Friday, July 24, 2009

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Definisi Bandar dan Pembandaran.

Bagaimana hendak mentakrifkan `bandar’ dan `desa’ adalah agak sukar. Walaupun pelbagai ciri sosial, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain telah digunakan untuk membezakan antara bandar dengan desa, namun kriteria yang paling kerap digunakan ialah saiz penduduk. Dalam banci pada tahun 1957, pusat bandar telah ditakrifkan sebagai suatu tempat yang mempunyai penduduk 1000 orang atau lebih. Tetapi angka ini adalah terlalu rendah kerana ia merangkumi sejumlah besar petempatan. Dalam banci tahun 1970, bandar telah ditafsir semula sebagai kawasan yang diwartakan dengan bilangan penduduk seramai 10 000 orang atau lebih.
Dalam banci tahun 2000, bandar ditakrifkan sebagai kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadanan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk seramai 10 000 atau lebih semasa Banci Penduduk 2000. Kawasan tepu bina adalah kawasan yang terletak bersebelahan kawasan yang diwartakan dan mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk (berumur 10 tahun dan lebih) terlibat dalam aktiviti bukan pertanian dan unit-unit perumahannya mempunyai kemudahan tandas moden.
Bandar wujud melalui proses yang dikenali sebagai pembandaran atau urbanisasi. Pembandaran lazimnya ditakrifkan sebagai suatu proses perubahan sama ada penduduk, petempatan, cara hidup, pekerjaan dan kegiatan ekonomi, pemikiran manusia dan lain-lain ke arah bandar. Jelasnya, konsep pembandaran boleh dilihat dari empat sudut iaitu:
1. Pertambahan jumlah dan peratusan penduduk yang tinggal di kawasan bandar.
2. Perluasan saiz bandar dengan pertambahan bangunan, ruang perniagaan, kawasan petempatan bandar, pertambahan sistem, dan jaringan pengangkutan, pertambahan fungsi bandar dan lain-lain.
3. Perubahan struktur dan kegiatan ekonomi penduduk dari ekonomi tradisional (pertanian) kepada ekonomi moden seperti perindustrian, perkhidmatan, perniagaan, perdagangan dan lain-lain.
4. Perubahan cara hidup penduduk dari tradisional kepada nilai dan gaya hidup bandar yang lebih moden.
Oleh itu, pembandaran dapat dirumuskan sebagai proses yang mengubah sesuatu masyarakat dari kawasan desa ke kawasan bandar dan juga nisbah penduduk bandar berbanding dengan jumlah penduduk. Pembandaran mempunyai permulaan dan akhiran: prosesnya akan selesai apabila semua penduduk tinggal di bandar.

No comments: