Friday, July 24, 2009

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Jenis-Jenis Bandar

1. Bandar raya Global.
Bandar raya global ialah bandar yang menempatkan pelbagai aktiviti ekonomi yang bertaraf dunia seperti industri maju, bank besar, hotel, ibu pejabat perdagangan, insurans dan sebagainya. Misalnya London, Tokyo, New York dan Paris. Bandar raya seperti Singapura, Hong Kong dan Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada rangkaian aktiviti pengeluaran global dan menempati hierarki bawahan bandar raya dunia tetapi belum sesuai untuk digelar bandar raya global. Friedmann (dalam Katiman Rostam 2002: 156) menjelaskan bahawa bandar raya global memiliki sifat khusus seperti keunggulannya sebagai pusat perdagangan, pusat kewangan antarabangsa dan pusat perindustrian.
Kewujudan berbagai-bagai fungsi mega yang lebih bersifat tertier termasuk pusat pasaran kewangan utama dunia dan ibu pejabat korporat perdagangan berbilang negara (MNC) atau firma transnasional, kewujudan berbagai-bagai institusi antarabangsa, pertumbuhan pesat sektor perkhidmatan dan perniagaan selain pusat perindustrian utama dan pusat jaringan pengangkutan antarabangsa adalah syarat utama untuk membolehkan sesebuah bandar raya digelar bandar raya global.
Pengesahan empirik status sesebuah bandar raya global juga didasarkan kepada hal seperti kekerapan menganjurkan seminar dan persidangan antarabangsa, banyaknya hotel bertaraf lima bintang, pembangunan perumahan moden (kondominium mewah) dan pusat membeli belah bertaraf antarabangsa. Terdapat empat bandar raya global utama di dunia, iaitu New York, Tokyo, London dan Paris.
Bandar raya global ini terletak di wilayah-wilayah dunia yang maju. Di benua Amerika Utara, New York adalah pusat tumpuan utama firma perdagangan terbesar dunia seperti ICI, GEC, Exon dan Nestle. Di rantau Asia, Tokyo adalah bandar raya global kerana dicirikan oleh fungsinya yang pelbagai dan global seperti pusat kewangan dunia. Di Eropah pula, London dan Paris adalah bandar raya global yang utama kerana peranannya dari segi ekonomi dianggap unggul di rantau tersebut.
Bandar raya global bertindak sebagai hub kepada berbagai-bagai rangkaian fungsi seperti perdagangan import-eksport, telekomunikasi, kewangan dan pengangkutan. Semakin besar operasinya, impak terhadap pembandaran dan perkembangan bandar juga semakin ketara. Bandar raya global juga berperanan sebagai penggerak ekonomi masa kini dan kebanyakan keputusan penting tentang pelaburan dibuat di sini. Oleh itu, bandar raya tersebut juga bertindak sebagai pemacu proses pembandaran sejagat. (Katiman Rostam 2002: 157)
2. Bandar Primat
Bandar primat adalah bandar raya yang terbesar dan dominan di sesebuah negara. Menurut Mark Jefferson (dalam Katiman Rostam 1988: 61) primasi akan wujud apabila terdapat sebuah bandar utama di sesuatu wilayah atau negara yang saiz penduduknya beberapa kali lebih besar daripada saiz penduduk bandar yang menduduki peringkat kedua. Salah satu cara yang biasa digunakan untuk mengukur keperimasian ialah indeks empat bandar raya. Ia dikira dengan membahagikan penduduk bandar raya terbesar dengan jumlah penduduk semua empat buah bandar raya didarab 100. Dalam hal ini bandar primat didefinisikan sebagai bandar raya terbesar di sebuah negara yang saiznya melebihi lima kali bandar yang menduduki peringkat kedua di negara berkenaan dan saiz bandar yang terlampau besar.
Wujudnya bandar primat adalah suatu keadaan yang menunjukkan bahawa terdapat lebihan penduduk di bandar berkenaan. Di negara membangun, kewujudan bandar primat menggambarkan tentang taburan penduduk dan pembangunan yang tidak seimbang di negara berkenaan. Penumpuan aktiviti sosial dan ekonomi di bandar besar amat ketara. Penumpuan penduduk yang berterusan ke bandar besar menyebabkan peruntukan pembangunan sosial terpaksa disalurkan ke bandar berkenaan. Pembandaran menumpu seperti ini menimbulkan masalah-masalah lain; misalnya pembangunan sosial dan ekonomi hanya wujud di bandar besar, sedangkan kawasan-kawasan yang lain terus ketinggalan.
Masalah bandar primat bukan sahaja saiz bandar yang terlalu besar, tetapi juga kesannya terhadap taburan infrastruktur dan kemudahan awam. Oleh sebab pelaburan awam dan swasta yang sedikit hanya bertumpu di bandar besar, kawasan luar bandar terabai. Keadaan ini menyebabkan jurang pendapatan dan taraf hidup penduduk di bandar dan desa terus melebar. Perpindahan ke bandar besar berlaku kerana kekurangan peluang pekerjaan di desa. Di bandar juga mereka tidak mudah mendapat pekerjaan. Hal ini menimbulkan masalah seperti pengangguran, kemiskinan dan perumahan terutama di negara membangun.
3. Metropolis
Metropolis merujuk bandar raya besar biasanya ibu negara kepada sebuah negara yang kecil atau sebuah ibu wilayah yang utama di sebuah negara yang besar. Metropolis mempunyai saiz penduduk melebihi satu juta orang dan mempunyai sistem pentadbiran sendiri. Metropolis mempunyai fungsi yang penting sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan utama di sesebuah negara dengan pengaruhnya melangkaui sempadan wilayah. Proses perkembangan bandar metropolis melalui perluasan kawasan terbandar dan pertumbuhan suburbia di pinggir bandar mengurangkan tumpuan penduduk dalam bandar raya. Perkembangan di luar kawasan bandar raya melibatkan kawasan guna tanah bandar yang sangat luas. Metropolis berperanan sebagai pusat yang memudahkan mekanisma bagi menggerakkan kemasukan sesebuah negara, terutamanya negara membangun, ke dalam sistem ekonomi antarabangsa. Pemusatan pelaburan awam dan swasta di bandar metropolis boleh mencetuskan bibit pembangunan yang boleh mengempar ke pinggir.

4. Bandar Sederhana
Bandar sederhana adalah bandar yang penduduknya antara 31 000 hingga 100 000 orang. Sesetengah pengkaji menggunakan bilangan penduduk antara 25 000 sehingga 99 999 orang untuk mentakrifkan bandar sederhana. Bandar sederhana lazimnya adalah ibu negeri/wilayah yang pengaruhnya meliputi sebuah wilayah. Bandar sederhana dibangunkan dengan tujuan seperti: untuk mengurangkan penumpuan pembangunan di bandar-bandar primat; menyaingi tarikan bandar primat sebagai pilihan untuk membuat pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian; mencetuskan pembangunan desa melalui peningkatan pasaran bagi barangan keluaran desa khususnya pertanian; dan untuk menyelerakkan pembangunan supaya lebih seimbang dan kedua-dua pihak bandar dan luar bandar mendapat manfaat. Dengan menyelerakkan pembangunan ke bandar sederhana, kadar pertumbuhan bandar-bandar metropolitan dengan sendirinya dapat diperlahankan.
5. Bandar Kecil
Bandar kecil adalah bandar yang mempunyai penduduk kurang daripada 30 000 orang. Bandar yang saiz penduduknya relatif kecil lazimnya terletak di wilayah luar bandar dan bertindak sebagai pusat perkhidmatan desa. Bandar kecil berpotensi besar untuk membantu meninggikan daya keluaran pertanian, menyediakan peluang pekerjaan bukan pertanian, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan asas yang diperlukan dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan melalui peningkatan pendapatan dan taraf hidup penduduk desa.

No comments: