Friday, July 24, 2009

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

kesan transformasi desa dan pembandaran terhadap penduduk dan alam sekitar
(pada skala tempatan dan negara Malaysia)

Kesan sosioekonomi penduduk:
(i) Kepadatan penduduk akibat pemusatan penduduk di pusat pertumbuhan baru. Misalnya melalui perpindahan ke kampung tersusun atau ke bandar kecil. Selain itu, kampung-kampung tradisional disusun semula dengan menggalakkan penduduk kampung berpindah atau dipindahkan ke kawasan sekitar pusat pertumbuhan. Perpindahan dan penyusunan semula petempatan menyebabkan pertambahan dan penumpuan penduduk berlaku.

(ii) Proses pemodenan dan pembandaran melalui strategi penyelerakkan industri ke pusat-pusat pertumbuhan di desa menyebabkan perubahan pekerjaan di kalangan penduduk. Perubahan pekerjaan biasanya daripada pertanian kepada perkhidmatan dan pembuatan.
(iii) Peningkatan taraf hidup akibat adanya kemudahan infrastruktur, kemudahan sosial, perhubungan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan isi rumah. Selain itu, kewujudan kepelbagaian kegiatan ekonomi bandar yang berantaian dengan industri sama ada sektor formal atau tidak formal seperti perkhidmatan bank, hospital, perniagaan runcit, perniagaan borong, dan pasar malam atau pasar tani telah membuka ruang kepada penduduk untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Perubahan ini dapat diperhatikan melalui peningkatan taraf pendidikan, kesihatan, pemakanan, pemilikan harta, corak membeli belah, dan mobiliti.
(iv) Perumahan yang selesa dan mampu milik. Selain itu, kualiti rumah khususnya rumah kos rendah turut bertambah baik. Hal ini dapat diukur melalui bahan binaan yang digunakan, kemudahan asas yang dibekalkan, bilangan bilik tidur dan kelengkapan rumah. Penyediaan kemudahan prasarana dan kemudahan bandar yang cukup untuk dinikmati oleh penduduk bandar. Kawasan perindustrian yang maju lazimnya terdapat kemudahan bandar yang cukup seperti pusat membeli belah, kemudahan pengangkutan awam, kemudahan hospital, kemudahan riadah dan sukan, kemudahan hiburan, dan sebagainya bagi menampung keperluan penduduk yang ramai.
(v) Kemiskinan bandar. Pembandaran yang pesat menarik ramai penduduk desa berhijrah ke bandar. Didapati bahawa sebahagian besar kemiskinan berpunca daripada pengangguran dan punca pendapatan yang rendah. Hal ini kerana, penduduk desa yang berhijrah kebanyakannya tidak bersedia dengan corak sistem ekonomi dan sosial di bandar. Mereka tidak berpendidikan tinggi, kurang pengalaman dan tidak pula mempunyai kemahiran yang cukup hingga menyebabkan pengangguran atau guna tenaga tak penuh dan seterusnya kemiskinan. Walau bagaimanapun, keadaan kemiskinan di bandar tidak hanya melibatkan penduduk yang berpindah dari desa. Daripada kajian yang dijalankan pada 2002, terdapat 7 600 isirumah yang diklasifikasikan sebagai kemiskinan tegar berada di bandar. Kemiskinan menyebabkan mereka terpaksa mendiami rumah-rumah murah di kawasan setinggan.
(vi) Migrasi desa-bandar. Perkembangan ekonomi moden seperti pembuatan, perdagangan, perkhidmatan dan lain-lain menyediakan banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan di samping pelbagai insentif yang menarik yang disediakan seperti kemudahan rawatan percuma, kemudahan tempat tinggal, kemudahan pengangkutan dan lain-lain yang akhirnya mendorong penduduk desa berpindah ke bandar terutamanya golongan muda. Adanya jaringan dan sistem pengangkutan yang baik yang meningkatkan ketersampaian, mudah dan cepat sampai dan seterusnya memangkinkan lagi pergerakan tersebut.

(vii) Kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan dan penduduk bandar menyebabkan darjah ketersampaian menjadi rendah dan pergerakan penduduk bandar menjadi lambat. Keadaan ini merugikan masa, meningkatkan risiko kemalangan dan lain-lain. Kesesakan lalu lintas ini akan lebih ketara ketika pergerakan keluar masuk pekerja pada waktu pagi dan petang. Penduduk bandar tertumpu untuk tinggal di pinggir bandar tetapi masih bekerja di pusat bandar. Masalah kesesakan berlaku di jalan-jalan masuk ke pusat bandar pada waktu pagi (pergi kerja) dan juga petang (pulang daripada kerja). Di Kuala Lumpur, jalan-jalan menuju ke pusat bandar biasanya adalah sesak pada waktu-waktu tersebut seperti di Jalan Kuching, Tol Sungai Besi, Jalan Ampang, Jalan Cheras dan lain-lain lagi.
(vii) Masalah sosial seperti peningkatan kadar jenayah, kejatuhan moral serta merebaknya pelbagai jenis penyakit. Pertambahan penduduk, persaingan pekerjaan dan pengangguran memudahkan menularnya penyakit sosial seperti jenayah, pelacuran dan penyalahgunaan dadah.. Di lokasi-lokasi tertentu terutamanya di kawasan setinggan pula pelbagai penyakit berjangkit seperti denggi dan taun cepat merebak kerana persekitaran yang kotor dan tidak terurus.
Kesan terhadap alam sekitar fizikal:
1. Kemerosotan kualiti alam sekitar meliputi aspek-aspek:
(i) Kesan pulau haba bandar dan kenaikan suhu mikro. Peningkatan suhu setempat di kawasan terbuka berpunca daripada sifat permukaan bandar yang berturap yang menyerap bahangan matahari dan memerangkap bahangan bumi, pembakaran bahan api fosil, kesan rumah hijau serta tenaga haba yang dibebaskan oleh metabolisme manusia di bandar.

(ii) Kesan hakisan tanah, tanah runtuh dan tanah mendap yang berpunca daripada eksploitasi terhadap tanah-tanah bandar secara berlebihan untuk menampung keperluan penduduk seperti aktiviti peneresan, pemotongan dan perataan bukit untuk dijadikan pelbagai tapak bina. Proses hakisan menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan tanah tandus di kawasan tarahan lereng bukit yang tidak diurus.
(iii) Banjir dan banjir kilat. akibat pembangunan bandar yang terlampau pesat seperti penerokaan kawasan tadahan air dan penimbusan paya serta tasik (wet land) untuk dibina kawasan perumahan, kadar penurapan muka bumi yang keterlaluan serta perubahan terhadap sistem saliran semula jadi. Pembersihan kawasan bertumbuh-tumbuhan dan pertambahan kawasan berturap di bandar atau desa dan pinggir bandar meningkatkan isi padu luahan dan kadar larian air. Longkang dan anak sungai tidak mampu menampung isi padu air yang banyak ketika hujan lebat dan melimpah menyebabkan banjir kilat.
(iv) Ancaman kepupusan kepelbagaian biologi, kemusnahan habitat dan rantaian makanan akibat penerokaan hutan dan kawasan baru. Aktiviti-aktiviti pembangunan menyebabkan berlakunya kepupusan sumber semula jadi. Sesetengah spesies flora dan fauna pupus kerana pembangunan tanah untuk petempatan, pembandaran, perindustrian dan lain-lain. Strategi pembangunan wilayah misalnya telah menukarkan beribu-ribu hektar hutan semula jadi menjadi tanah pertanian. Daripada 447 578 hektar tanah ladang yang dibangunkan oleh FELDA, 319 684 hektar untuk penanaman kelapa sawit, 123 997 hektar penanaman getah dan 4 663 hektar penanaman tebu.
2. Pencemaran alam sekitar
(i) Pencemaran udara. Peningkatan kadar pencemaran udara dan fenomena jerebu akibat pertambahan bilangan industri dan kenderaan. Kadar karbon monoksida di dalam udara bandar semakin tinggi, di tambah oleh asap, debu dan partikel-partikel lain boleh mengancam kesihatan manusia. Pertambahan kawasan pelupusan sampah yang sejajar dengan pertambahan penduduk juga turut mencemarkan udara akibat pembakaran sampah terbuka. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laporan tahunan 2000 menunjukkan kenderaan di negara ini menyumbang lebih 75 peratus bahan pencemar kepada persekitaran. Antara bahan pencemar itu ialah karbon monoksida, hidrokarbon, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan habuk.

(ii) Pencemaran air. Pembuangan bahan sisa seperti raksa dan plumbum tanpa kawalan rapi, telah mencemarkan kualiti air kawasan sekitarnya. Peningkatan kadar pencemaran air meliputi pencemaran sungai, tasik, air hujan, air bawah tanah dan lain-lain yang berpunca daripada sisa domestik, sisa perkilangan yang menjejaskan ekosistem akuatik. Laporan kualiti kehidupan rakyat Malaysia 1999 pula mendapati kualiti air menurun daripada 55.8 peratus pada 1985 kepada 27.5 peratus pada 1998, selari dengan penurunan peratusan sungai yang bersih.
(iii) Selain itu, pencemaran tanih turut berlaku akibat penggunaan racun makhluk perosak. Pemodenan sektor pertanian telah mempertingkatkan penggunaan bahan kimia. Penggunaan racun makhluk perosak dan baja kimia sangat berleluasa dan tidak dikawal dengan sempurna. Akibatnya racun makhluk perosak bukan hanya mencemari tanah, tetapi juga badan air, sistem saliran, dan rantaian makanan yang membahayakan kerana akibat tumpuan racun tersebut memakan masa yang lama untuk dikesan.
(iv) Pencemaran bau dan bunyi. Peningkatan kadar pencemaran bau dan bunyi. Pencemaran bau datangnya dari kawasan pelupusan sampah yang semakin bertambah dan pencemaran bunyi dari sumber kenderaan serta perkilangan. Guna tanah yang bersaingan dan tidak sepadan terutamanya bagi tempat kediaman dan tujuan komersial, jalan raya dan pembangunan industri di bandar raya, bandar dan pusat pertumbuhan, pergantungan pekerja kepada pengangkutan persendirian berbanding pengangkutan awam telah menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap suasana persekitaran yang tercemar oleh bunyi bising.
(v) Pencemaran sampah sarap. Sampah sarap dianggap pencemar sekiranya bahan itu terdapat di kawasan ramai penduduk tertumpu. Oleh itu pencemaran sampah sarap lebih merupakan masalah yang terdapat di bandar. Kemajuan ekonomi perkilangan dan kepadatan penduduk yang tinggi di sesebuah kawasan berupaya menghasilkan banyak sampah sarap. Rakyat Malaysia kini menghasilkan 16,000 sampah setiap hari atau purata penghasilan sampah ialah 0.8 kg sehari seorang dan di Lembah Klang sahaja penghasilan sampah ialah 1.5 kg sehari.
(vi) Pencemaran sisa toksik dan berbahaya. Bahan toksik dan berbahaya ini banyak dihasilkan oleh kilang pembuatan dan kejuruteraan. Bahan-bahan tersebut disimpan dalam lingkungan kawasan industri setakat yang mereka mampu. Sesetengah kilang menggunakan khidmat kontraktor persendirian untuk mengangkut bahan tersebut dan membuangkannya di tempat pembuangan sampah sarap atau pun di mana sahaja mereka rasakan sesuai. Ini bermakna sesetengah bahan toksik akan dibuang bukan sahaja di tempat pelupusan sampah sarap, tetapi juga di pinggir jalan raya, badan air dan tanah terbiar.

1 comment:

hang nadim said...

bagus artikel saudara ni...