Friday, July 24, 2009

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Peranan bandar dalam pembangunan sesebuah negara.

(i). Tempat pemasaran. Bandar terutama bandar-bandar kecil berperanan untuk menjadi tempat memasarkan produk pertanian desa kerana bandar mudah didatangi dari mana-mana tempat di seluruh kawasan pengaruhnya. Pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan untuk tujuan pemasaran seperti pemasaran bergerak dan pasar mingguan. Selain itu, institusi untuk pengumpulan, penyimpanan, pertukaran dan pengagihan bahan keluaran pertanian juga disediakan. Misalnya bandar kecil menjadi pusat pengumpul dan memproses bahan keluaran pertanian untuk dieksport ke tempat lain, mengeluarkan barangan melalui perkilangan dan mengumpul serta memproses hasil lain seperti hasil hutan, hasil laut dan perlombongan.
(ii). Bandar juga menyediakan kemudahan perkhidmatan untuk kepentingan penduduk sekitarnya seperti institusi kewangan, pendidikan, pentadbiran, rawatan perubatan moden, khidmat bantuan nasihat, guaman, pos, mengagih barangan makanan, pakaian dan barangan lain. Penyediaan perkhidmatan tersebut dapat meninggikan kualiti kehidupan penduduk.
(iii). Bandar menyediakan suasana bagi perubahan. Masyarakat yang telah diperbandarkan lebih mudah menerima perubahan ke arah kemajuan. Di bandar, halangan institusi sosial tidak terpengaruh dalam menyekat masyarakat daripada mengalami perubahan. Oleh itu, pemodenan lebih mudah berlaku.
(iv). Pembauran inovasi – penyebaran secara mengempar benih pembaharuan seperti idea baru, teknik moden, peralatan, maklumat, pengetahuan, kaedah mengurus dan barangan pengguna moden yang datang dari petempatan/bandar hierarki atasannya. Bandar adalah pusat penyebaran idea pembangunan, penularan inovasi dan penyampaian teknologi dan maklumat berguna bagi perubahan masyarakat. Wujudnya peluang pembelajaran, peluang berinteraksi yang luas, konteks dan pendedahan kepada berbagai-bagai kemudahan mempercepatkan proses pemodenan serta pembangunan. Institusi sosial dan ekonomi di bandar dapat melicinkan lagi proses perubahan tersebut.
(v). Dengan meningkatkan tahap pembandaran, proses penularan pembangunan dapat berlaku dengan lebih cepat. Pembandaran boleh berlaku melalui pembesaran saiz bandar, perpindahan penduduk, penjalinan bandar dengan sistem pengangkutan yang cekap, peluasan rangkaian komunikasi dan sebagainya. Di sesetengah negara peningkatan tahap primasi bandar utama boleh membantu meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melalui aglomerasi ekonomi. Pengangkutan yang cekap merendahkan kos pengeluaran dan meningkatkan daya pengeluaran.
(vi). Pemodenan melalui pendidikan menggalakan perubahan sosial dan mental. Bandar arena dan tempat bermulanya proses perubahan. Peluang-peluang memajukan ekonomi yang lebih luas boleh mendorong penduduk bandar membangun dengan pesat. Pembandaran dapat melahirkan golongan kelas menengah – kumpulan penduduk yang mempunyai pendapatan yang agak tinggi dan stabil, moden, terbuka dan berpendidikan tinggi dengan amalan budaya/cara hidup yang berbeza dengan kumpulan penduduk miskin/luar bandar. Golongan ini yang melahirkan pekerja profesional, pemimpin dan korporat – atau kumpulan pekerja yang lebih mudah menerima perubahan. Melalui pembandaran juga muncul pemimpin politik dan pemimpin masyarakat yang berfikiran luas dan berupaya mencabar kepimpinan negara supaya melakukan perubahan ke arah pembaikan. Mereka juga cenderung untuk bertindak melakukan perubahan dalam masyarakat. Para pentadbir, pengusaha, peniaga dan pemimpin masyarakat ini mempunyai berbagai-bagai idea yang boleh membantu pembangunan negara.
(vii). Bandar turut menyediakan peluang pekerjaan bukan pertanian seperti perindustrian dan perkhidmatan kepada penduduk sekitarnya. Melalui pembandaran, bandar metropolitan juga menyediakan keadaan yang paling sesuai bagi perkembangan ekonomi moden. Industri pembuatan dapat berkembang di bandar kerana terdapat kemudahan asas, tenaga mahir, pasaran dan sebagainya. Begitu juga, kegiatan perniagaan firma moden, institusi kewangan, koperasi, perdagangan antarabangsa dan sebagainya hanya wujud di bandar besar. Melalui aglomerasi ekonomi, peningkatan daya pengeluaran dapat dilakukan dan keadaan ini hanya boleh wujud di bandar metropolitan.

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Pembandaran di Malaysia : Kajian Semenanjung Malaysia

Proses pembandaran di Malaysia (khususnya di semananjung Malaysia) berlaku dengan pesat. Sejak merdeka, peratus penduduk bandar di Semenanjung Malaysia telah bertambah tiga kali ganda iaitu dari 26.5 peratus atau 1.7 juta orang pada 1957, kepada 65.3 peratus atau kira-kira 11.5 juta orang pada 2000. Dalam tempoh 1957 – 2000, Bilangan bandar juga telah bertambah dari 36 buah pada 1957 kepada 143 buah pada 2000.
Dari segi pola ruang pembandaran, di Semenanjung Malaysia menunjukkan taburan tidak seimbang di mana kawasan Pantai Barat Semenanjung masih lagi mempunyai darjah pembandaran yang tinggi. Rumusan awal yang boleh dibuat adalah pembandaran pada umumnya bertumpu di kawasan yang telah sedia maju seperti Lembah Kelang, Johor Bahru, Seremban, Lembah Kinta, Larut dan Matang. Di Pantai Timur pula hanya Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan yang menjadi pusat tumpuan pembandaran. Hal ini berlawanan dengan matlamat dan dasar kerajaan untuk menyelerakkan pembandaran ke kawasan-kawasan yang mundur, terutamanya ke bandar-bandar saiz sederhana dan saiz kecil selain menubuhkan bandar-bandar baru.
Kadar pertumbuhan penduduk bandar di Semenanjung Malaysia selepas Perang Dunia Kedua melebihi empat kali ganda daripada kadar pertumbuhan penduduk luar bandar. Pembandaran yang tidak terancang menyebabkan ramai penduduk luar bandar berhijrah ke bandar. Namun, dasar yang banyak menekankan pembangunan luar bandar di antara tahun 1957 dengan 1970 telah diikuti oleh kadar pertumbuhan penduduk bandar yang agak perlahan, sebaliknya penduduk desa berkembang lebih pesat daripada dekad-dekad sebelumnya. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan sejak tahun 1970 telah membuktikan keberkesanannya dalam memesatkan pertumbuhan penduduk desa . Walaupun darjah pembandaran telah meningkat lebih 65 peratus, ini tidak pula bermakna bahawa matlamat pembangunan melalui pembandaran yang seimbang telah tercapai sepenuhnya.
Trend pembandaran dan pertumbuhan bandar-bandar yang sedang berlaku di negara ini menunjukkan trend dan kadar pertumbuhan penduduk bandar-bandar saiz sederhana dan bandar-bandar kecil adalah pesat antara tahun 1980 dengan tahun 1990 tetapi mula menurun antara tahun 1991 dengan tahun 2000. Sebaliknya trend pembandaran dan kadar pertumbuhan penduduk bandar besar (lebih 250 000 orang) adalah pesat antara tahun 1991 dengan tahun 2000. Bandar-bandar metropolitan dalam kategori 100 000 – 249 999 orang mengalami pertumbuhan yang perlahan sepanjang tempoh 1980 hingga 2000.
Sebab-sebab penumpuan penduduk di bandar-bandar tidak sekata
(i). Faktor sejarah pembandaran yang lebih awal dan lebih lama dialami oleh sesetengah bandar berkenaan. Ini menyebabkan bandar-bandar lebih awal mengalami kemajuan dan sudah lama mengalami pertambahan penduduk sama ada secara migrasi atau semulajadi.
(ii). Kemajuan sektor ekonomi moden khususnya industri perkilangan dan perkhidmatan di bandar-bandar tertentu. menjadi daya tarikan utama migrasi masuk penduduk dari luar.
(iii). Pemusatan fungsi seperti pentadbiran, pendidikan, pengangkutan dan perhubungan, perniagaan dan lain-lain yang dijalankan oleh bandar-bandar tertentu yang juga menjadi daya tarikan untuk migrasi masuk penduduk.
(iv). Pertumbuhan semula jadi penduduk bandar-bandar tertentu yang lebih pesat berlaku berbanding dengan bandar-bandar lain ekoran daripada komposisi umur migran yang muda dan subur yang menyebabkan kadar kelahiran tinggi.
Faktor-faktor mempengaruhi proses pembandaran di Malaysia
Pada tahun 2000 lebih separuh penduduk dunia yang berjumlah 6.1 bilion tinggal di kawasan bandar berbanding 100 tahun yang lampau hanya 15 peratus atau 248.4 juta orang. Perkembangan ini adalah yang paling pesat pernah direkodkan dalam sejarah tamadun manusia. Di Malaysia, pembandaran juga berlaku dengan pesat. Pada tahun 1970, 28.2 peratus daripada 9 147 juta penduduk negara ini tinggal di bandar. Peratusan ini meningkat kepada 62 peratus atau 14.4 juta orang pada tahun 2000. Di Malaysia, proses pembandaran berlaku dengan pesat disebabkan oleh faktor-faktor seperti:
(i). Kesan daripada kegiatan pengeluaran sumber alam tempatan. Aktiviti pengeluaran seperti perlombongan telah menggalakkan pertumbuhan bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Seremban dan lain-lain. Pembukaan kawasan-kawasan pertanian di kawasan kaki bukit di sepanjang banjaran-banjaran utama menggalakkan pertumbuhan bandar-bandar seperti Alor Setar, Segamat, Tapah, dan lain-lain.
(ii). Perpindahan penduduk dari desa. Selepas negara mencapai kemerdekaan, pengaliran penduduk desa ke bandar begitu pesat kerana mereka tertarik dengan peluang-peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian yang terdapat di bandar dan juga kerana didesak oleh keadaan mundur di luar bandar.
(iii). Penumpuan fungsi di bandar-bandar utama. Kegiatan ekonomi seperti perindustrian, perkhidmatan dan perdagangan sebahagian besarnya bertumpu di bandar-bandar utama. Keperluan tenaga kerja yang ramai telah menarik penduduk untuk berpindahnya. Keperluan ruang-ruang tapak bangunan menyebabkan banyak kawasan pertanian di sekitar bandar bertukar sifat menjadi gunatanah bandar.
(iv). Pembandaran kawasan-kawasan yang mundur. Dasar kerajaan selepas merdeka menyebabkan banyak kawasan yang mundur dimajukan untuk mengimbangkan pembangunan di antara wilayah-wilayah dalam negara. Penubuhan bandar-bandar baru, memajukan bandar-bandar yang mundur, terutamanya di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia, telah memesatkan lagi proses pembandaran di negara ini.
(v). Pertumbuhan penduduk bandar secara semula jadi. Perpindahan yang berlaku secara beramai-ramai selepas Perang Dunia Kedua telah diikuti dengan pertumbuhan penduduk semulajadi beberapa dekad kemudiaannya. Pertumbuhan penduduk yang pesat menggalakkan perluasan kawasan bandar.
(vi). Penempatan semula penduduk. Proses penempatan semula penduduk semasa darurat akibat ancaman komunis antara tahun 1948 hingga 1963 telah menggalakkan perkembangan bandar-bandar. Pusat-pusat penempatan semula ini tiap-tiap satunya menempatkan lebih daripada 2 000 orang. Dalam masa beberapa tahun sahaja selepas pusat-pusat tersebut dibuka, muncul beberapa buah pusat bandar seperti Jinjang, Serdang Baru dan lain-lain.
(vii). Perluasan kawasan sempadan sesuatu bandar. Proses ini berlaku sama ada dari pusat ke pinggir atau perkembangan pesat zon pinggir bandar itu sendiri. Proses ini menyebabkan sempadan sesebuah bandar bercantum dengan sempadan bandar lain yang berdekatan dengannya. Contohnya, Kuala Lumpur dengan Petaling Jaya dan Shah Alam sehingga membentuk satu metropolis. Di sesetengah negara, perluasan kawasan sempadan ini terlalu pesat sehingga banyak bandar yang berdekatan telah bergabung menjadi bandar yang lebih besar dikenali sebagai megalopolis.

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Pola Pembandaran: Dunia
Pada tahun 1900 hanya 15 peratus sahaja penduduk dunia tinggal di pusat-pusat bandar. Pada 1950, peratusan penduduk dunia yang tinggal di bandar ialah kira-kira 30 peratus. Pada tahun 1990 jumlah ini meningkat kepada 43 peratus dan pada 2000 lebih separuh penduduk dunia tinggal di kawasan pembandaran. Menjelang tahun 2050 dijangkakan 61 peratus penduduk dunia akan tinggal di bandar. Pertambahan penduduk bandar yang pesat di dunia sebahagiannya besarnya adalah akibat daripada perpindahan penduduk dari desa terutama di negara membangun.
Pembandaran semakin meningkat dengan pesat terutama di negara membangun. Antara 1950 hingga 2000, penduduk dunia yang tinggal di bandar meningkat sebanyak 2 120 juta. Sebahagian besar (1 617 juta) pertambahan ini berlaku di negara membangun. Kadar pertambahan penduduk bandar bagi tempoh 1990-2000 di negara Asia dan Afrika misalnya masing-masing mencatatkan purata 3.1 peratus dan 4.8 peratus setahun berbanding kadar di Eropah dan Amerika yang masing-masing hanya 0.9 peratus dan 1.0 peratus setahun. Meskipun peratusan penduduk bandar di negara membangun rendah berbanding daripada negara maju tetapi jumlah mutlaknya cukup besar.
Perbezaan proses pembandaran negara maju dan negara membangun
(i). Di negara-negara maju, pembandaran dan kemajuan serta perubahan masyarakat berlaku serentak. Di negara-negara membangun, penumpuan penduduk di kawasan bandar tidak diikuti oleh kemajuan ekonomi perindustrian.
(ii). Penduduk bandar di negara-negara membangun bergantung kepada kegiatan perdagangan, perniagaan dan perkhidmatan di mana sebahagian besarnya dalam bentuk sara diri. Akibatnya, wujud berbagai masalah sosial dan ekonomi di bandar-bandar di negara membangun.
(iii). Proses pembandaran di negara-negara membangun masih berterusan dengan kadar yang pesat, melebihi kadar purata pertambahan penduduk bandar dunia. Misalnya di Malaysia, 66.8 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar.
(iv). Tekanan pembangunan di negara-negara membangun semakin ditumpukan ke atas kawasan bandar. Keberkesanan strategi memajukan ekonomi melalui pembandaran menyebabkan bandar dianggap penting dan dapat digunakan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.
(v). Di negara maju pembandaran disebabkan oleh perubahan masyarakat dan penemuan teknik dan teknologi moden dalam bidang pertanian, pembuatan, pengangkutan dan perindustrian berbanding di negara membangun pembandaran berlaku kerana proses penumpuan penduduk ke bandar-bandar besar kerana keadaan pembangunan tidak seimbang di antara wilayah-wilayah dalam negara, juga di antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar.
Persamaan proses pembandaran negara maju dan negara membangun
(i). Penumpuan penduduk di bandar-bandar besar dan utama. Bagi kebanyakan negara membangun, wujudnya fenomena penumpuan penduduk ke bandar-bandar besar adalah salah satu petanda kemajuan pembangunan tidak seimbang di antara wilayah-wilayah di dalam negara.
Pertumbuhan penduduk bandar khususnya di negara membangun banyak dicirikan oleh perkembangan bandar besar. Penumpuan penduduk ke bandar-bandar besar adalah ketara sekali. Pada tahun 2015, dianggarkan 3.9 bilion penduduk dunia akan mendiami kawasan bandar dan lebih 40 peratus atau 1.6 bilion akan mendiami bandar yang mempunyai penduduk melebihi satu juta orang berbanding 177.2 juta pada 1950 dan 1.4 bilion pada 2000. Menjelang 2015 juga, 375 juta penduduk akan mendiami 23 buah “megacities” atau kawasan bandar yang mempunyai penduduk melebihi 10 juta seperti Tokyo, Mumbai, Lagos, Dhaka dan Sao Paulo.

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Jenis-Jenis Bandar

1. Bandar raya Global.
Bandar raya global ialah bandar yang menempatkan pelbagai aktiviti ekonomi yang bertaraf dunia seperti industri maju, bank besar, hotel, ibu pejabat perdagangan, insurans dan sebagainya. Misalnya London, Tokyo, New York dan Paris. Bandar raya seperti Singapura, Hong Kong dan Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada rangkaian aktiviti pengeluaran global dan menempati hierarki bawahan bandar raya dunia tetapi belum sesuai untuk digelar bandar raya global. Friedmann (dalam Katiman Rostam 2002: 156) menjelaskan bahawa bandar raya global memiliki sifat khusus seperti keunggulannya sebagai pusat perdagangan, pusat kewangan antarabangsa dan pusat perindustrian.
Kewujudan berbagai-bagai fungsi mega yang lebih bersifat tertier termasuk pusat pasaran kewangan utama dunia dan ibu pejabat korporat perdagangan berbilang negara (MNC) atau firma transnasional, kewujudan berbagai-bagai institusi antarabangsa, pertumbuhan pesat sektor perkhidmatan dan perniagaan selain pusat perindustrian utama dan pusat jaringan pengangkutan antarabangsa adalah syarat utama untuk membolehkan sesebuah bandar raya digelar bandar raya global.
Pengesahan empirik status sesebuah bandar raya global juga didasarkan kepada hal seperti kekerapan menganjurkan seminar dan persidangan antarabangsa, banyaknya hotel bertaraf lima bintang, pembangunan perumahan moden (kondominium mewah) dan pusat membeli belah bertaraf antarabangsa. Terdapat empat bandar raya global utama di dunia, iaitu New York, Tokyo, London dan Paris.
Bandar raya global ini terletak di wilayah-wilayah dunia yang maju. Di benua Amerika Utara, New York adalah pusat tumpuan utama firma perdagangan terbesar dunia seperti ICI, GEC, Exon dan Nestle. Di rantau Asia, Tokyo adalah bandar raya global kerana dicirikan oleh fungsinya yang pelbagai dan global seperti pusat kewangan dunia. Di Eropah pula, London dan Paris adalah bandar raya global yang utama kerana peranannya dari segi ekonomi dianggap unggul di rantau tersebut.
Bandar raya global bertindak sebagai hub kepada berbagai-bagai rangkaian fungsi seperti perdagangan import-eksport, telekomunikasi, kewangan dan pengangkutan. Semakin besar operasinya, impak terhadap pembandaran dan perkembangan bandar juga semakin ketara. Bandar raya global juga berperanan sebagai penggerak ekonomi masa kini dan kebanyakan keputusan penting tentang pelaburan dibuat di sini. Oleh itu, bandar raya tersebut juga bertindak sebagai pemacu proses pembandaran sejagat. (Katiman Rostam 2002: 157)
2. Bandar Primat
Bandar primat adalah bandar raya yang terbesar dan dominan di sesebuah negara. Menurut Mark Jefferson (dalam Katiman Rostam 1988: 61) primasi akan wujud apabila terdapat sebuah bandar utama di sesuatu wilayah atau negara yang saiz penduduknya beberapa kali lebih besar daripada saiz penduduk bandar yang menduduki peringkat kedua. Salah satu cara yang biasa digunakan untuk mengukur keperimasian ialah indeks empat bandar raya. Ia dikira dengan membahagikan penduduk bandar raya terbesar dengan jumlah penduduk semua empat buah bandar raya didarab 100. Dalam hal ini bandar primat didefinisikan sebagai bandar raya terbesar di sebuah negara yang saiznya melebihi lima kali bandar yang menduduki peringkat kedua di negara berkenaan dan saiz bandar yang terlampau besar.
Wujudnya bandar primat adalah suatu keadaan yang menunjukkan bahawa terdapat lebihan penduduk di bandar berkenaan. Di negara membangun, kewujudan bandar primat menggambarkan tentang taburan penduduk dan pembangunan yang tidak seimbang di negara berkenaan. Penumpuan aktiviti sosial dan ekonomi di bandar besar amat ketara. Penumpuan penduduk yang berterusan ke bandar besar menyebabkan peruntukan pembangunan sosial terpaksa disalurkan ke bandar berkenaan. Pembandaran menumpu seperti ini menimbulkan masalah-masalah lain; misalnya pembangunan sosial dan ekonomi hanya wujud di bandar besar, sedangkan kawasan-kawasan yang lain terus ketinggalan.
Masalah bandar primat bukan sahaja saiz bandar yang terlalu besar, tetapi juga kesannya terhadap taburan infrastruktur dan kemudahan awam. Oleh sebab pelaburan awam dan swasta yang sedikit hanya bertumpu di bandar besar, kawasan luar bandar terabai. Keadaan ini menyebabkan jurang pendapatan dan taraf hidup penduduk di bandar dan desa terus melebar. Perpindahan ke bandar besar berlaku kerana kekurangan peluang pekerjaan di desa. Di bandar juga mereka tidak mudah mendapat pekerjaan. Hal ini menimbulkan masalah seperti pengangguran, kemiskinan dan perumahan terutama di negara membangun.
3. Metropolis
Metropolis merujuk bandar raya besar biasanya ibu negara kepada sebuah negara yang kecil atau sebuah ibu wilayah yang utama di sebuah negara yang besar. Metropolis mempunyai saiz penduduk melebihi satu juta orang dan mempunyai sistem pentadbiran sendiri. Metropolis mempunyai fungsi yang penting sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan utama di sesebuah negara dengan pengaruhnya melangkaui sempadan wilayah. Proses perkembangan bandar metropolis melalui perluasan kawasan terbandar dan pertumbuhan suburbia di pinggir bandar mengurangkan tumpuan penduduk dalam bandar raya. Perkembangan di luar kawasan bandar raya melibatkan kawasan guna tanah bandar yang sangat luas. Metropolis berperanan sebagai pusat yang memudahkan mekanisma bagi menggerakkan kemasukan sesebuah negara, terutamanya negara membangun, ke dalam sistem ekonomi antarabangsa. Pemusatan pelaburan awam dan swasta di bandar metropolis boleh mencetuskan bibit pembangunan yang boleh mengempar ke pinggir.

4. Bandar Sederhana
Bandar sederhana adalah bandar yang penduduknya antara 31 000 hingga 100 000 orang. Sesetengah pengkaji menggunakan bilangan penduduk antara 25 000 sehingga 99 999 orang untuk mentakrifkan bandar sederhana. Bandar sederhana lazimnya adalah ibu negeri/wilayah yang pengaruhnya meliputi sebuah wilayah. Bandar sederhana dibangunkan dengan tujuan seperti: untuk mengurangkan penumpuan pembangunan di bandar-bandar primat; menyaingi tarikan bandar primat sebagai pilihan untuk membuat pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian; mencetuskan pembangunan desa melalui peningkatan pasaran bagi barangan keluaran desa khususnya pertanian; dan untuk menyelerakkan pembangunan supaya lebih seimbang dan kedua-dua pihak bandar dan luar bandar mendapat manfaat. Dengan menyelerakkan pembangunan ke bandar sederhana, kadar pertumbuhan bandar-bandar metropolitan dengan sendirinya dapat diperlahankan.
5. Bandar Kecil
Bandar kecil adalah bandar yang mempunyai penduduk kurang daripada 30 000 orang. Bandar yang saiz penduduknya relatif kecil lazimnya terletak di wilayah luar bandar dan bertindak sebagai pusat perkhidmatan desa. Bandar kecil berpotensi besar untuk membantu meninggikan daya keluaran pertanian, menyediakan peluang pekerjaan bukan pertanian, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan asas yang diperlukan dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan melalui peningkatan pendapatan dan taraf hidup penduduk desa.

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Definisi Bandar dan Pembandaran.

Bagaimana hendak mentakrifkan `bandar’ dan `desa’ adalah agak sukar. Walaupun pelbagai ciri sosial, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain telah digunakan untuk membezakan antara bandar dengan desa, namun kriteria yang paling kerap digunakan ialah saiz penduduk. Dalam banci pada tahun 1957, pusat bandar telah ditakrifkan sebagai suatu tempat yang mempunyai penduduk 1000 orang atau lebih. Tetapi angka ini adalah terlalu rendah kerana ia merangkumi sejumlah besar petempatan. Dalam banci tahun 1970, bandar telah ditafsir semula sebagai kawasan yang diwartakan dengan bilangan penduduk seramai 10 000 orang atau lebih.
Dalam banci tahun 2000, bandar ditakrifkan sebagai kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadanan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk seramai 10 000 atau lebih semasa Banci Penduduk 2000. Kawasan tepu bina adalah kawasan yang terletak bersebelahan kawasan yang diwartakan dan mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk (berumur 10 tahun dan lebih) terlibat dalam aktiviti bukan pertanian dan unit-unit perumahannya mempunyai kemudahan tandas moden.
Bandar wujud melalui proses yang dikenali sebagai pembandaran atau urbanisasi. Pembandaran lazimnya ditakrifkan sebagai suatu proses perubahan sama ada penduduk, petempatan, cara hidup, pekerjaan dan kegiatan ekonomi, pemikiran manusia dan lain-lain ke arah bandar. Jelasnya, konsep pembandaran boleh dilihat dari empat sudut iaitu:
1. Pertambahan jumlah dan peratusan penduduk yang tinggal di kawasan bandar.
2. Perluasan saiz bandar dengan pertambahan bangunan, ruang perniagaan, kawasan petempatan bandar, pertambahan sistem, dan jaringan pengangkutan, pertambahan fungsi bandar dan lain-lain.
3. Perubahan struktur dan kegiatan ekonomi penduduk dari ekonomi tradisional (pertanian) kepada ekonomi moden seperti perindustrian, perkhidmatan, perniagaan, perdagangan dan lain-lain.
4. Perubahan cara hidup penduduk dari tradisional kepada nilai dan gaya hidup bandar yang lebih moden.
Oleh itu, pembandaran dapat dirumuskan sebagai proses yang mengubah sesuatu masyarakat dari kawasan desa ke kawasan bandar dan juga nisbah penduduk bandar berbanding dengan jumlah penduduk. Pembandaran mempunyai permulaan dan akhiran: prosesnya akan selesai apabila semua penduduk tinggal di bandar.

Saturday, June 27, 2009

Nota 2 : Proses perubahan desa

1. Desa diakui telah mengalami perubahan dari segi sosioekonomi. Data-data yang dikemukakan dalam perbincangan sebelum ini membuktikan perubahan tersebut.

2. Dasar dan strategi pembangunan desa juga turut diakui menjadi faktor utama perubahan itu.

3. Perbincangan kini ialah pemahaman tentang bagaimana proses perubahan desa tersebut berlaku.

4. Terdapat empat cara yang boleh menerangkan bagaimana sosioekonomi desa berubah, iaitu:

(a) Saling kebergantungan Desa-Bandar
i. Saling kebergantungan Desa-Bandar bermaksud saling hubungan di antara petempatan desa dengan bandar. Hubungan ini ditunjukkan melalui interaksi penduduk.
ii. Interaksi berlaku dalam bentuk kunjungan penduduk desa ke bandar.
iii. Bandar berfungsi menyediakan peluang pekerjaan, punca maklumat dan inovasi, barangan dan kemudahan perkhdmatan.
iv. Oleh itu penduduk desa ke bandar untuk bekerja, mengguna barangan dan perkhidmatan, memasarkan produk desa.
v. Untuk menjadikan interaksi ini berkesan maka rangkaian perhubungan melalui jalan pengangkutan, media massa dan rangkaian komunikasi lain mesti diwujudkan dan di pertingkatkan mutunya.
vi. Rangkaian perhubungan ini akan menghasilkan pola aliran seperti perjalanan penduduk, perpindahan penduduk, pengangkutan barangan, penyebaran maklumat dan sebagainya dari desa ke bandar atau sebaliknya.
vii. Interaksi desa-bandar ini menyebabkan proses bauran inovasi berlaku secara berlanjutan dan akhirnya penduduk desa akan mengalami perubahan.
viii. Perubahan yang berlaku meliputi aspek pekerjaan, cara hidup, sikap, pendidikan, keadaan kesihatan dan persekitaran termpat kediaman.

(b) Pembandaran Desa
i. Pembandaran desa berlaku melalui pembangunan bandar baru dan juga rebakan bandar terdekat.
ii. Penubuhan bandar baru di kawasan luar bandar bertujuan supaya taraf hidup penduduk dapat dipertingkatkan dan dimodenkan.
iii. Pembangunan bandar baru telah mengubah fungsi petempatan desa iaitu sebagai pusat pemasaran hasil keluaran desa, pusat penjanaan peluang pekerjaan dan pusat perkhidmatan bagi penduduk desa dan sekitarnya.
iv. Rebakan bandar pula berlaku akibat kesukaran bandar menampung pembangunan yang pesat. Penumpuan penduduk dan kegiatan sosioekonomi di bandar menyebabkan bandar menjadi sesak.
v. Kesesakan ini memaksa pembangunan dialihkan keluar ke kawasan desa berdekatan. Proses peralihan keluar pembangunan ini dinamakan rebakan bandar.
vi. Proses rebakan bandar ini akhirnya menyebabkan kawasan desa sekitarnya berubah menjadi sebuah petempatan yang moden.

(c) Pusat pertumbuhan
i. Selain penubuhan bandar baru, pusat pertumbuhan desa dan bandar kecil turut dibina di desa.
ii. Pusat pertumbuhan desa ini menawarkan fungsi perkhidmatan sosial dan pada masa yang sama menjadi nadi dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan sekitarnya.
iii. Pusat pertumbuhan desa ini dapat membantu memenuhi keperluan barangan dan perkhidmatan asas, membaurkan idea, teknik, maklumat, peralatan dan pengetahuan kepada penduduk desa yang akhirnya mempercepatkan proses pemodenan dan pembandaran desa.

(d) Pemodenan ekonomi desa
i. Perubahan desa juga berlaku melalui pemodenan sosioekonomi desa.
ii. Pemodenan sosioekonomi desa dilakukan melalui program pembangunan sosial, penyelerakkan perindustrian ke desa dan program-program berbentuk bantuan.
iii. Program pembangunan sosial dilaksanakan dengan membina kemudahan pendidikan menengah dan Institusi Pengajian Tinggi di luar bandar, naik taraf kemudahan kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, kemudahan rekreasi, kemudahan komunikasi dan perkhidmatan lain mengikut keperluan penduduk setempat.
iv. Perindustrian desa menyebabkan lebihan tenaga kerja di desa dapat diserap ke dalam sektor baru dan membantu masyarakat petani desa menyesuaikan diri dengan pembaharuan yang berlaku.
v. Program bantuan modal dan subsidi, pemasaran, latihan dan memperluaskan penggunaan teknologi moden kerpada petani, pekebun, penternak, nelayan dan usahawan desa untuk memajukan aktiviti ekonomi mereka seterusnya merubah sosioekonomi penduduk.

5. Proses perubahan desa berlaku dengan pelbagai cara. Meskipun setiap satu diterangkan berasingan, namun kesemua proses tersebut berlaku serentak dan saling berkaitan.

6. Proses perubahan desa masih berterusan. Diandaikan pada akhir proses tersebut semua kawasan desa akan berubah menjadi bandar.

Tuesday, June 23, 2009

TEMA 3 : TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Tema ini terdiri dua pecahan tajuk utama iaitu:
1. Transformasi desa, dan
2. Pembandaran.

Nota 1: Transformasi desa
1. "Menjelang tahun 1970 sebahagian besar daripada penduduk desa masih dibelenggu kemiskinan. Sebagai contoh insiden kemiskinan di kalangan penduduk desa pada waktu itu ialah 58.7 peratus, dan sembilan daripada 10 penduduk miskin tinggal di kawasan desa.
Namun kini keadaan itu telah jauh berbeza. Kadar kemiskinan sudah menjadi 11.4 peratus dan lebih membanggakan kadar kemiskinan tegar di luar bandar telah berkurangan kepada 2.3 peratus pada tahun 2002."

2. Senario di atas adalah sedikit gambaran keadaan sosioekonomi negara kita sehingga kini. Untuk penjelasan yang mendalam, perbincangan ini boleh dilanjutkan kepada perkara-perkara berikut iaitu:
(a) Memahami konsep transformasi desa,
(b) Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi transformasi desa, dan
(c) Memahami proses bagaimana transformasi desa berlaku.

3. Transformasi desa merujuk kepada perubahan sosioekonomi desa.

4. Perubahan-perubahan sosioekonomi desa tersebut berlaku dari segi:
(a) Guna tanah
(b) Kemudahan asas
(c) Pengangkutan
(d) Komunikasi
(e) Pekerjaan penduduk
(f) Pendidikan
(g) Taraf kesihatan
(h) Sikap dan pemikiran, dan sebagainya.

5. Contoh-contoh perubahan sosioekonomi Malaysia sebagai bukti berlakunya transformasi desa.
(a) kadar literasi penduduk dewasa meningkat daripada 57 peratus pada tahun 1970 kepada 83.5 peratus pada tahun 1995.
(b) Isi rumah miskin semakin berkurangan iaitu daripada 37.7 peratus (1976) kepada 7.5 peratus (1999).
(c) Jangkaan hayat penduduk semakin bertambah panjang iaitu daripada 64 tahun pada tahun 1970 kepada 72.2 tahun pada tahun 2005.
(d) Pendapatan bulanan purata penduduk luar bandar telah bertambah tiga kali ganda iaitu RM 550 pada tahun 1979 kepada RM 1729 pada tahun 2002.
(e) Kadar kematian bayi (bagi 1 000 kelahiran hidup) telah berkurangan iaitu 40.8 pada tahun 1970 kepada 8.1 pada tahun 1998.
(f) Sehingga tahun 2000, 87 peratus isirumah luar bandar mempunyai kemudahan air paip dan 93 peratus telah mendapat kemudahan elektrik.

6. Transformasi desa berlaku dengan begitu pesat dipengaruhi oleh dasar dan strategi pembangunan desa yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka terutama selepas tahun 1970.

7. Dasar dan strategi ini boleh diringkaskan kepada empat iaitu:
(a) pembangunan wilayah
Pembangunan wilayah adalah satu bentuk pembangunan secara terancang melibatkan kawasan yang luas (wilayah) sama ada berasaskan ekonomi bandar atau pertanian.
Pembangunan wilayah bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi yang nyata yan ada antara negeri-negeri.
Strategi ini melibatkan pengunaan sepenuhnya segala punca-punca keluaran yang masih belum diusahakan, terutama sekali di negeri kurang maju; menggalakkan pemindahan penduduk ke kawasan-kawasan yang mengandungi kemungkinan ekonomi yang banyak; meluaskan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan sosial di negeri-negeri tersebut dan kawasan-kawasan yang telah ketinggalan dalam pembangunan.

(b) Pembangunan in-situ
Program pembangunan wilayah secara in situ dilaksanakan untuk memajukan penduduk di kawasan tradisional yang tidak berminat untuk berhijrah ke luar.
Program ini menumpukan usaha kepada pembangunan semula kampung-kampung dan kawasan pertanian yang telah sedia ada melalui penyediaan kemudahan infrastruktur, penanaman semula tanaman, khususnya yang berorientasikan dagangan bagi meningkatkan keluaran hasil pertanian.
Melaluinya, petempatan dimodenkan dan perkhidmatan disediakan untuk meningkatkan keluaran serta taraf hidup penduduk desa.

(c) Pembangunan pertanian bersepadu
IADP ialah satu pakej pembangunan yang bersifat 'kesepaduan' yang menggabungjalinkan segala resos, tenaga, sumber berpotensi, dan agensi kerajaan bagi memajukan sektor pertanian luar bandar dan seterusnya membasmi kemiskinan desa.
Di antara strategi yang terlibat di bawah IADP ialah seperti program pembangunan tanah pertanian, kepelbagaian tanaman, program penanaman semula, dan penyatuan saiz dan skala tani yang tidak ekonomi di bawah rancangan mini estet (pertanian berkelompok)

(d) Perindustrian desa
Strategi ini dilakukan melalui program penyelerakan/penyebaran industri ke desa.
Antaranya, melalui pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sama ada asas sumber, makanan dan elektronik yang berintensif buruh, pemprosesan produk pertanian dan sebagainya.
Selain itu, kawasan desa yang berpotensi dikenal pasti untuk dibina kilang pembuatan atau pemprosesan dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai zon industri bebas cukai, dibina kemudahan asas yang lengkap, diberikan insentif pelaburan, dan lain-lain untuk menarik pelabur membina industrinya.
Penyebaran industri ke desa di jangka dapat meningkatkan pendapatan penduduk desa melalui pewujudan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan moden.