Wednesday, December 24, 2008

Nota 40: Langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber

1. Jika diperhitungkan satu persatu, terlalu banyak kerosakan alam sekitar yang telah berlaku yang disebabkan oleh aktiviti manusia meneroka alam untuk memenuhi keperluan mereka.

2. Kerosakan ini ditunjukkan melalui kekerapan terjadinya kejadian bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat yang telah memusnahkan banyak harta benda dan kehilangan nyawa.

3. Eksploitasi sumber yang berlebihan bagi memenuhi keperluan dan kehendak serta keinginan manusia akhir mendatangkan akibat yang buruk.

4. Oleh yang demikian, sewajarnyalah tindakan kawalan perlu diadakan bagi mengelakkan kesan-kesan negatif dari berlaku.

5. Tindakan kawalan pertama adalah melalui langkah perundangan seperti akta, peraturan, denda dan penguatkuasaan. Antaranya ialah:

a). Mewartakan kawasan rezab sumber di samping mengawal-selia aktiviti pembangunan yang berasaskan sumber alam seperti aktiviti pembalakan, pertanian, perlombongan, perindustrian dan lain-lain agar tidak mencemarkan alam sekitar. Kawal selia, pengawasan, dan pemantauan yang teliti dilakukan secara sepadu oleh agensi-agensi kerajaan.

b). Penguatkuasaan undang-undang. Tindakan tegas termasuk denda/kompaun, membatalkan lesen operasi, menyita premis dan juga penjara ke atas mana-mana pihak yang dikenalpasti mencemarkan alam sekitar sama ada ke atas syarikat atau orang perseorangan dan sebagainya. Langkah ini dilaksanakan oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

6. Kedua, tindakan kawalan juga boleh berupa langkah bukan perundangan seperti langkah pengurusan, rawatan dan kempen.

a) Pengurusan

i). Pemuliharaan sumber yang telah tercemar seperti merawat air yang telah tercemar, menyediakan sistem pemerangkap sampah yang berkesan untuk membersihkan sungai dari pencemaran sampah sarap, meninggi dan menyediakan sistem penapisan dalam serombong asap kilang, menghasilkan hujan tiruan untuk membersihkan udara, pemuliharaan sumber tanih, sumber marin dan lain-lain berkaitan.

ii). Mempertingkatkan R&D dan teknologi yang mesra alam seperti penggunaan sumber tenaga gantian, penggunaan bahan kitar semula, dan bahan pengganti, memperluaskan penggunaan bioteknologi dan lain-lain yang boleh mengurangkan risiko pencemaran.

iii). Meningkatkan kerjasama serantau bagi mengawal pencemaran. Misalnya di kalangan negara ASEAN – kerjasama dilakukan melalui pemantauan dan rondaan bersama, perkongsian teknologi dan kos pemuliharaan/pembersihan air laut yang tercemar di samping penyelarasan undang-undang dan peraturan laut. Kerjasama dan penyelarasan antara agensi kerajaan dalam negara, antara kerajaan-swasta-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

b) Kempen dan pendidikan alam sekitar.

i). Melaksanakan kempen dan pendidikan alam sekitar. Menyedarkan masyarakat tentang pentingnya mengawal/mencegah pencemaran. Kempen dilaksanakan melalui pelbagai saluran media massa seperti kempen Cintailah Sungai Kita, atau menganjurkan pelbagai aktiviti sosial seperti gotong royong membersihkan sungai. Pendidikan alam sekitar perlu bermula di peringkat sekolah, universiti dan juga masyarakat.

Nota 39: Kesan aktiviti penduduk ke atas sumber semula jadi

1. Suatu perkara yang jelas ialah tahap penggunaan alam sekitar fizikal dalam proses pembangunan akan menentukan sama ada banyak atau sedikitnya perubahan yang dialami alam sekitar fizikal.

2. Perubahan pada satu bahagian akan diikuti oleh perubahan pada bahagian lain, umpamanya pertambahan penduduk akan menyebabkan pertambahan keperluan tempat tinggal, makanan dan sebagainya.

3. Manusia menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial kerana inginkan pembangunan. Sudah pasti kegiatan ini memerlukan sumber alam dieksploitasi.

4. Eksploitasi sumber yang berterusan menerusi aktiviti pertanian, perindustrian, perlombongan dan pelbagai kegiatan lain tanpa diiringi dengan kawalan pemeliharaan dan pemuliharaan pastinya akan merosakkan keseimbangan ekosistem dan seterusnya menimbulkan pelbagai kesan negatif, seperti;

a). Kemerosotan kualiti sumber. Pembangunan tanah secara besar-besaran sama ada untuk pertanian, petempatan, pembandaran, perindustrian dan lain-lain yang melibatkan aktiviti pembalakan dan penyahhutanan. Ini menyebabkan sumber air seperti sungai dan tasik tercemar.

b). Kemusnahan sumber. Kegiatan pembalakan, pertanian dan penternakan menyebabkan keluasan hutan semakin berkurangan.

c). Kekurangan bekalan sumber. Pembangunan perindustrian, sektor pengangkutan dan pembandaran menyebabkan bekalan sumber bahan api fosil semakin berkurangan akibat eksploitasi berlebihan.
d). kepupusan sumber. Aktiviti-aktiviti pembangunan menyebabkan berlakunya kepupusan sumber semula jadi terutama sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti sumber mineral dan bahan api fosil. Sesetengah spesies flora dan fauna juga pupus kerana pembangunan tanah untuk petempatan, pembandaran, perindustrian dan lain-lain.

4. Sungguhpun demikian, jika aktiviti penduduk tersebut diiringi dengan pertimbangan keseimbangan alam sekitar dan pembangunan berterusan, maka kesan positif akan berlaku, seperti;

a). Pemeliharaan. Usaha-usaha menjaga dan mengawasi sumber bagi mengekalkan keadaan semula jadi sumber-sumber alam tersebut daripada diteroka, dieksploitasi atau dimusnahkan oleh manusia. Usaha penjagaan ini dilaksanakan melalui langkah perundangan. Misalnya melalui Akta Perhutanan Negara, Akta Tanah dan Galian dan juga Akta Perikanan.

b). Pemuliharaan. Usaha-usaha membaik pulih dan menggantikan sumber-sumber alam yang telah diteroka dan dieksploitasi. Usaha ini dilakukan melalui langkah bukan perundangan seperti amalan pengurusan yang strategi dan juga kempen kesedaran serta pendidikan alam sekitar. Sebagai contoh dalam pemuliharaan sumber hutan. Ia boleh dilakukan melalui penanaman semula hutan yang telah ditebang, program silvikultur dan juga kempen cintailah hutan kita.

Nota 38: Kesan Pertumbuhan dan Tumpuan Penduduk Terhadap Alam Sekitar

1. Jika di ulang semula tajuk taburan penduduk dan pertumbuhan penduduk, kita akan mendapati bahawa penduduk cenderung untuk tertumpu di sesuatu kawasan atas banyak alasan.

2. Didapati juga pertumbuhan penduduk yang pesat berlaku di negara-negara sedang membangun yang kebanyakan penduduknya hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan yang tegar.

3. Keadaan ini pasti akan menambah tekanan kepada alam sekitar untuk menampung bilangan penduduk yang semakin ramai itu. Eksploitasi alam sekitar dibenarkan atas dasar memenuhi keperluan manusia.

4. Akhirnya, pertumbuhan dan tumpuan penduduk di sesuatu kawasan akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap alam sekitar, antaranya ialah:

a). Tekanan terhadap sumber alam khususnya terhadap sumber tanah. Persaingan guna tanah untuk petempatan, pertanian, perindustrian, pembandaran, infrasturktur dan sebagainya menjadi semakin hebat apabila penduduk bertamabh. Kesannya saiz tanah secara relatifnya menjadi semakin sempit dan harganya semakin mahal.

b). Kepupusan/ kehabisan sumber alam khususnya jenis sumber yang tidak boleh diperbaharui. Misalnya sumber mineral seperti sumber bahan api fosil, bijih timah, bijih besi, emas dan lain-lain akibat pengeluaran berlebihan bagi menampung keperluan penduduk yang bertambah dengan pesat. Dalam keadaan sumber tersebut tidak boleh diganti maka kesan jangka panjangnya ialah diancam kehabisan atau kepupusan.

c). Pencemaran dan kemusnahan/kerosakan sumber seperti sumber udara dan air akibat pertambahan industri, kenderaan, pembuangan sisa domestik yang biasanya sejajar dengan pertumbuhan penduduk yang pesat. Termasuk juga kesan hakisan tanih serta tanah runtuh.

d). Berkurangnya sumber-sumber makanan khususnya yang berasaskan hasil-hasil pertanian, sumber perikanan dan penternakan relatif dengan keperluan penduduk yang bertambah dengan pesat. Pengeluaran sumber-sumber makanan tersebut tidak sepadan dengan pertambahan penduduk.

e). Kesan positif. Pembangunan sumber alam meningkat, sumber tidak terbiar membazir kerana mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk menjana dan membangunkannya.

Nota 37: Keseimbangan Ekosistem

1. Alam sekitar fizikal berada dalam keadaan seimbang apabila unsur fizikal bertindak balas antara satu dengan lain pada tahap semula jadi.

2. Dalam konteks untuk memenuhi keperluan hidup, manusia menganggap alam sekitar itu sumber yang membekalkan keperluan hidup manusia dan bertindak menggunakannya dengan mengambil kira etika pemuliharaan.

3. Manusia perlu memulihara keseimbangan tersebut supaya bekalan sumber berterusan dan kualitinya tidak terjejas sehingga generasi akan datang dapat menikmatnya.

4. Untuk lebih terperinci, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber (boleh diperbaharui) perlu dilakukan atas faktor-faktor berikut:

a). Untuk menjamin keperluan dan kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang sentiasa dapat dipenuhi seperti keperluan terhadap sumber air dan udara yang bersih, bekalan sumber pertanian (tanih), dan perikanan (marin) yang cukup dan lain-lain kebergantungan hidup manusia terhadap sumber alam.

b). Untuk menjamin keberkesanan sektor ekonomi yang bergantung kepada sumber berkenaan sebagai bahan mentah atau sumber tenaga. Seperti kegiatan pembalakan dan pelancongan yang bergantung kepada sumber hutan, sumber air membekalkan tenaga kepada sektor perindustrian, pengangkutan dan sebagainya.

c). Untuk menjamin kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan dan berkembang dengan pesat seperti R&D dalam bioteknologi dan bioperubatan.

d). Untuk mengekalkan sumber warisan seperti pelbagai jenis hidupan liar, hidupan marin, tumbuhan yang berharga daripada diancam kepupusan.

e). Untuk mengekalkan keseimbangan sistem alam sekitar fizikal sama ada sistem hidrologi, sistem ekologi, sistem atmosfera dan juga sistem geomorfologi.

Nota 36: Daya Tampung Persekitaran Fizikal

1. Hubungan antara manusia dengan alam sekitar dirumuskan dalam dua cara, iaitu manusia dipengaruhi oleh alam sekitar dan pada masa yang sama manusia mempunyai keupayaan merubah alam sekitar.

2. Manusia memerlukan sumber alam untuk kehidupan dan kemajuan sosioekonomi. Sumber alam digunakan untuk menyempurnakan tiga keperluan manusia yang utama, iaitu makanan, pakaian dan perlindungan.

3. Untuk keperluan ini, sumber-sumber di darat dan air telah dieksploitasi seperti tanah pertanian dan padang rumput sebagai punca penghasilan bahan makanan. Manusia juga menggunakan sumber alam sebagai asas pembangunan ekonomi misalnya sumber mineral dan tenaga.

4. Namun, alam sebagai sumber mempunyai had untuk menampung keperluan manusia yang dikenali sebagi daya tampung persekitaran fizikal.

5. Daya tampung persekitaran fizikal (atau sumber alam) merujuk kepada kecukupan sumber alam seperti tanah pertanian, bekalan tenaga, air dan udara untuk menampung kehidupan manusia di sesebuah kawasan.

6. Dengan kata lain. daya tampung persekitaran fizikal ialah bilangan penduduk yang mampu ditampung oleh persekitaran tanpa mendatangkan kesan negatif. Ini bermakna saiz penduduk adalah sentiasa sama dengan sumber alam.

Nota 35: Kepentingan penerokaan sumber

1. Di samping memberikan pelbagai alasan yang mendorong sesuatu sumber diterokai, manusia juga melihat penerokaan sumber sesuatu yang penting. Antara kepentingan penerokaan sumber adalah seperti berikut:

a). Sumber semulajadi dijadikan bahan mentah dalam pelbagai kegiatan perindustrian. Misalnya petroleum digunakan dalam industri petrokimia.

b). Mewujudkan dan menambah pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk. Pertambahan peluang pekerjaan ini dapat meningkatkan taraf hidup penduduk dan mengurangkan kadar pengangguran.

c). Penerokaan pelbagai sumber hutan, mineral dan tenaga menyumbangkan pendapatan kepada negara.

d). Penerokaan sumber membolehkan sesuatu kawasan baru dibuka dan dimajukan kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan penduduk.

f). Penerokaan sumber menggalakkan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jaringan jalan pengangkutan, komunikasi, bekalan air dan bekalan elektrik, kesihatan serta pendidikan.

Nota 34: Faktor-faktor penerokaan sumber

1. Manusia menerokai sumber atas pelbagai alasan. Antaranya adalah seperti berikut:

a). Nilai ekonomi yang dimiliki oleh sumber-sumber tersebut seperti harganya yang mahal, boleh dan menguntungkan apabila dieksport bagi menghasilkan pendapatan negara.

b). Faktor pasaran. Terdapatnya permintaan yang tinggi sama ada dari dalam atau luar negara. Sumber berkenaan boleh memenuhi keperluan pengguna iaitu penduduk, sektor industri, sektor perkhidmatan dan sebagainya.

c). Keupayaan sumber tenaga tersebut untuk membekalkan tenaga seperti sumber petroleum, gas asli, arang batu, tenaga hidro, tenaga solar dan lain-lain.

d). Sifat-sifat yang dimiliki oleh sumber berkenaan. Misalnya sumber tersebut banyak `berterusan’ tidak habis, mudah diperolehi, kosnya murah, bersih serta risiko terhadap alam sekitar yang minima.

e). Faktor modal. Adanya keupayaan modal untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber berkenaan khususnya bagi sumber yang memerlukan modal yang besar.

f). Faktor teknologi dan kepakaran. Adanya keupayaan teknologi untuk meneroka dan mengambil sumber tersebut khususnya bagi sumber yang memerlukan teknologi tinggi dan kepakaran tenaga mahir.

g). Keupayaan sumber tersebut untuk memenuhi keperluan tenaga kerja atau tenaga buruh dalam negara berkenaan apabila diteroka – menyediakan pekerjaan yang banyak.

h). Keupayaan sumber tersebut untuk menggerakkan sektor-sektor ekonomi yang lain dalam negara berkenaan. Misalnya sumber perlombongan membantu memperkembangkan sektor industri dan perkhidmatan.