tumpuan perpindahan penduduk di negara ini.

(b) Isi padu dan komposisi aliran

1. Pada tahun 2000, aliran masuk ke negeri Selangor mencapai 344 390 orang yang sebahagian besar daripada mereka berasal dari Kuala Lumpur, Perak, Johor, Kelantan dan Pahang. Keadaan ini tidak banyak berubah berbanding 1991, dengan negeri Selangor masih menjadi tumpuan utama perpindahan.

2. Pada peringkat awal perpindahan khususnya aliran perpindahan desa ke bandar, kaum lelaki lebih ramai berbanding kaum wanita. Orang dewasa juga lebih ramai daripada kumpulan umur lain.

3. Kini, perpindahan penduduk banyak melibatkan golongan muda tanpa mengira jantina. Perubahan minat golongan muda yang ketara terhadap sektor pertanian desa yang tidak menjanjikan pendapatan lumayan dan taraf hidup yang baik mendorong mereka berpindah.

4. Peluang pekerjaan khususnya dalam sektor industri dan perkhimatan yang banyak menarik golongan muda dari luar bandar berpindah ke bandar. Selain itu, peluang melanjutkan pelajaran di bandar yang lebih banyak dan terbuka juga telah menarik minat golongan muda berpindah.

Nota 23: Migrasi

1. Migrasi atau pergerakan penduduk boleh dibahagikan kepada beberap jenis. Jenis utama termasuk pergerakan antarabangsa, pergerakan antara tempat dalam sebuah negara, pergerakan musiman dan pergerakan sementara. Pergerakan antarabangsa dan dalam negara adalah dua jenis migrasi yang sering diberi perhatian.

2. Bagaimanapun, akhir-akhir ini pergerakan yang bersifat sementara, seperti pergerakan buruh dan penternak bermusim, pergerakan beramai-ramai untuk melancong dan sebagainya turut diberi perhatian.

3. Proses pergerakan boleh meninggalkan kesan yang nyata dari segi ruang fizikal dan sosial di sesebuah negara. Pergerakan antarabangsa mewujudkan masyarakat berbilang kaum, manakala migrasi dalam negeri boleh menimbulkan masalah penumpuan dan taburan penduduk yang tidak seimbang.

Thursday, December 11, 2008

Nota 22: Pertumbuhan penduduk dan tahap pembangunan negara

Piramid Penduduk

1. Selain model peralihan demografi, kaitan penduduk dan pembangunan juga boleh dilihat berdasarkan piramid penduduk. Umumnya piramid penduduk boleh dibahagikan kepada empat bentuk utama. Bentuk tersebut ialah progresif, mantap, regresif dan perantaraan. Setiap bentuk ini menggambarkan ciri kependudukan tertentu.

2. Terdapat hubungan yang rapat antara bentuk piramid dengan tahap pembangunan. Bentuk piramid penduduk sesebuah negara cenderung untuk berubah selari dengan taraf pembangunannya. Piramid penduduk negara maju boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk regresif dan bentuk perantaraan manakala negara mundur dan membangun digambarkan oleh bentuk progresif dan mantap.

3. Perbezaan tahap pembangunan penduduk terutama dari segi kesihatan dan pemodenan ini, seperti yang digambarkan oleh bentuk piramidnya, boleh juga dikaitkan dengan keadaan yang wujud dalam model peralihan demografi.

4. Peringkat praperalihan dan awal peralihan dalam model tersebut boleh disamakan dengan ciri piramid progresif; manakala peringkat akhir peralihan boleh disamakan dengan ciri piramid penduduk mantap. Peringkat selepas peralihan pula boleh disamakan dengan piramid penduduk yang berbentuk regresif dan perantaraan.

5. Umumnya, seperti piramid progresif, peringkat awal peralihan dalam model tersebut menggambarkan keadaan penduduk di negara mundur. Manakala peringkat sesudah peralihan pula menggambarkan ciri penduduk negara maju.

6. Keadaan ini dapat diperhatikan dalam piramid penduduk Malaysia. Perubahan berlaku daripada bentuk progresif (1990) kepada bentuk mantap (2005) dan dijangka kepada piramid regresif (2050). Perubahan ini berlaku seiring dengan kemajuan ekonomi Malaysia.

7. Bahagian puncak yang melebar menunjukkan semakin ramai penduduk yang hidup selepas 65 tahun. Ini disebabkan oleh taraf hidup yang berkualiti menjamin kesihatan penduduk dan meningkatkan jangka hayat.

8. Bahagian tapak yang kekal kecil pula menunjukkan kadar kelahiran yang stabil. Pembangunan sosial yang terhasil seiring dengan kemajuan ekonomi negara telah meningkatkan taraf pendidikan penduduk khususnya wanita. Pengetahuan penjagaan kesihatan bayi yang meningkat menyebabkan kadar kematian bayi berkurangan.

9. Namun, penglibatan mereka ke dalam sektor ekonomi moden turut mengubah persepsi terhadap perkahwinan, keluarga dan anak sebagai aset. Bahagian tepi piramid yang mengembang menunjukkan kadar kematian adalah rendah kerana kemajuan teknologi perubatan dan kejayaan kerajaan menangani wabak penyakit.

10. Ini bermakna semakin ramai penduduk dewasa yang akan menjadi tenaga kerja yang produktif untuk membangunkan negara. Perubahan bentuk piramid ini memberi gambaran Malaysia sedang menuju ke tahap pembangunan yang lebih maju.

Nota 21: Pertumbuhan penduduk dan tahap pembangunan negara

1. Kaitan antara pertumbuhan penduduk dengan pembangunan sesebuah negara boleh dilihat dalam konteks peralihan demografi. Proses perubahan ciri demografi sesebuah negara berlaku selari dengan proses pembangunan negara. Negara mundur dicirikan oleh kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi, kadar kelahiran yang tinggi dan kadar kematian yang tinggi. Manakala ciri demografi negara maju sebaliknya mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang rendah, kadar kematian dan kadar kelahiran yang rendah. Perubahan ciri demografi dipengaruhi oleh kemajuan sosial, ekonomi dan dasar kerajaan.

Model peralihan transisi demografi

Peringkat I

(a). Peringkat ini menunjukkan kadar kelahiran dan kadar kematian adalah tinggi dan ini menyebabkan kadar pertumbuhan semula jadi penduduk rendah. berlaku naik turun dalam pertumbuhan semula jadi penduduk sejajar dengan kenaikan dan penurunan dalam kadar kelahiran serta kadar kematian.

(b). Kadar kelahiran tinggi disebabkan oleh ketiadaan perancangan keluarga dan keperluan kepada buruh manusia untuk sektor pertanian. Manakala kadar kematian tinggi disebabkan oleh taraf kesihatan yang rendah, ancaman wabak penyakit, kebuluran, serta masalah peperangan. Pada tempoh tersebut, sesebuah negara itu berada di tahap yang mundur. Oleh sebab itu, kadar kelahiran dan kadar kematiannya sukar dikawal. Program perancangan keluarga sama sekali gagal atau langsung tidak dijalankan. Dasar-dasar kependudukan yang jelas juga tidak wujud.

Gambaran tahap pembangunan: Peringkat pra-perindustrian (masyarakat pertanian)

(a). Tahap pembangunan sosio-ekonomi yang mundur bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian berintensif buruh (masyarakat agraria – ekonomi sara diri). Pergantungan kepada teknologi tradisional sahaja, pembangunan sumber alam dan sumber manusia amat perlahan, atau sumber alam tersimpan sebagai stok sumber sahaja, dibelenggu dengan masalah kekurangan makanan mengakibatkan kebuluran.

(b). Pembangunan sosial juga mundur, taraf kesihatan rendah, jangka hayat penduduk rendah atau kadar kematian tinggi, taraf pendidikan rendah dan buta huruf tinggi, di samping masalah ketidakstabilan politik. Tahap pembandaran di peringkat permulaan. Diwakili oleh negara-negara mundur pada masa kini atau zaman pra-perindustrian di Eropah.

Peringkat II

(a). Kadar kelahiran masih lagi tinggi manakala kadar kematian menurun dengan cepat. Ini menyebabkan peningkatan mendadak dalam kadar pertumbuhan semula jadi penduduk. Tetapi di akhir peringkat ini, pertumbuhan semula jadi mulai menurun ekoran daripada penurunan dalam kadar kelahiran. Kadar kelahiran masih lagi tinggi disebabkan oleh kegagalan perancangan keluarga dan keperluan kepada tenaga buruh manusia masih lagi tinggi. Manakala penurunan dalam kadar kematian pula berpunca daripada taraf kesihatan dan perubatan yang semakin baik, bekalan makanan yang mencukupi dalam keadaan politik yang stabil daripada peperangan.

(b). Di awal era ini, pertumbuhan semula jadi atau kadar kelahiran mulai menurun disebabkan oleh perkembangan industri dan teknologi yang pesat maka kebergantungan kepada buruh manusia semakin berkurangan, masyarakat lebih moden dan berpendidikan lebih tinggi, mula mementingkan kerjaya, kos hidup meningkat, amalan perancangan keluarga mulai berkesan, perkahwinan lewat dan lain-lain. Kelompok negara sedang membangun adalah berada di peringkat ini.

Gambaran tahap pembangunan: Peringkat awal era-perindustrian (Peralihan masyarakat pertanian ke perindustrian)

(a). Pembangunan sektor ekonomi moden khususnya industri dan perkhidmatan mula berkembang maju dan tidak lagi semata-mata bergantung kepada sektor pertanian. Sumber-sumber alam dimajukan, kepelbagaian ekonomi dan peluang pekerjaan bertambah, serta pendapatan per kapita dan taraf hidup penduduk meningkat.

(b). Pembangunan sosial meningkat – taraf kesihatan penduduk bertambah baik, jangka hayat bertambah dan kadar kematian menurun. Tahap pendidikan juga meningkat dan kadar buta huruf menurun di samping kepesatan pembangunan fizikal (kemudahan asas).

(c). Pembangunan bandar juga berkembang dengan pesat. Diwakili oleh sebahagian besar negara sedang membangun di Asia, Afrika, dan Amerika Latin. Di peringkat akhir perkembangan – negara menuju ke negara industri yang maju. Struktur ekonomi jelas berubah – sebahagian besar bergantung kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan. Diwakili oleh negara-negara perindustrian baru (NIC) seperti Kore Selatan dan Taiwan.

Peringkat III

(a). Kadar kelahiran dan kadar kematian terus menurun hingga ke paras yang rendah yang menyebabkan pertumbuhan semula jadi penduduk juga terus menurun menuju ke sifar (zero populations growth) atau mungkin pertumbuhan penduduk menjadi stabil dan mantap.

(b). Keadaan ini disebabkan oleh taraf kesihatan dan perubatan moden bertambah maju serta berupaya meningkatkan jangka hayat penduduk. Pelbagai penyakit berbahaya yang boleh membawa kematian berjaya dikawal dengan penemuan ubat dan vaksin baru. Kadar kematian bayi di peringkat awal juga dikawal.

(c). Di samping itu, kejayaan sepenuhnya program kawalan penduduk atau perancangan keluarga dilaksanakan berikutan daripada masyarakatnya, yang berpendidikan tinggi, berkerjaya, mementingkan status quo, peningkatan taraf, kesejahteraan hidup dan lain-lain. Justeru itu, kadar kelahiran berkurangan. Peringkat ini dicerminkan oleh negara-negara maju.

Gambaran tahap pembangunan: Peringkat kestabilan (masyarakat industri)

(a). Pembangunan ekonomi yang mantap dan berkembang maju. Sektor industri dan perkhidmatan mendominasi sepenuhnya pembangunan ekonomi negara. Pendapatan per kapita dan taraf hidup penduduk yang tinggi, kadar pengangguran rendah.

(b). Pembangunan sumber alam secara optimum atau dijana sepenuhnya dengan adanya tahap teknologi yang tinggi. Tahap pembangunan sosial juga tinggi – masyarakat berilmu, bermaklumat dan mempunyai taraf kesihatan yang amat baik – jangka hayat tinggi, kadar kematian amat kecil. Penduduk berada di tahap optima.

(c). Selain itu, pembangunan pembandaran yang amat tinggi serta pembandaran sepenuhnya. Di sesetengah negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat wujudnya megalopolis. Peringkat ini diwakili oleh negara-negara perindustrian maju seperti Jepun, Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Kanada, Rusia dan Jepun.

Peringkat IV

(a). Pada peringkat ini kadar kelahiran dan kematian sama-sama berada pada paras rendah. Ramai ahli geografi beranggapan peralihan demografi akan lengkap apabila berada pada peringkat ini kerana pertumbuhan penduduk telah menjadi stabil.

Peringkat V

(a). Kadar kelahiran adalah kurang berbanding kadar kematian. Ini menyebabkan penduduk berada di bawah tahap penggantian semula penduduk.

Gambaran tahap pembangunan

(a). Model peralihan demografi yang asal hanya ada empat peringkat. Namun kini peringkat kelima semakin diterima secara meluas kerana ia perlu untuk mewakili negara-negara yang mengalami peralihan ekonomi dari industri berasaskan pembuatan kepada industri berasaskan perkhidmatan dan informasi (deindustrialization).

Nota 20: Bentuk Piramid Penduduk dan Ciri-cirinya.

1. Piramid Bentuk Progresif

Piramid progresif mempunyai ciri-ciri seperti:

1. Tapak lebar yang menggambarkan bilangan dan peratus penduduk dalam kumpulan umur muda (di bawah 15 tahun) yang tinggi. Penduduk muda yang ramai membayangkan kadar kelahiran yang tinggi. Kadar kelahiran yang tinggi menyebabkan kadar pertumbuhan penduduk negara menjadi pesat. Jika pertumbuhan penduduk negara yang pesat ini tidak diikuti oleh pertumbuhan pengeluaran ekonomi negara tersebut pasti akan menghadapi berbagai-bagai masalah akibat lebihan penduduk. Negara yang mempunyai bentuk piramid ini umumnya boleh dikatakan masih mundur. Biasanya negara ini miskin dan menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan untuk menyediakan kemudahan asas seperti pusat kesihatan, sekolah dan kemudahan lain. Kekurangan kemudahan pendidikan menyebabkan masalah buta huruf. Masyarakat yang buta huruf pula menjadi penghalang besar kepada usaha pemodenan, misalnya dalam perkara yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

2. Puncak yang tajam atau tirus pada piramid yang rendah menggambarkan kurangnya bilangan orang yang hidup hingga mencapai umur tua (lebih daripada 60 tahun). Kekurangan kemudahan kesihatan menyebabkan ramai penduduk mati disebabkan wabak penyakit. Penjagaan kesihatan yang kurang baik juga menyebabkan penduduk mudah dijangkiti penyakit yang boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian yang tinggi di kalangan orang dewasa turut membayangkan jangka hayat penduduk yang rendah.

3. Bentuk dinding piramid yang cekung menggambarkan bilangan orang dewasa yang tidak seimbang dengan bilangan kanak-kanak. Ini menunjukkan peratus orang dewasa yang kurang berbanding kanak-kanak. Dalam keadaan ini, penduduk yang ditanggung, khususnya kanak-kanak, lebih ramai daripada penduduk dewasa yang aktif. Di sesetengah negara peratus kanak-kanak perempuan lebih ramai daripada kanak-kanak lelaki. Keadaan ini membayangkan nisbah jantina yang kurang seimbang.

2. Piramid Bentuk Mantap.

Piramid bentuk mantap pula antara lain mempunyai ciri-ciri:

1. Tapak piramid masih lebar tetapi tidak selebar piramid bentuk progresif. Peratus penduduk muda berumur di bawah 15 tahun masih tinggi. Ini menunjukkan kadar kelahiran yang tinggi. Bagaimanapun, kadar kematian bayi adalah rendah. Keadaan ini membuktikan taraf penjagaan kesihatan, sama ada di kalangan bayi atau orang dewasa, yang bertambah baik. Pada tahap ini, walaupun ada usaha mengawal kadar kelahiran tetapi kesannya masih belum nyata.

2. Puncak yang tidak begitu tajam pula menggambarkan peratus orang tua yang masih hidup bertambah ramai. Jangka hayat juga bertambah melebihi 65 tahun. Keadaan ini juga menggambarkan tahap kesihatan penduduk telah semakin baik.

3. Dinding cerun sisi yang hampir lurus menunjukkan nisbah penduduk dewasa, orang tua dan kanak-kanak yang lebih seimbang. Peratus, penduduk dewasa yang boleh diserap ke dalam tenaga kerja adalah ramai. Ini menunjukkan kadar kematian yang rendah di kalangan penduduk dewasa.

3. Piramid Bentuk Regresif.

Piramid bentuk Regresif mempunyai ciri-ciri:

1. Tapak yang sempit menggambarkan kadar pertambahan penduduk sering negatif akibat dasar kependudukan yang liberal. Ini juga menjelaskan amalan meluas pencegahan kehamilan di negara-negara ini. Kecenderungan penduduk untuk mempunyai keluarga kecil, pasangan muda yang berkahwin lewat dan melambatkan keinginan untuk mempunyai anak dan pemandulan telah merendahkan kadar kelahiran.

2. Dinding sisi yang cembung yang menggambarkan penduduk dewasa yang ramai. Keadaan ini menunjukkan kadar kematian orang dewasa yang rendah. Taraf penjagaan kesihatan yang tinggi menyebabkan sebahagian besar penduduk boleh mencapai umur tua, iaitu lebih daripada 60 tahun.

3. Puncak yang datar dan lebar. Ini menunjukkan penduduk tua semakin ramai di mana sekurang-kurangnya dua peratus penduduk hidup sehingga umur 80 tahun. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan pencapaian yang baik dalam bidang kesihatan dan pembangunan penduduk.

4. Piramid Bentuk Perantaraan.

Piramid bentuk perantaraan mempunyai persamaan dengan piramid bentuk regresif dari segi bentuk dinding sisi yang cembung dan puncak yang datar dan lebar. Perbezaan hanya terdapat pada bahagian tapak yang mana tapak piramid bentuk perantaraan yang lebih lebar. Ini menggambarkan keadaan masyarakat yang masih bersikap konservatif. Walaupun amalan merancang keluarga dianggap perkara biasa tetapi masih ramai penduduk yang inginkan keluarga yang besar seterusnya menggalakkan kelahiran.

Nota 19: Penuaan Penduduk: Kes negara Malaysia.

1. Malaysia merupakan salah sebuah negara sedang membangun, mengalami pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sejak dua atau tiga dekad yang lalu. Ini memberi kesan kepada perubahan sosial yang tinggi seperti peningkatan taraf pendidikan terutamnya di kalangan wanita, pembangunan kemudahan kesihatan, perubahan corak tenaga pekerjaan, kesuburan dan pembentukan keluarga. Perubahan ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan struktur penduduk di Malaysia antaranya ialah arah aliran penuaan penduduk.

3. Bilangan warga tua di Malaysia adalah hampir dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun antara tahun 1970-1991 iaitu daripada 546 ribu orang pada tahun 1970 kepada 1.03 juta orang dalam tahun 1991. Bilangan tersebut telah meningkat sebanyak 35 peratus untuk 10 tahun berikutnya iaitu 1.4 juta orang atau 6.3 peratus daripada jumlah penduduk dalam tahun 2000 (Jadual 1). Bilangan warga tua ini dijangkakan lebih dua kali ganda kepada 3.4 juta pada 2020. Jelasnya, kadar peningkatan bilangan penduduk tua yang berusia lebih 60 tahun ke atas antara 1990 hingga 2025 ialah tujuh hungga lapan kali lebih tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom dan Sweden.

2. Penurunan kadar kelahiran dan pertambahan penduduk tua menyebabkan umur median penduduk bertambah. Jelasnya, umur median penduduk mengalami perubahan seiring dengan peningkatan penuaan penduduk. Umur median penduduk meningkat daripada 17.4 pada 1970 kepada 23.6 pada 2000, dan dijangka meningkat kepada 27.1 peratus pada 2020.

3. Warga tua meningkat pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan jumlah penduduk. Kadar pertumbuhan bagi penduduk berumur 60 tahun dan lebih menunjukkan arah peningkatan yang berterusan, sebaliknya kadar pertumbuhan bagi jumlah bilangan penduduk menunjukkan penurunan.

Kesan penuaan penduduk terhadap ciri-ciri demografi dan status sosioekonomi.

1. Proses penuaan memberi kesan yang besar terhadap ciri-ciri demografi dan status sosioekonomi. Antaranya:

(a). Penurunan kadar kesuburan dan kadar kelahiran. Penuaan penduduk yang meningkat berkait rapat dengan penurunan kadar kesuburan. Trend kadar kesuburan yang semakin menurun turut mempengaruhi kadar kelahiran yang rendah. Pada 2004 kadar kesuburan menurun kepada 2.9 anak bagi setiap wanita berbanding 3.4 pada 1990.

(b). Perubahan struktur umur penduduk. Peningkatan peratusan warga tua telah diikuti dengan penurunan peratusan penduduk muda. Ini menunjukkan pada masa hadapan, Malaysia akan mengalami pengurangan bilangan penduduk muda.

(c). Kepanjangan jangkaan hayat. Peningkatan penuaan penduduk dikaitkan dengan kemajuan perubatan dan kemudahan kesihatan yang baik. Kadar kematian yang menurun menyebabkan purata tempoh hayat di Malaysia meningkat. Purata jangkaan hayat semasa kelahiran di Malaysia pada tahun 2000 ialah 72.6 tahun (atau 70.2 tahun untuk lelaki dan 75.0 tahun untuk perempuan) dan ia diunjurkan akan meningkat secara puratnya 76.6 tahun pada tahun 2020.

(d). Perubahan struktur jantina. Satu ciri umum penduduk di seluruh dunia majoriti warga tua ialah wanita dan perkadaran mereka meningkat seiring dengan peningkatan umur. Kadar kematian yang tinggi di kalangan lelaki pada umur tua telah menyumbang ke arah corak ini. Nisbah jantina (bilangan lelaki bagi setiap 100 perempuan) di kalangan warga tua di Malaysia ialah 91.4 pada tahun 2000.

(e). Nisbah tanggungan. Penuaan penduduk juga telah memberi kesan terhadap penurunan nisbah tanggungan. Nisbah tanggungan menurun daripada 82.6 pada tahun 1980 kepada 64.3 pada tahun 2000. Ini adalah mungkin disebabkan oleh penurunan dalam kadar kelahiran semasa transisi demografi di samping angka pembawah yang lebih besar bagi nisbah tanggungan. Walau bagaimanapun, nisbah tanggungan ini dijangka meningkat pada tahun 2020 kepada 67.3 disebabkan oleh kenaikan perkadaran penduduk warga tua.

(f). Sosioekonomi. Penduduk tua dianggap tidak memberi sumbangan kepada ekonomi dan merupakan kumpulan yang tidak berdikari dan beban kepada negara. Kerajaan terpaksa memperuntukan perbelanjaan yang tinggi setiap tahun untuk menyediakan keperluan untuk warga tua seperti pusat jagaan, bantuan perubatan, pencen dan sebagainya. Di semua negara, warga tua hanya mencatatkan perkadaran yang kecil bagi keseluruhan tenaga buruh. Selain itu, peningkatan penduduk tua menyebabkan berlakunya perubahan nilai sosial dalam masyarakat. Sejarah menunjukkan bahawa ahli-ahli keluarga yang tinggal secara bersama bertanggungjawab dalam penjagaan warga tua, iaitu warga tua bergantung kepada mereka yang tinggal bersamanya.. Walau bagaimanapun, pembentukan keluarga yang lebih kecil memberi kesan ke atas peranan keluarga sebagai penjaga (care-givers) kepada warga tua.

Nota 18: Proses Penuaan Penduduk

1. Penuaan penduduk adalah proses di mana bilangan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas semakin meningkat manakala bilangan penduduk bawah 20 tahun pula semakin berkurangan yang akhirnya menyebabkan umur penengah meningkat.

2. Penuaan penduduk merupakan satu fenomena yang berlaku di negara-negara membangun dan perindustrian sejak empat atau beberapa dekad yang lalu dan ia merupakan kesan awalan dalam usaha untuk mengurangkan tahap kesuburan dan kelanjutan usia penduduk.

3. Kebanyakan negara maju (1.2 bilion penduduk pada 2005) umur penengah penduduk telah meningkat dari 29.0 pada 1950 kepada 37.3 pada 2000, dan dijangka meningkat kepada 45.5 menjelang 2050.

4. Pada 1950, umur median penduduk dunia ialah 23.9, meningkat kepada 26.8 pada 2000, dan dijangka meningkat kepada 37.8 menjelang 2050. Di Jepun, Itali, Switzerland, Jerman, dan Sweden, umur median penduduk melebihi 40 tahun.

5. Jepun, antara negara yang mengalami proses penuaan yang pesat di dunia, pada 1950 terdapat 9.3 penduduk bawah 20 tahun bagi setiap penduduk berumur 65 dan lebih. Menjelang 2025, nisbah ini dijangka menjadi 0.59 penduduk bawah 20 bagi setiap penduduk tua. (United Nations, 2004).

6. Penuaan penduduk lazimnya dikaitkan dengan peningkatan jangka hayat dan penurunan kesuburan penduduk. Peningkatan umur penduduk tua menaikan umur purata penduduk melalui peningkatan jumlah umur penduduk tua berbanding jumlah umur kanak-kanak.

7. Penurunan kesuburan meningkatkan umur purata penduduk melalui perubahan imbangan penduduk muda dan penduduk tua. Penurunan kesuburan penduduk faktor utama menyumbang kepada penuaan penduduk dunia hari ini. Jelasnya, penurunan yang besar kadar kesuburan lebih setengah abad menyebabkan penuaan penduduk berlaku dengan cepat di negara-negara maju.

8. Pada 2000, 420 juta penduduk (6.9 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas manakala pada 2050 bilangan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas akan mencecah 1.5 bilion.

9. Antara 2000 dan 2050, nisbah penduduk tua dengan penduduk yang bekerja (15 – 64 tahun) akan meningkat dua kali ganda di negara maju dan tiga kali ganda di negara membangun.

10. Nisbah kanak-kanak ( berumur 0 – 14 tahun) di jangka menurun dari 30 peratus pada 2000 kepada 21 peratus pada 2050.

11. Peningkatan penduduk tua juga merupakan cabaran pembangunan kepada kerajaan negara terbabit untuk meningkatkan program kebajikan sosial dan mengurangkan kesan kehadiran mereka kepada ekonomi negara. Di negara membangun, tekanan bertambah bila mana sebahagian besar warga tua adalah juga penduduk miskin.

Nota 17: Dasar kependudukan Malaysia.

1. Sehingga awal tahun 1960 an, tiada dasar kerajaan yang jelas mengenai kependudukan. Pada waktu itu pandangan umum ahli-ahli ekonomi ialah peningkatan penduduk yang cepat boleh membawa kebaikan bagi pertumbuhan ekonomi.

2. Pada akhir tahun 1962, pertumbuhan penduduk pada waktu itu ialah sebanyak 3.0% setahun dan merupakan satu pertumbuhan yang tinggi. Dalam waktu itu juga terdapat langkah-langkah yang diambil untuk mempertingkatkan status kesihatan rakyat, dengan memberi penekanan terhadap langkah-langkah pencegahan dan pengubatan. Disini dapat dikatakan bahawa langkah-langkah yang telah dibuat merupakan dasar kependudukan yang tidak dinyatakan secara terang-terang.

3. Pada Rancangan Malaysia Pertama dibentuk pada tahun 1965, kerajaan telah memperkenalkan suatu matlamat penting, iaitu untuk mengurangkan kadar kelahiran nasional. Matlamat ini adalah selaras dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan per kapita.

4. Selaras dengan ini, kerajaan telah menjadikan program untuk perancang keluarga sebagai polisi nasional dan seterusnya membentuk Lembaga Perancang Keluarga Nasional melalui akta Parlimen. Tiga objektif lembaga ini ialah:
a) mengurangkan kadar pertumbuhan penduduk – 3% (1966) kepada 2% (1985)
b) membantu meningkatkan pendapatan perkapita dari $950 kepada $1500 dalam masa 20 tahun.
c) meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan keluarga melalui perkhidmatan dan aktiviti keibubapaan.

5. Pada tahun 1966, melalui akta Parlimen, lembaga ini telah diberi fungsi yang lebih besar seperti menjalankan kajian, membentuk polisi serta cara untuk mempromosi menyebarkan program dan pengetahuan tentang perancang keluarga. Melalui Rancangan Malaysia setiap 5 tahun itulah, objektif untuk menurunkan kadar pertumbuhan penduduk dicapai :

Kadar penurunan pertumbuhan penduduk

Rancangan J/Masa Penurunan (%)
Malaysia 1 1966 – 1970 37.3 – 35.0

Malaysia 2 1971 – 1975 35.0 – 30.0

Malaysia 3 1976 – 1980 31.0 – 28.2

Malaysia 4 1981 – 1985 28.2 – 26.0

6. Walau bagaimanapun pada tahun 1984, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohammad membuat cadangan mengenai Dasar Baru Penduduk Negara iaitu Malaysia harus mencapai bilangan penduduk 70 juta orang pada tahun 2100. Dasar ini bertentangan dengan dasar sebelum ini.

7. Dasar baru ini ialah melambatkan penurunan fertiliti iaitu dengan mengurangkan kadar fertiliti total sebanyak 0.1% setiap 5 tahun. Ini bertujuan untuk mencapai ‘Replacement Level Fertility’ 2.05 anak menjelang tahun 2070. Dengan ini populasi akan stabil pada 70 juta orang menjelang 2100.

8. Untuk menjayakan dasar ini, pelbagai dasar lain ditekankan. Namun begitu dasar-dasar ini tidaklah sekeras dasar yang telah dijalankan di Singapura. Di Malaysia, terdapat langkah-langkah yang boleh dikatakan menggabungkan kedua-dua dasar kategori primer dan sekunder. Antaranya :
a) mewujudkan skim keselamatan sosial
b) penekanan tentang penjagaan kesihatan
c) menukarkan kempen kurang anak kepada galakan ramai anak.
d) memanjangkan cuti bersalin bergaji bagi kakitangan awam dari 3 kepada 5 orang anak.
e) cukai pendapatan
f) membina rumah kos rendah untuk keluarga besar
g) kawal kelahiran dengan penekanan terhadap kesedaran hubungan kekeluargaan dan kebajikan.
h) pengguguran hanya untuk kes-kes tertentu
i) pemandulan hanya jika perlu
j) langkah imigresen
k) meningkatkan pembangunan luar bandar
l) meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi
m) umur minima berkahwin bagi wanita bukan islam ialah 18 tahun.

9. Dasar kependudukan Malaysia kini menuju ke arah peningkatan fertiliti tetapi pada tahap atau kadar yang lebih perlahan. Perubahan sosioekonomi dan program perancang keluarga menyebabkan fertiliti dan seterusnya kadar pertumbuhan penduduk susut dengan cepatnya. Oleh itu untuk mendapatkan saiz penduduk 70 juta orang, kejatuhan fertiliti perlulah diperlahankan.

Nota 16: Dasar kependudukan

Pengenalan.

1. Banyak negara berdepan masalah kependudukan. Sesetengah negara mengambil langkah ke depan dengan menggubal dasar-dasar kependudukan.
1. Dasar kependudukan dibentuk untuk mengubah corak demografi. Tujuan utamanya adalah bagi meningkatkan, menurunkan, ataupun menstabilkan penduduk.
2. Dasar bermaksud satu kenyataan mengenai matlamat penting diikuti dengan satu set kaedah yang khusus untuk mencapai matlamat tersebut.
3. Dasar kependudukan mempunyai tiga elemen penting, iaitu:
a) Fertiliti, Mortaliti dan migrasi yang menentukan kadar pertumbuhan
b) Struktur umur dan jantina
c) Komposisi penduduk dan taburan penduduk
4. Dasar juga bermaksud tindakan-tindakan kerajaan yang mempengaruhi/cuba mempengaruhi keseimbangan antara kelahiran, kematian dan migrasi
5. Pengkelasan dasar kependudukan:
a) dasar fertiliti/reproduksi
b) dasar kesihatan
c) dasar urbanisasi/migrasi
d) dasar keluarga dan kebajikan

Tuesday, December 9, 2008

Nota 15: Kesan pertumbuhan penduduk

Penduduk optima

Konsep Penduduk optima
Suatu keadaan yang seimbang antara jumlah penduduk dengan sumber-sumber pengeluaran yang ada berbanding dengan tempoh sebelum atau selepasnya. Segala sumber seperti sumber alam, sumber manusia, sumber ekonomi, modal dan teknologi telah dijana sepenuhnya untuk mencapai tahap pembangunan sosioekonomi yang paling tinggi seterusnya mampu menampung aras penduduk di dalam sesebuah negara. Contoh: Negara Jepun dan Sweden.

Faktor-faktor
1. Kejayaan program kependudukan. Program-program kependudukan seperti perancangan keluarga menyebabkan pertambahan bilangan penduduk sejajar dengan jumlah sumber yang ada.
2. Kemajuan sains dan teknologi menyebabkan sumber dapat dimanfaatkan dan dimajukan supaya dapat menampung bilangan penduduk yang ada. Misalnya teknologi dalam bidang pertanian dapat menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi.

Kesan
1. Taraf hidup penduduk yang tinggi ekoran perkembangan pesat ekonomi. Kegiatan ekonomi seperti perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain menyediakan pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan, meningkatkan pendapatan per kapita dan meningkatkan taraf sosial penduduk.
2. Tiada pengangguran. Kemajuan ekonomi menyebabkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk menyebabkan tiada pengangguran berlaku.
3. Pembangunan yang rasional. Semua program pembangunan dilaksanakan dengan berkesan dan dapat dinikmati oleh semua penduduk.
4. Penggunaan sumber alam yang wajar. Sumber alam dimaju dan dimanfaatkan memenuhi keperluan penduduk dan pada masa yang sama terdapat usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber supaya sumber tidak habis.
5. Struktur demografi yang seimbang. Misalnya pertumbuhan penduduk kekal pada paras pergantian semula populasi.

Nota 14: Kesan pertumbuhan penduduk

2. Penduduk kurang

Konsep penduduk kurang
Suatu keadaan di mana bilangan penduduk yang ada terlalu kecil untuk mengusaha dan menggunakan sumber alam yang banyak, atau dalam keadaan di mana sumber alam masih boleh menampung jumlah penduduk yang ramai tanpa menjejaskan paras kesejahteraan penduduk yang ada.

Ciri-ciri demografi
1. Kadar kelahiran menurun dan rendah dan kadar kesuburan mula merosot.
2. Kadar kematian kekal rendah.
3. Nisbah tanggungan tinggi terutama golongan tua.
4. Jangkaan hayat penduduk tinggi.

Faktor-faktor
1. Bilangan penduduk sedikit kerana kadar kelahiran yang rendah atau kadar migrasi keluar yang tinggi.
2. Saiz negara yang besar. Negara yang besar cenderung mengalami keadaan kurang penduduk. Misalnya Kanada dan Australia.
3. Penerokaan sumber yang banyak menyebabkan ekonomi berkembang pesat sekali gus menyediakan banyak peluang pekerjaan. Penduduk yang ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang banyak.

Kesan terhadap ciri-ciri demografi
1. Negara berdepan dengan masalah penggantian penduduk semulajadi.
2. Semakin ramai golongan berusia lingkungan umur 60 tahun ke atas.

Kesan terhadap status sosioekonomi.
Kesan positif
1. Sumber yang ada berupaya untuk menampung dan memenuhi keperluan penduduk. Tekanan terhadap sumber alam berkurangan, sumber tidak diancam kepupusan atau kehabisan.
2. Berupaya untuk memajukan ekonomi negara, iaitu meningkatkan pendapatan perkapita dan taraf hidup penduduk, kemiskinan berkurangan, persaingan dan pengangguran boleh diatasi
3. Berupaya untuk memperbaiki taraf sosial penduduk seperti peningkatan kualiti pendidikan, pembasmian buta huruf, meningkatkan kualiti kesihatan, mewujudkan rangkaian perhubungan dan pengangkutan, kemudahan-kemudahan asas dan sebagainya.

Kesan negatif
1. Kekurangan tenaga buruh untuk memajukan sumber-sumber ekonomi. Sesetengah sektor mengalami krisis tenaga sehingga terpaksa mengimport. Manakala sesetengah sumber alam pula terbiar membazir seperti sumber tanah dan sesetengahnya tertinggal sebagai stok sumber sahaja.
2. Saiz pasaran domestik terhad, ekoran daripada jumlah penduduk yang sedikit, dan keluasan pasaran yang kecil. Di samping itu, kuasa beli penduduk pula rendah maka pasaran barangan dan perkhidmatan sukar dikembangkan.
3. Kesukaran untuk mewujudkan pertahanan negara yang kukuh kerana saiz anggota tentera yang sedikit. Sesebuah negara mudah terancam.

Nota 13: Kesan pertumbuhan penduduk.

1. Lebihan penduduk.

Konsep penduduk lebih
Suatu keadaan di mana bilangan penduduk menjadi terlalu ramai berbanding dengan sumber alam, sama ada yang sedang dimajukan atau belum dimajukan. Oleh itu, jika pertumbuhan penduduk tidak diikuti dengan kemajuan penghasilan sumber alam dan perkembangan sektor perkhidmatan, maka keadaan lebihan penduduk mungkin wujud.

Jenis-jenis lebihan penduduk
1. Lebihan penduduk mutlak. Wujud apabila usaha-usaha pengeluaran telah dilakukan sehingga ke had mutlak yang maksimum sedangkan taraf kehidupan masih lagi rendah.
2. Lebihan penduduk relatif. Merujuk kepada keadaan di mana usaha-usaha pengeluaran masih belum memadai untuk menampung keperluan penduduk sedangkan penghasilan keluaran yang lebih tinggi masih boleh dijalankan.

Ciri-ciri demografi.
1. Kadar kelahiran dan kadar kesuburan yang tinggi
2. kadar kematian masih tinggi tetapi mula nampak penurunan.
2. Nisbah tanggungan tinggi terutama golongan kanak-kanak.
3. Jangkaan hayat penduduk pendek.

Faktor-faktor
1. Pertambahan penduduk yang amat pesat sama ada secara semula jadi atau migrasi menyebabkan sumber yang ada tidak mampu menampung bilangan penduduk yang ramai.
2. Kemerosotan bekalan sumber alam akibat eksploitasi berlebihan untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
3. Kemerosotan permintaan terhadap tenaga kerja. berlaku apabila kegiatan ekonomi merosot menyebabkan tiada peluang pekerjaan baru diwujudkan.

Kesan terhadap status sosioekonomi
Kesan positif
1. Tenaga buruh yang ramai. Bilangan penduduk yang ramai menyediakan tenaga kerja untuk menggerakkan industri dalam negara.
2. Meluaskan pasaran domestik bagi barangan dan perkhidmatan ekoran bilangan penduduk yang ramai.
3. Ancaman terhadap keselamatan negara dapat dikurangkan kerana memiliki saiz anggota tentera yang besar.

Kesan negatif
1. Tekanan terhadap sumber dan ancaman kepupusan atau kehabisan sumber
2. Ekonomi negara sukar dimajukan. Taraf hidup penduduk rendah, kemiskinan berleluasa, wujud persaingan dan pengangguran.
3. Taraf sosial penduduk rendah. Kurang kemudahan pendidikan, meluasnya buta huruf, tahap kesihatan rendah, kemudahan-kemudahan asas tidak dapat disediakan dan tahap ketersampaian rendah.

Friday, December 5, 2008

Nota 12: Faktor pertumbuhan penduduk perlahan.

1. Apabila kadar kelahiran menurun dan kadar kematian kekal rendah, maka pertumbuhan penduduk menjadi perlahan. Keadaan ini disebabkan oleh faktor:

2. Faktor sosial. Penyediaan infrastruktur sosial terutama sekolah telah membuka ruang pendidikan tanpa mengira batas jantina. Taraf pendidikan yang tinggi di kalangan wanita telah mengubah sikap mereka terhadap perkahwinan, keluarga dan anak. Di Asia, terdapat peralihan pendirian minda yang hebat terutama sekali dikalangan wanita muda. Wanita Jepun misalnya telah mula mengetepikan aspirasi lama untuk berkahwin secepat mungkin dan mirip ke arah tidak mengambil endah soal itu, malah, memiliki dan menjaga anak juga dianggap sebagai satu beban. Umur perkahwinan pertama bagi penduduk Jepun ialah 27 bagi wanita dan 30 bagi lelaki. Jelasnya, kecenderungan penduduk untuk mempunyai keluarga kecil, pasangan muda yang berkahwin lewat dan melambatkan keinginan untuk mempunyai anak telah menyebabkan kadar kelahiran menurun terutama di Eropah, Amerika Selatan dan Asia.

3. Faktor ekonomi. Pertumbuhan ekonomi yang pesat meningkatkan keperluan terhadap tenaga buruh. Keadaan ini memerlukan wanita dilibatkan secara langsung dalam ekonomi moden. Di Malaysia, penyertaan tenaga buruh wanita adalah 33.5 peratus dari keseluruhan tenaga kerja tahun 2000. Penyertaan tenaga buruh wanita dalam pekerjaan formal, disamping proses-proses pemodenan yang lain, telah menyederhanakan kadar kelahiran, terutama dikalangan penduduk bandar.

4. Faktor dasar kerajaan. Dasar-dasar kependudukan tentang amalan merancang keluarga yang semakin liberal telah menyebabkan kadar kelahiran menurun. Misalnya dasar kerajaan terlalu longgar berhubung pengguguran anak dan pemandulan, dan pencegahan kehamilan secara meluas telah merendahkan kadar kelahiran.

Nota 11: Faktor-faktor pertumbuhan penduduk pesat.

1. Pertumbuhan penduduk yang pesat berlaku apabila kadar kelahiran tinggi dan kadar kematian menurun atau rendah, atau penghijrahan besar-besaran penduduk. Faktor yang mempengaruhi keadaan ini berlaku ialah:

2. Faktor Sosial. Perkembangan pengetahuan tentang perubatan dan amalan menjaga kesihatan menyebabkan banyak wabak penyakit berbahaya dapat dikawal. Keadaan ini menyebabkan kadar kematian penduduk menurun. Penjagaan kesihatan untuk ibu mengandung dan bayi yang baru dilahirkan menyebabkan kadar kematian bayi turut menurun.

3. Faktor ekonomi. Di negara barat, kadar pertumbuhan penduduk yang pesat yang berlaku pada abad ke-19 dan awal ke-20 umumnya boleh dikaitkan dengan revolusi ilmu pengetahuan yang kemudiannya mencetuskan Revolusi Perindustrian. Penggunaan jentera dalam bidang pengeluaran pertanian berjaya menghasilkan bahan makanan yang mencukupi, malah melebihi keperluan penduduk masa itu. Kemakmuran yang wujud menggalakkan penduduk berkembang pesat.

4. Kepesatan ekonomi turut mempengaruhi imigasi. Pertumbuhan ekonomi yang pesat menjana banyak peluang pekerjaan mendorong penghijrahan masuk penduduk luar bandar di samping penduduk negara jiran . Untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memenuhi permintaan tenaga buruh yang tidak mencukupi, penghijrahan masuk amat digalakkan. Malah ada negara yang melonggarkan peraturan imigresen bagi menarik kemasukan pekerja asing mahir. Kemasukan pekerja asing ini telah menambah bilangan penduduk.

5. Faktor dasar kerajaan. Rancangan Lima Tahun lepas merdeka di kebanyakan negara Asia Tenggara memberi banyak tumpuan kepada penyediaan kemudahan kesihatan untuk penduduk khususnya di luar bandar. Hospital dan klinik dengan kakitangan terlatih dibina untuk memberi kemudahan rawatan moden dan penjagaan kesihatan. Berbagai-bagai jenis penyakit berjangkit berbahaya dapat dibasmi atau dikawal. Kesannya, kadar kematian orang dewasa menurun dan jangka hayat, iaitu umur purata seseorang penduduk dijangka boleh hidup, meningkat. Penjagaan bayi yang sempurna sebelum dan selepas dilahirkan menyebabkan kadar kematian bayi turut menurun. Pemakanan yang bertambah baik di kalangan penduduk dan penyebaran pengetahuan tentang penjagaan kesihatan termasuk amalan pemakanan yang sihat menggalakkan perkembangan penduduk yang pesat.

6. Dasar kependudukan yang khusus juga mempengaruhi pertumbuhan penduduk yang pesat. Singapura misalnya telah memperkenalkan dasar peningkatan penduduk melalui slogan “jangan berhenti setakat dua. Jadikannya tiga, empat atau lima jika kamu mampu". Malaysia juga memperkenalkan dasar 70 juta penduduk pada tahun 2100.

Nota 10: Konsep asas Pertumbuhan Penduduk

Pertumbuhan semula jadi.
1. Perubahan saiz penduduk, sama ada meningkat atau menurun, lazimnya dapat diperhatikan berdasarkan beberapa petunjuk seperti berikut:
(a). Kadar Kelahiran. Kadar kelahiran lazimnya dinyatakan sebagai jumlah kelahiran bayi bagi setiap 1 000 penduduk pada satu tahun. Ia dikira dengan membahagikan jumlah kelahiran dengan bilangan penduduk negara yang dikaji; (atau dengan membahagikan jumlah kelahiran dengan jumlah penduduk darab 1 000). Misalnya, jika penduduk Malaysia pada tahun 1947 berjumlah 4 908 000 orang dan jumlah kelahiran pada tahun tersebut adalah 215 915 orang, maka kadar kelahiran penduduk Malaysia pada tahun tersebut adalah 44 kelahiran bagi setiap 1 000 penduduk. Pada tahun 2001, kadar kelahiran penduduk Malaysia ialah 22 kelahiran bagi setiap 1 000 penduduk.

(b). Kadar Kematian. Kadar kematian ialah jumlah kematian bagi setiap 1 000 penduduk pada sesuatu tahun. Kadar kematian dikira dengan membahagikan jumlah kematian dengan bilangan penduduk sesebuah negara pada sesuatu tahun. Misalnya, jika penduduk Malaysia pada tahun 1947 ialah 4 908 000 orang dan kematian pada tahun tersebut ialah 98 160, maka kadar kematian penduduknya ialah 20 orang bagi setiap 1 000 penduduk. Pada tahun 2001, kadar kematian penduduk Malaysia ialah 4 orang bagi setiap 1 000 penduduk.

2. Berdasarkan dua petunjuk tersebut, kadar pertambahan penduduk semula jadi dapat dikira. Kadar pertambahan penduduk semula jadi ialah jumlah kelahiran ditolak dengan jumlah kematian yang berlaku di sesebuah negara pada sesuatu tahun. Lazimnya ia dinyatakan sebagai jumlah orang bagi 1 000 penduduk.

3. Kadar pertambahan penduduk semula jadi di negara membangun seperti Amerika Latin ialah kira-kira 25 orang bagi 1 000 penduduk setahun. Pertumbuhan tersebut tinggi jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, iaitu 9 orang, dan Jepun iaitu dua orang bagi setiap 1 000 penduduk setahun. Bagi negara Malaysia. pertumbuhan penduduk semula jadi masih agak tinggi, iaitu 18 orang bagi setiap 1 000 penduduk.

4. Penggunaan penunjuk kadar kelahiran dan kadar kematian sebagai asas untuk melihat perspektif pertumbuhan penduduk sesebuah negara lazimnya kurang tepat. Untuk mengatasinya, penunjuk kadar migrasi bersih perlu diambil kira.

(c). Kadar migrasi bersih. Sekiranya sesebuah negara atau kawasan menerima kemasukan penduduk dari luar, kemungkinan perpindahan penduduk masuk lebih penting dalam menentukan pertambahan penduduk. Kadar migrasi bersih dikira berdasarkan persamaan:

kadar migrasi bersih i = [hmi – hki / Pit + n – 0.5 (hmi – hki)] x k

di mana
hmi = migrasi masuk ke tempat i
hki = migrasi keluar dari i
Pit + n = penduduk i pada tahun t + n, iaitu meliputi tahun yang dikira
k = nilai pemalar bersamaan 100

5. Perpindahan penduduk dari luar adalah unsur penting yang mempengaruhi pertambahan penduduk di kebanyakan negara di dunia.

6. Di Asia Tenggara, jumlah penduduk asing yang berhijrah masuk terutamanya dari Eropah, selatan China dan India pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, adalah besar dan ia penting dalam meningkatkan pertumbuhan penduduk negara Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Burma, dan Filipina.

7. Dengan mengetahui penunjuk kadar kelahiran, kadar kematian dan kadar migrasi bersih, jumlah penduduk negara pada masa hadapan boleh dijangka.

8. Pertambahan penduduk semula jadi dikira dengan menolak jumlah kelahiran dengan jumlah kematian dicampur dengan jumlah penduduk tahun asas. Dengan menggunakan kadar ini dan menyesuaikannya dengan trend kadar kesuburan penduduk semasa, kita dapat menganggar jumlah pertambahan penduduk secara semula jadi untuk beberapa tahun berikutnya.

9. Kemudian, dengan mengira pertumbuhan penduduk disebabkan migrasi bersih dan mencampurkannya dengan jumlah penduduk tahun asas (awal) yang dikaji, kita dapat menganggar penduduk untuk tahun-tahun berikutnya.

Nota 9: Pertumbuhan Penduduk

1. Penduduk akan terus berkembang selagi ia diimbangi oleh pengeluaran bahan makanan.

2. Ahli kaji penduduk menjangka perkembangan penduduk akan menjadi perlahan selepas proses perkembangan ekonomi melalui pembangunan tidak lagi cekap kerana penduduk ramai.

3. Selepas tahap tersebut, pertambahan penduduk dengan sendirinya akan menjadi perlahan.

4. Disebalik pandangan para pengkaji penduduk ini, proses pertambahan penduduk dunia terus berlaku. Penduduk dunia meningkat daripada 500 juta orang pada 1650 kepada 1 000 juta orang pada 1850; meningkat lagi kepada 2 000 juta pada 1930 dan 3 000 juta pada 1960; jumlah tersebut mencapai 4 000 juta pada 1975 dan 6 000 juta pada 2000. Jika pertambahan 77 juta penduduk setahun kekal, penduduk dunia akan berjumlah 9 300 juta menjelang 2050.

5. Perubahan dalam saiz sebuah penduduk, sama ada bertambah atau berkurang adalah dikenali sebagai “pertumbuhan”.

6. Sejak tahun 1600, pertumbuhan manusia mungkin telah lima kali ganda bertambah dengan cepat, suatu yang tidak dijangka dibandingkan dengan tempoh masa sebelumnya.

7. Ada dua konsep asas yang perlu diketahui iaitu konsep pertambahan (perubahan) penduduk dan pertumbuhan penduduk. Pertambahan penduduk adalah perubahan relatif yang biasanya dinyatakan nilainya dalam peratus. Pertambahan penduduk adalah perbezaan jumlah penduduk tahun semasa dengan penduduk tahun-tahun sebelumnya sebelumnya didarab 100.

8. Manakala pertumbuhan pula dinyatakan dalam bentuk kadar yang nilainya juga dalam bentuk peratus. Persamaan yang digunakan untuk menentukan kadar pertumbuhan penduduk adalah:

r = 1/n Log e (Pn / Po) x 100
di mana r adalah kadar pertumbuhan,
n mewakili bilangan tahun,
Pn adalah penduduk tahun semasa,
Po adalah penduduk tahun asas.

atau;

r = [ t √Pn / Po – 1 ] x 100

iaitu
r adalah kadar purata pertambahan penduduk tahunan
Pn adalah penduduk tahun akhir/kemudian
Po adalah penduduk tahun awal
t mewakili bilangan tahun yang dikaji

9. Nilai kadar pertumbuhan penduduk ini lazimnya digunakan sebagai asas untuk mengukur taraf kemajuan sosial penduduk sesebuah negara.

10. Kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi menunjukkan kadar kelahiran yang tinggi, aras kesuburan yang tinggi dan kadar hijrah masuk penduduk yang tinggi.

11. Kadar pertumbuhan yang tetap akan menyumbang kepada pertambahan penduduk yang ramai. Walaupun ia merupakan satu kadar yang kecil tetapi ia menunjukkan pertambahan tahunan yang besar jika ianya berterusan untuk satu jangka masa yang panjang

Monday, December 1, 2008

Nota 8: Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan penduduk.

1. Taburan penduduk di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
2. Pertamanya adalah pengaruh fizikal muka bumi dan sumber alam.
3. Faktor fizikal meliputi bentuk muka bumi dan kesuburan tanih.
4. Lazimnya kawasan tanah pamah, rata, datar dan beralun menjadi tumpuan penduduk untuk tinggal berbanding kawasan yang bentuk muka buminya bergunung ganang, berbukit bukau, berlembah, dan berlurah.
5. Di samping itu, faktor jenis tanih, kualiti dan kesuburannya turut mempengaruhi taburan penduduk.
6. Taburan penduduk turut dipengaruhi oleh taburan sumber alam.
7. Kawasan yang mempunyai sumber alam yang diterokai dan dimajukan akan menjadi tumpuan penduduk
8. Kedua adalah faktor kegiatan ekonomi.
9. Aktiviti pembangunan sosioekonomi sesebuah kawasan mempengaruhi penumpuan penduduk.
10. Tarikan pekerjaan yang luas dalam sektor perindustrian, perkhidmatan, perniagaan dan sebagainya telah menyebabkan berlakunya migrasi masuk.
11. Sektor pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan disamping pelbagai insentif yang menarik yang disediakan seperti kemudahan rawatan percuma, kemudahan tempat tinggal, kemudahan pengangkutan dan lain-lain yang akhirnya mendorong penduduk luar bandar bertumpu di bandar.
12. Selain itu, dasar dan rancangan kerajaan terutama sekali di awal kemerdekaan, meliputi rancangan pembangunan bandar, pembangunan industri, pembangunan pertanian dan lain-lain yang masih tertumpu di kawasan dan negeri pantai barat semenanjung Malaysia menyebabkan lebih ramai penduduk tertumpu di kawasan dan negeri tersebut.
13. Seterusnya adalah faktor kemudahan sosial.
14. Nikmat pembangunan bandar seperti kemudahan pendidikan tinggi, kemudahan hospital canggih, kemudahan pengangkutan moden, kemudahan kediaman selesa, kemudahan hiburan dan lain-lain kemudahan pembandaran yang mungkin tidak ada di tempat-tempat lain mendorong penumpuan penduduk.
15. Kesannya kawasan tersebut akan mengalami pertambahan penduduk dan menjadi semakin padat.
16. Sejarah kawasan juga turut mempengaruhi taburan penduduk di Malaysia.
17. Dasar-dasar penjajah ialah memajukan kawasan dan negeri yang berpotensi sahaja dan mengabaikan kawasan yang tidak mempunyai sumber.
18. Sejarah lampau menyaksikan negeri-negeri yang kaya dengan sumber sahaja dimajukan menyebabkan penduduk tertumpu di kawasan tersebut seperti di negeri Perak dan Selangor.

Nota 7: Pola taburan penduduk Malaysia

1. Dalam tempoh antara tahun 1980 dan 2000 purata kepadatan penduduk meningkat daripada 42 orang kepada 71 orang bagi satu kilometer persegi.
2. Meskipun kepadatan purata meningkat, tetapi penduduk bertabur secara tidak sama rata.
3. Kebanyakan penduduk tertumpu di bandar-bandar utama yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi dan kawasan-kawasan delta dan lembah sungai yang subur.
4. Pada tahun 2000, 61 peratus penduduk Malaysia tertumpu di bandar-bandar utama. Penumpuan di bandar ini juga dialami di semua negeri.

Nota 6: Taburan penduduk Malaysia

1. Penduduk Malaysia pada tahun 2000 berjumlah 23.2 juta orang.
2. Angka ini merupakan pertambahan sebanyak 75 peratus kepada jumlah penduduk tahun 1950.
3. Lebih 50 peratus penduduk tertumpu di lima buah negeri iaitu Selangor 4.2.juta, Johor 2.7 juta, Sabah 2.6 juta, Sarawak 2.1 juta dan Perak 2.05 juta. Terdapat empat negeri yang penduduknya kurang daripada satu juta iaitu Perlis 204 ribu, Melaka 638 ribu, Negeri Sembilan 859 ribu dan Terengganu 899 ribu.
4. Walau bagaimanapun, bilangan penduduk bagi negeri-negeri di Malaysia hampir sekata kecuali Selangor.
5. Walau bagaimanapun, dari segi kepadatan menunjukkan taburan yang tidak seimbang.
5. Misalnya, Selangor merupakan negeri yang mempunyai penduduk ramai iaitu 4.2 juta, tetapi dari segi kepadatan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah negeri yang paling padat.
6. Keadaan ini dipengaruhi oleh dasar kerajaan, pembangunan ekonomi yang pesat serta saiz kawasan yang kecil.
7. Begitu juga negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Sabah yang mempunyai kepadatan penduduk yang rendah meskipun penduduknya ramai.

Nota 5: Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan penduduk dunia

1. Taburan penduduk dunia dipengaruhi pertamanya oleh keadaan fizikal muka bumi.
2. Padang Pasir Sahara, Asia Tengah khususnya Mongolia, Utara Kanada, benua beku Antartika, Lembah Amazon dan Australia Tengah adalah wilayah-wilayah dunia yang kurang penduduk yang meliputi kawasan seluas 98.2 juta kilometer.
3. Wilayah ini kurang didiami kerana keadaan fizikal dan iklim yang kurang sesuai untuk manusia.
4. Sebahagian besar penduduk dunia tertumpu di kawasan lembah sungai yang subur seperti Lembah Yangtze, Lembah Ganges dan Chao Phraya kerana sesuai untuk petempatan dan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, perikanan, perindustrian dan sebagainya.
5. Keduanya ialah faktor kegiatan ekonomi.
6. Penduduk lazimnya tertumpu di kawasan bandar raya dan kawasan yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi.
7. Data yang diperolehi pada 1990 menunjukkan 43 peratus penduduk dunia tinggal di bandar.
8. Adalah dijangkakan menjelang 2015, 3.9 bilion penduduk tinggal di bandar.
9. Penumpuan penduduk di kawasan bandar adalah kerana dorongan ekonomi.
10. Bandar adalah pusat kegiatan ekonomi utama.
11. Wujudnya peluang pekerjaan yang banyak dan menawarkan kadar upah yang tinggi dan pelbagai insentif lain telah menarik ramai penduduk luar bandar berhijrah seterusnya menambahkan bilangan penduduk bandar.
12. Faktor ketiga ialah kemudahan asas.
13. Kemajuan ekonomi sering diiringi dengan penyediaan pelbagai prasarana sosial yang moden seperti jalan pengangkutan dan perhubungan, kemudahan pendidikan, kemudahan kesihatan yang moden dan kemudahan sosial lain khususnya berkaitan rekreasi, lawatan, membeli belah dan budaya.
14. Pembangunan aspek sosial ini menyebabkan kawasan-kawasan bandar besar menjadi tumpuan penduduk berbanding kawasan luar bandar yang mundur.
15. Seterusnya adalah faktor sumber alam.
16. Taburan sumber alam yang tidak seimbang turut mempengaruhi taburan penduduk.
17. Wilayah dunia yang padat penduduk adalah kawasan yang mempunyai sumber alam yang banyak dan pelbagai.
18. Sumber mineral, hutan, bahan mentah dan sebagainya diterokai dan dimajukan menyebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan penduduk.
19. Sejarah kawasan turut mempengaruhi taburan penduduk.
20. Taburan penduduk yang tidak seimbang juga boleh dikaitkan dengan sejarah kawasan sebagai petempatan awal manusia.
21. China dan India, dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia iaitu kira-kira 2.3 bilion orang merupakan pusat tamadun awal manusia.

Nota 4: Pola taburan penduduk dunia

1. Taburan penduduk dunia adalah tidak seimbang.
2. Oleh kerana sebahagian besar muka bumi diliputi air, penduduk dunia yang berjumlah lebih 6 078 juta orang bertumpu di kawasan daratan yang luasnya hanya 131 juta kilometer persegi.
3. Jika 75 peratus daripada jumlah keluasan daratan dunia yang hampir tidak didiami manusia kerana keadaan fizikal dan iklim yang kurang sesuai untuk manusia di ambil kira, penduduk dunia bertumpu di kawasan seluas 34 juta kilometer persegi.
4. Terdapat beberapa wilayah di dunia yang tidak mempunyai ramai penduduk. Kawasan seperti padang pasir Sahara yang menganjur 1 600 km dari pantai Atlantik di barat sehingga ke Timur sampai ke Arabia, Afghanistan, hingga Asia Tengah khususnya Monggolia, kecuali beberapa kawasan kecil seperti Lembah Nil dan Turkestan, kawasan lainnya kurang didiami.
5. Kawasan utara kanada, benua beku Antartika, Lembah Amazon di Amerika Selatan dan Australia Tengah, rata-rata hampir tidak didiami manusia.
6. Wilayah paling padat penduduk di dunia ialah Asia Timur yang meliputi China, Jepun, Korea, Filipina dan Vietnam. Negara China sahaja menampung 1 279 juta penduduk.
7. Tumpuan penduduknya ialah di pesisiran pantai dari utara ke selatan sepanjang 1 600 kilometer.
8. Kawasan lain yang juga padat penduduknya terdapat di lembah Yangtze dan dataran China Utara termasuk Lembah Sungai Kuning.
9. Wilayah yang padat dengan penduduk juga terdapat di Asia Selatan. Tumpuan penduduk di kawasan ini ialah di lembah sungai yang subur seperti Lembah Ganges.
10. Selain tumpuan penduduk yang berbeza mengikut wilayah, penduduk lazimnya bertumpu di bandar raya dan kawasan yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi.
11. Dianggarkan pada tahun 1950, peratusan penduduk dunia yang tinggal di bandar ialah kira-kira 30 peratus meningkat kepada 43 peratus pada 1990 dan dijangka mencapai 61 peratus pada 2050.
12. Trend penumpuan penduduk di bandar raya-bandar raya amat ketara di negara-negara membangun kesan penumpuan program-program pembangunan di bandar-bandar utama.
13. Pada tahun 2015, dianggarkan 3.9 bilion penduduk akan mendiami kawasan bandar dan lebih 40 peratus akan mendiami bandar yang mempunyai penduduk melebihi satu juta orang.
14. Menjelang 2015 juga, 375 juta penduduk akan mendiami 23 buah “megacities” atau kawasan bandar yang mempunyai penduduk melebihi 10 juta seperti Tokyo, Mumbai, Lagos, Dhaka, dan Sao Paulo.

Nota 3: Taburan penduduk dunia mengikut wilayah.

1. Penduduk dunia telah melebihi 6.1 bilion pada 2001 dan tumbuh pada kadar 1.3 peratus atau 77 juta orang setahun.
2. Dengan kadar pertumbuhan sedemikian, penduduk dunia dijangka akan melebihi 9 000 juta pada 2050.
3. Dari segi taburan, Lebih 60 peratus penduduk dunia tertumpu di benua Asia, 13.2 peratus tertumpu di Afrika dan 12 peratus di Eropah, manakala 14 peratus lagi di benua Amerika dan Oceania
4. Adalah dijangkakan antara 1950 – 2050, sebahagian besar penduduk dunia tertumpu di benua Asia.
5. Namun, perubahan ketara berlaku pada taburan penduduk benua Afrika dan Eropah.
6. Menjelang 2050, penduduk benua Afrika akan berjumlah 1 786.1 juta orang berbanding 227.3 juta pada 1950. Bagi benua Eropah pula, bilangan penduduk akan berkurangan pada 2050 iaitu 652.5 juta berbanding 728.5 juta pada 2000.

Nota 2: Penduduk sebagai Agen Perubahan

1. Selain berpotensi sebagai sumber, penduduk juga merupakan agen perubahan.
2. Peranan penduduk sebagai agen perubahan boleh dilihat melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi yang dijalankan.
3. Aktiviti pembangunan sosioekonomi adalah gabungan aktiviti ekonomi dan aktiviti sosial.
4. Aktiviti ekonomi dirujukkan kepada penerokaan hutan, pembangunan pertanian, perlombongan. pembuatan dan perkhidmatan.
5. Aktiviti sosial pula merujuk kepada kegiatan pendidikan, rawatan kesihatan, rekreasi, budaya, membeli belah dan lawatan.
6. Terdapat tiga perubahan yang dilakukan oleh penduduk melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi.
7. Pertamanya, perubahan terhadap ruang fizikal.
8. Penduduk bertindak melalui pelbagai cara terhadap persekitaran fizikalnya.
9. Secara umumnya, penduduk sering bertindak terhadap tanah, tanih, kawasan pertanian, air, udara dan hutan termasuk tumbuhan serta haiwan.
10. Antara tindakan yang dilakukan oleh penduduk termasuklah penerokaan tanah untuk kawasan kediaman, pembinaan petempatan desa dan bandar, pembukaan kawasan pertanian, perindustrian dan perniagaan, pembangunan rangkaian perhubungan dan pengangkutan.
11. Tindakan ini akan menghasilkan perubahan ruang fizikal.
12. Berlakunya hakisan cerun, pencemaran alam sekitar, bencana alam yang kerap dan sebagainya adalah kesan tindakan penduduk terhadap ruang fizikalnya.
13. Keduanya, aktiviti pembangunan sosioekonomi penduduk turut mempengaruhi kemajuan ekonomi di sesebuah negara.
14. Kemajuan ekonomi boleh dikesan melalui perubahan pekerjaan, pendapatan dan pemilikan harta benda.
15. Aktiviti pembangunan sosioekonomi seperti penerokaan hutan, pembangunan pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan telah menyediakan pelbagai pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan, meningkatkan pendapatan perkapita seterusnya dapat mengurangkan kadar kemiskinan, dan meningkatkan taraf sosial penduduk.
16. ketiga, aktiviti pembangunan sosioekonomi penduduk telah mengubah taraf sosial atau kualiti hidup penduduk.
17. Kemajuan ekonomi yang dijana melalui berbagai-bagai kegiatan ekonomi telah membantu kerajaan sesebuah negara menyediakan pelbagai prasarana sosial.
18. Prasarana sosial ini telah meningkatkan kadar literasi di kebanyakan negara, meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan mengubah mentaliti penduduk ke arah lebih moden.
19. Keadaan ini dikenali sebagai perubahan sosial.
20. Perubahan sosial merupakan fenomena yang sentiasa berlaku dalam sesebuah masyarakat.
21. Perubahan sosial bolehlah didefinisikan sebagai perubahan yang berlaku terhadap masyarakat dari satu tingkat kehidupan ke satu tingkat kehidupan yang lain.
22. Perubahan sosial dapat dilihat melalui peningkatan kualiti hidup seperti daripada segi taraf pendidikan, kesihatan, budaya dan pemikiran.

Nota 1: Penduduk sebagai Sumber

1. Penduduk dianggap sebagai sekumpulan manusia yang mendiami sesuatu kawasan atau negara.
2. Penduduk merupakan satu sumber kerana potensinya sebagai tenaga kerja yang akan membantu dalam pembangunan ekonomi negara. Tenaga kerja yang produktif akan menyumbang ke arah pembangunan berbanding tenaga kerja yang tidak produktif. Bagaimana kita boleh menentukan produktiviti penduduk?
3. Potensi penduduk sebagai sumber/tenaga kerja yang produktif, dilihat pertamanya dari segi bilangannya. Pada masa kini, penduduk ramai yang dimiliki oleh sesebuah negara banyak membantu pembangunan ekonomi negara berkenaan.
4. Negara seperti China dan India, telah membangun dengan pesat kerana salah satu faktornya adalah bilangan penduduknya yang ramai.
5. Ini kerana penduduk yang ramai, jika diberi pendidikan dan kemahiran, berpotensi menjadi tenaga kerja yang baik dan mampu menarik pelaburan asing.
6. Penduduk yang ramai ini juga dapat digamblengkan untuk memajukan negara melalui penglibatan mereka di sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing
7. Penduduk yang ramai juga mempengaruhi pasaran sesuatu barangan apa tah lagi jika dibantu oleh kuasa beli yang juga tinggi.
8. Selain bilangan, potensi penduduk sebagai sumber juga ditentukan oleh struktur umur dan jantina penduduk.
9. Struktur umur dan jantina boleh mempengaruhi corak guna tenaga yang ada di sesebuah kawasan atau negara.
10. Mudahnya, struktur umur penduduk boleh dibahagikan kepada tiga iaitu golongan kanak-kanak, golongan muda/dewasa dan golongan tua.
11. Penduduk muda yang terlatih boleh menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara. Sementara kehadiran ramai penduduk tua dan kanak-kanak selalunya dikaitkan dengan besarnya jumlah tanggungan keluarga dan negara. Ini bermaksud, negara yang mempunyai penduduk muda yang ramai memiliki kelebihan menjadi negara maju.
12. Jantina pula boleh dikaitkan dengan jenis aktiviti ekonomi, misalnya sektor industri berat yang memerlukan kekuatan tenaga fizikal manusia seperti kilang memasang kereta, membungkus baja dan kilang petrokimia lazimnya memerlukan lebih ramai pekerja lelaki. Manakala industri yang berintensif buruh seperti kilang yang menghasilkan produk barangan elektrik dan elektronik pula memerlukan ramai pekerja wanita.
13. Terakhir, potensi penduduk sebagai sumber yang produktif dipengaruhi oleh kualiti penduduk.
14. Kualiti penduduk merujuk kepada taraf pendidikan, kemahiran, kesihatan dan sikap.
15. Misalnya, penduduk sesebuah kawasan yang terdidik (lepasan universiti dan kolej), mahir dan berpengalaman mengendalikan peralatan kilang yang moden, sihat tubuh badan dan mempunyai sikap terbuka, boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, lazimnya lebih berkualiti dan mampu menarik pelaburan.
15. Oleh itu, kualiti penduduk dapat menentukan tahap pembangunan sesebuah negara atau kawasan.