Friday, July 24, 2009

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Pola Pembandaran: Dunia
Pada tahun 1900 hanya 15 peratus sahaja penduduk dunia tinggal di pusat-pusat bandar. Pada 1950, peratusan penduduk dunia yang tinggal di bandar ialah kira-kira 30 peratus. Pada tahun 1990 jumlah ini meningkat kepada 43 peratus dan pada 2000 lebih separuh penduduk dunia tinggal di kawasan pembandaran. Menjelang tahun 2050 dijangkakan 61 peratus penduduk dunia akan tinggal di bandar. Pertambahan penduduk bandar yang pesat di dunia sebahagiannya besarnya adalah akibat daripada perpindahan penduduk dari desa terutama di negara membangun.
Pembandaran semakin meningkat dengan pesat terutama di negara membangun. Antara 1950 hingga 2000, penduduk dunia yang tinggal di bandar meningkat sebanyak 2 120 juta. Sebahagian besar (1 617 juta) pertambahan ini berlaku di negara membangun. Kadar pertambahan penduduk bandar bagi tempoh 1990-2000 di negara Asia dan Afrika misalnya masing-masing mencatatkan purata 3.1 peratus dan 4.8 peratus setahun berbanding kadar di Eropah dan Amerika yang masing-masing hanya 0.9 peratus dan 1.0 peratus setahun. Meskipun peratusan penduduk bandar di negara membangun rendah berbanding daripada negara maju tetapi jumlah mutlaknya cukup besar.
Perbezaan proses pembandaran negara maju dan negara membangun
(i). Di negara-negara maju, pembandaran dan kemajuan serta perubahan masyarakat berlaku serentak. Di negara-negara membangun, penumpuan penduduk di kawasan bandar tidak diikuti oleh kemajuan ekonomi perindustrian.
(ii). Penduduk bandar di negara-negara membangun bergantung kepada kegiatan perdagangan, perniagaan dan perkhidmatan di mana sebahagian besarnya dalam bentuk sara diri. Akibatnya, wujud berbagai masalah sosial dan ekonomi di bandar-bandar di negara membangun.
(iii). Proses pembandaran di negara-negara membangun masih berterusan dengan kadar yang pesat, melebihi kadar purata pertambahan penduduk bandar dunia. Misalnya di Malaysia, 66.8 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar.
(iv). Tekanan pembangunan di negara-negara membangun semakin ditumpukan ke atas kawasan bandar. Keberkesanan strategi memajukan ekonomi melalui pembandaran menyebabkan bandar dianggap penting dan dapat digunakan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.
(v). Di negara maju pembandaran disebabkan oleh perubahan masyarakat dan penemuan teknik dan teknologi moden dalam bidang pertanian, pembuatan, pengangkutan dan perindustrian berbanding di negara membangun pembandaran berlaku kerana proses penumpuan penduduk ke bandar-bandar besar kerana keadaan pembangunan tidak seimbang di antara wilayah-wilayah dalam negara, juga di antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar.
Persamaan proses pembandaran negara maju dan negara membangun
(i). Penumpuan penduduk di bandar-bandar besar dan utama. Bagi kebanyakan negara membangun, wujudnya fenomena penumpuan penduduk ke bandar-bandar besar adalah salah satu petanda kemajuan pembangunan tidak seimbang di antara wilayah-wilayah di dalam negara.
Pertumbuhan penduduk bandar khususnya di negara membangun banyak dicirikan oleh perkembangan bandar besar. Penumpuan penduduk ke bandar-bandar besar adalah ketara sekali. Pada tahun 2015, dianggarkan 3.9 bilion penduduk dunia akan mendiami kawasan bandar dan lebih 40 peratus atau 1.6 bilion akan mendiami bandar yang mempunyai penduduk melebihi satu juta orang berbanding 177.2 juta pada 1950 dan 1.4 bilion pada 2000. Menjelang 2015 juga, 375 juta penduduk akan mendiami 23 buah “megacities” atau kawasan bandar yang mempunyai penduduk melebihi 10 juta seperti Tokyo, Mumbai, Lagos, Dhaka dan Sao Paulo.

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Jenis-Jenis Bandar

1. Bandar raya Global.
Bandar raya global ialah bandar yang menempatkan pelbagai aktiviti ekonomi yang bertaraf dunia seperti industri maju, bank besar, hotel, ibu pejabat perdagangan, insurans dan sebagainya. Misalnya London, Tokyo, New York dan Paris. Bandar raya seperti Singapura, Hong Kong dan Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada rangkaian aktiviti pengeluaran global dan menempati hierarki bawahan bandar raya dunia tetapi belum sesuai untuk digelar bandar raya global. Friedmann (dalam Katiman Rostam 2002: 156) menjelaskan bahawa bandar raya global memiliki sifat khusus seperti keunggulannya sebagai pusat perdagangan, pusat kewangan antarabangsa dan pusat perindustrian.
Kewujudan berbagai-bagai fungsi mega yang lebih bersifat tertier termasuk pusat pasaran kewangan utama dunia dan ibu pejabat korporat perdagangan berbilang negara (MNC) atau firma transnasional, kewujudan berbagai-bagai institusi antarabangsa, pertumbuhan pesat sektor perkhidmatan dan perniagaan selain pusat perindustrian utama dan pusat jaringan pengangkutan antarabangsa adalah syarat utama untuk membolehkan sesebuah bandar raya digelar bandar raya global.
Pengesahan empirik status sesebuah bandar raya global juga didasarkan kepada hal seperti kekerapan menganjurkan seminar dan persidangan antarabangsa, banyaknya hotel bertaraf lima bintang, pembangunan perumahan moden (kondominium mewah) dan pusat membeli belah bertaraf antarabangsa. Terdapat empat bandar raya global utama di dunia, iaitu New York, Tokyo, London dan Paris.
Bandar raya global ini terletak di wilayah-wilayah dunia yang maju. Di benua Amerika Utara, New York adalah pusat tumpuan utama firma perdagangan terbesar dunia seperti ICI, GEC, Exon dan Nestle. Di rantau Asia, Tokyo adalah bandar raya global kerana dicirikan oleh fungsinya yang pelbagai dan global seperti pusat kewangan dunia. Di Eropah pula, London dan Paris adalah bandar raya global yang utama kerana peranannya dari segi ekonomi dianggap unggul di rantau tersebut.
Bandar raya global bertindak sebagai hub kepada berbagai-bagai rangkaian fungsi seperti perdagangan import-eksport, telekomunikasi, kewangan dan pengangkutan. Semakin besar operasinya, impak terhadap pembandaran dan perkembangan bandar juga semakin ketara. Bandar raya global juga berperanan sebagai penggerak ekonomi masa kini dan kebanyakan keputusan penting tentang pelaburan dibuat di sini. Oleh itu, bandar raya tersebut juga bertindak sebagai pemacu proses pembandaran sejagat. (Katiman Rostam 2002: 157)
2. Bandar Primat
Bandar primat adalah bandar raya yang terbesar dan dominan di sesebuah negara. Menurut Mark Jefferson (dalam Katiman Rostam 1988: 61) primasi akan wujud apabila terdapat sebuah bandar utama di sesuatu wilayah atau negara yang saiz penduduknya beberapa kali lebih besar daripada saiz penduduk bandar yang menduduki peringkat kedua. Salah satu cara yang biasa digunakan untuk mengukur keperimasian ialah indeks empat bandar raya. Ia dikira dengan membahagikan penduduk bandar raya terbesar dengan jumlah penduduk semua empat buah bandar raya didarab 100. Dalam hal ini bandar primat didefinisikan sebagai bandar raya terbesar di sebuah negara yang saiznya melebihi lima kali bandar yang menduduki peringkat kedua di negara berkenaan dan saiz bandar yang terlampau besar.
Wujudnya bandar primat adalah suatu keadaan yang menunjukkan bahawa terdapat lebihan penduduk di bandar berkenaan. Di negara membangun, kewujudan bandar primat menggambarkan tentang taburan penduduk dan pembangunan yang tidak seimbang di negara berkenaan. Penumpuan aktiviti sosial dan ekonomi di bandar besar amat ketara. Penumpuan penduduk yang berterusan ke bandar besar menyebabkan peruntukan pembangunan sosial terpaksa disalurkan ke bandar berkenaan. Pembandaran menumpu seperti ini menimbulkan masalah-masalah lain; misalnya pembangunan sosial dan ekonomi hanya wujud di bandar besar, sedangkan kawasan-kawasan yang lain terus ketinggalan.
Masalah bandar primat bukan sahaja saiz bandar yang terlalu besar, tetapi juga kesannya terhadap taburan infrastruktur dan kemudahan awam. Oleh sebab pelaburan awam dan swasta yang sedikit hanya bertumpu di bandar besar, kawasan luar bandar terabai. Keadaan ini menyebabkan jurang pendapatan dan taraf hidup penduduk di bandar dan desa terus melebar. Perpindahan ke bandar besar berlaku kerana kekurangan peluang pekerjaan di desa. Di bandar juga mereka tidak mudah mendapat pekerjaan. Hal ini menimbulkan masalah seperti pengangguran, kemiskinan dan perumahan terutama di negara membangun.
3. Metropolis
Metropolis merujuk bandar raya besar biasanya ibu negara kepada sebuah negara yang kecil atau sebuah ibu wilayah yang utama di sebuah negara yang besar. Metropolis mempunyai saiz penduduk melebihi satu juta orang dan mempunyai sistem pentadbiran sendiri. Metropolis mempunyai fungsi yang penting sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan utama di sesebuah negara dengan pengaruhnya melangkaui sempadan wilayah. Proses perkembangan bandar metropolis melalui perluasan kawasan terbandar dan pertumbuhan suburbia di pinggir bandar mengurangkan tumpuan penduduk dalam bandar raya. Perkembangan di luar kawasan bandar raya melibatkan kawasan guna tanah bandar yang sangat luas. Metropolis berperanan sebagai pusat yang memudahkan mekanisma bagi menggerakkan kemasukan sesebuah negara, terutamanya negara membangun, ke dalam sistem ekonomi antarabangsa. Pemusatan pelaburan awam dan swasta di bandar metropolis boleh mencetuskan bibit pembangunan yang boleh mengempar ke pinggir.

4. Bandar Sederhana
Bandar sederhana adalah bandar yang penduduknya antara 31 000 hingga 100 000 orang. Sesetengah pengkaji menggunakan bilangan penduduk antara 25 000 sehingga 99 999 orang untuk mentakrifkan bandar sederhana. Bandar sederhana lazimnya adalah ibu negeri/wilayah yang pengaruhnya meliputi sebuah wilayah. Bandar sederhana dibangunkan dengan tujuan seperti: untuk mengurangkan penumpuan pembangunan di bandar-bandar primat; menyaingi tarikan bandar primat sebagai pilihan untuk membuat pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian; mencetuskan pembangunan desa melalui peningkatan pasaran bagi barangan keluaran desa khususnya pertanian; dan untuk menyelerakkan pembangunan supaya lebih seimbang dan kedua-dua pihak bandar dan luar bandar mendapat manfaat. Dengan menyelerakkan pembangunan ke bandar sederhana, kadar pertumbuhan bandar-bandar metropolitan dengan sendirinya dapat diperlahankan.
5. Bandar Kecil
Bandar kecil adalah bandar yang mempunyai penduduk kurang daripada 30 000 orang. Bandar yang saiz penduduknya relatif kecil lazimnya terletak di wilayah luar bandar dan bertindak sebagai pusat perkhidmatan desa. Bandar kecil berpotensi besar untuk membantu meninggikan daya keluaran pertanian, menyediakan peluang pekerjaan bukan pertanian, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan asas yang diperlukan dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan melalui peningkatan pendapatan dan taraf hidup penduduk desa.

Tema 3: TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Definisi Bandar dan Pembandaran.

Bagaimana hendak mentakrifkan `bandar’ dan `desa’ adalah agak sukar. Walaupun pelbagai ciri sosial, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain telah digunakan untuk membezakan antara bandar dengan desa, namun kriteria yang paling kerap digunakan ialah saiz penduduk. Dalam banci pada tahun 1957, pusat bandar telah ditakrifkan sebagai suatu tempat yang mempunyai penduduk 1000 orang atau lebih. Tetapi angka ini adalah terlalu rendah kerana ia merangkumi sejumlah besar petempatan. Dalam banci tahun 1970, bandar telah ditafsir semula sebagai kawasan yang diwartakan dengan bilangan penduduk seramai 10 000 orang atau lebih.
Dalam banci tahun 2000, bandar ditakrifkan sebagai kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadanan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk seramai 10 000 atau lebih semasa Banci Penduduk 2000. Kawasan tepu bina adalah kawasan yang terletak bersebelahan kawasan yang diwartakan dan mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk (berumur 10 tahun dan lebih) terlibat dalam aktiviti bukan pertanian dan unit-unit perumahannya mempunyai kemudahan tandas moden.
Bandar wujud melalui proses yang dikenali sebagai pembandaran atau urbanisasi. Pembandaran lazimnya ditakrifkan sebagai suatu proses perubahan sama ada penduduk, petempatan, cara hidup, pekerjaan dan kegiatan ekonomi, pemikiran manusia dan lain-lain ke arah bandar. Jelasnya, konsep pembandaran boleh dilihat dari empat sudut iaitu:
1. Pertambahan jumlah dan peratusan penduduk yang tinggal di kawasan bandar.
2. Perluasan saiz bandar dengan pertambahan bangunan, ruang perniagaan, kawasan petempatan bandar, pertambahan sistem, dan jaringan pengangkutan, pertambahan fungsi bandar dan lain-lain.
3. Perubahan struktur dan kegiatan ekonomi penduduk dari ekonomi tradisional (pertanian) kepada ekonomi moden seperti perindustrian, perkhidmatan, perniagaan, perdagangan dan lain-lain.
4. Perubahan cara hidup penduduk dari tradisional kepada nilai dan gaya hidup bandar yang lebih moden.
Oleh itu, pembandaran dapat dirumuskan sebagai proses yang mengubah sesuatu masyarakat dari kawasan desa ke kawasan bandar dan juga nisbah penduduk bandar berbanding dengan jumlah penduduk. Pembandaran mempunyai permulaan dan akhiran: prosesnya akan selesai apabila semua penduduk tinggal di bandar.

Saturday, June 27, 2009

Nota 2 : Proses perubahan desa

1. Desa diakui telah mengalami perubahan dari segi sosioekonomi. Data-data yang dikemukakan dalam perbincangan sebelum ini membuktikan perubahan tersebut.

2. Dasar dan strategi pembangunan desa juga turut diakui menjadi faktor utama perubahan itu.

3. Perbincangan kini ialah pemahaman tentang bagaimana proses perubahan desa tersebut berlaku.

4. Terdapat empat cara yang boleh menerangkan bagaimana sosioekonomi desa berubah, iaitu:

(a) Saling kebergantungan Desa-Bandar
i. Saling kebergantungan Desa-Bandar bermaksud saling hubungan di antara petempatan desa dengan bandar. Hubungan ini ditunjukkan melalui interaksi penduduk.
ii. Interaksi berlaku dalam bentuk kunjungan penduduk desa ke bandar.
iii. Bandar berfungsi menyediakan peluang pekerjaan, punca maklumat dan inovasi, barangan dan kemudahan perkhdmatan.
iv. Oleh itu penduduk desa ke bandar untuk bekerja, mengguna barangan dan perkhidmatan, memasarkan produk desa.
v. Untuk menjadikan interaksi ini berkesan maka rangkaian perhubungan melalui jalan pengangkutan, media massa dan rangkaian komunikasi lain mesti diwujudkan dan di pertingkatkan mutunya.
vi. Rangkaian perhubungan ini akan menghasilkan pola aliran seperti perjalanan penduduk, perpindahan penduduk, pengangkutan barangan, penyebaran maklumat dan sebagainya dari desa ke bandar atau sebaliknya.
vii. Interaksi desa-bandar ini menyebabkan proses bauran inovasi berlaku secara berlanjutan dan akhirnya penduduk desa akan mengalami perubahan.
viii. Perubahan yang berlaku meliputi aspek pekerjaan, cara hidup, sikap, pendidikan, keadaan kesihatan dan persekitaran termpat kediaman.

(b) Pembandaran Desa
i. Pembandaran desa berlaku melalui pembangunan bandar baru dan juga rebakan bandar terdekat.
ii. Penubuhan bandar baru di kawasan luar bandar bertujuan supaya taraf hidup penduduk dapat dipertingkatkan dan dimodenkan.
iii. Pembangunan bandar baru telah mengubah fungsi petempatan desa iaitu sebagai pusat pemasaran hasil keluaran desa, pusat penjanaan peluang pekerjaan dan pusat perkhidmatan bagi penduduk desa dan sekitarnya.
iv. Rebakan bandar pula berlaku akibat kesukaran bandar menampung pembangunan yang pesat. Penumpuan penduduk dan kegiatan sosioekonomi di bandar menyebabkan bandar menjadi sesak.
v. Kesesakan ini memaksa pembangunan dialihkan keluar ke kawasan desa berdekatan. Proses peralihan keluar pembangunan ini dinamakan rebakan bandar.
vi. Proses rebakan bandar ini akhirnya menyebabkan kawasan desa sekitarnya berubah menjadi sebuah petempatan yang moden.

(c) Pusat pertumbuhan
i. Selain penubuhan bandar baru, pusat pertumbuhan desa dan bandar kecil turut dibina di desa.
ii. Pusat pertumbuhan desa ini menawarkan fungsi perkhidmatan sosial dan pada masa yang sama menjadi nadi dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan sekitarnya.
iii. Pusat pertumbuhan desa ini dapat membantu memenuhi keperluan barangan dan perkhidmatan asas, membaurkan idea, teknik, maklumat, peralatan dan pengetahuan kepada penduduk desa yang akhirnya mempercepatkan proses pemodenan dan pembandaran desa.

(d) Pemodenan ekonomi desa
i. Perubahan desa juga berlaku melalui pemodenan sosioekonomi desa.
ii. Pemodenan sosioekonomi desa dilakukan melalui program pembangunan sosial, penyelerakkan perindustrian ke desa dan program-program berbentuk bantuan.
iii. Program pembangunan sosial dilaksanakan dengan membina kemudahan pendidikan menengah dan Institusi Pengajian Tinggi di luar bandar, naik taraf kemudahan kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, kemudahan rekreasi, kemudahan komunikasi dan perkhidmatan lain mengikut keperluan penduduk setempat.
iv. Perindustrian desa menyebabkan lebihan tenaga kerja di desa dapat diserap ke dalam sektor baru dan membantu masyarakat petani desa menyesuaikan diri dengan pembaharuan yang berlaku.
v. Program bantuan modal dan subsidi, pemasaran, latihan dan memperluaskan penggunaan teknologi moden kerpada petani, pekebun, penternak, nelayan dan usahawan desa untuk memajukan aktiviti ekonomi mereka seterusnya merubah sosioekonomi penduduk.

5. Proses perubahan desa berlaku dengan pelbagai cara. Meskipun setiap satu diterangkan berasingan, namun kesemua proses tersebut berlaku serentak dan saling berkaitan.

6. Proses perubahan desa masih berterusan. Diandaikan pada akhir proses tersebut semua kawasan desa akan berubah menjadi bandar.

Tuesday, June 23, 2009

TEMA 3 : TRANSFORMASI DESA DAN PEMBANDARAN

Tema ini terdiri dua pecahan tajuk utama iaitu:
1. Transformasi desa, dan
2. Pembandaran.

Nota 1: Transformasi desa
1. "Menjelang tahun 1970 sebahagian besar daripada penduduk desa masih dibelenggu kemiskinan. Sebagai contoh insiden kemiskinan di kalangan penduduk desa pada waktu itu ialah 58.7 peratus, dan sembilan daripada 10 penduduk miskin tinggal di kawasan desa.
Namun kini keadaan itu telah jauh berbeza. Kadar kemiskinan sudah menjadi 11.4 peratus dan lebih membanggakan kadar kemiskinan tegar di luar bandar telah berkurangan kepada 2.3 peratus pada tahun 2002."

2. Senario di atas adalah sedikit gambaran keadaan sosioekonomi negara kita sehingga kini. Untuk penjelasan yang mendalam, perbincangan ini boleh dilanjutkan kepada perkara-perkara berikut iaitu:
(a) Memahami konsep transformasi desa,
(b) Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi transformasi desa, dan
(c) Memahami proses bagaimana transformasi desa berlaku.

3. Transformasi desa merujuk kepada perubahan sosioekonomi desa.

4. Perubahan-perubahan sosioekonomi desa tersebut berlaku dari segi:
(a) Guna tanah
(b) Kemudahan asas
(c) Pengangkutan
(d) Komunikasi
(e) Pekerjaan penduduk
(f) Pendidikan
(g) Taraf kesihatan
(h) Sikap dan pemikiran, dan sebagainya.

5. Contoh-contoh perubahan sosioekonomi Malaysia sebagai bukti berlakunya transformasi desa.
(a) kadar literasi penduduk dewasa meningkat daripada 57 peratus pada tahun 1970 kepada 83.5 peratus pada tahun 1995.
(b) Isi rumah miskin semakin berkurangan iaitu daripada 37.7 peratus (1976) kepada 7.5 peratus (1999).
(c) Jangkaan hayat penduduk semakin bertambah panjang iaitu daripada 64 tahun pada tahun 1970 kepada 72.2 tahun pada tahun 2005.
(d) Pendapatan bulanan purata penduduk luar bandar telah bertambah tiga kali ganda iaitu RM 550 pada tahun 1979 kepada RM 1729 pada tahun 2002.
(e) Kadar kematian bayi (bagi 1 000 kelahiran hidup) telah berkurangan iaitu 40.8 pada tahun 1970 kepada 8.1 pada tahun 1998.
(f) Sehingga tahun 2000, 87 peratus isirumah luar bandar mempunyai kemudahan air paip dan 93 peratus telah mendapat kemudahan elektrik.

6. Transformasi desa berlaku dengan begitu pesat dipengaruhi oleh dasar dan strategi pembangunan desa yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka terutama selepas tahun 1970.

7. Dasar dan strategi ini boleh diringkaskan kepada empat iaitu:
(a) pembangunan wilayah
Pembangunan wilayah adalah satu bentuk pembangunan secara terancang melibatkan kawasan yang luas (wilayah) sama ada berasaskan ekonomi bandar atau pertanian.
Pembangunan wilayah bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi yang nyata yan ada antara negeri-negeri.
Strategi ini melibatkan pengunaan sepenuhnya segala punca-punca keluaran yang masih belum diusahakan, terutama sekali di negeri kurang maju; menggalakkan pemindahan penduduk ke kawasan-kawasan yang mengandungi kemungkinan ekonomi yang banyak; meluaskan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan sosial di negeri-negeri tersebut dan kawasan-kawasan yang telah ketinggalan dalam pembangunan.

(b) Pembangunan in-situ
Program pembangunan wilayah secara in situ dilaksanakan untuk memajukan penduduk di kawasan tradisional yang tidak berminat untuk berhijrah ke luar.
Program ini menumpukan usaha kepada pembangunan semula kampung-kampung dan kawasan pertanian yang telah sedia ada melalui penyediaan kemudahan infrastruktur, penanaman semula tanaman, khususnya yang berorientasikan dagangan bagi meningkatkan keluaran hasil pertanian.
Melaluinya, petempatan dimodenkan dan perkhidmatan disediakan untuk meningkatkan keluaran serta taraf hidup penduduk desa.

(c) Pembangunan pertanian bersepadu
IADP ialah satu pakej pembangunan yang bersifat 'kesepaduan' yang menggabungjalinkan segala resos, tenaga, sumber berpotensi, dan agensi kerajaan bagi memajukan sektor pertanian luar bandar dan seterusnya membasmi kemiskinan desa.
Di antara strategi yang terlibat di bawah IADP ialah seperti program pembangunan tanah pertanian, kepelbagaian tanaman, program penanaman semula, dan penyatuan saiz dan skala tani yang tidak ekonomi di bawah rancangan mini estet (pertanian berkelompok)

(d) Perindustrian desa
Strategi ini dilakukan melalui program penyelerakan/penyebaran industri ke desa.
Antaranya, melalui pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sama ada asas sumber, makanan dan elektronik yang berintensif buruh, pemprosesan produk pertanian dan sebagainya.
Selain itu, kawasan desa yang berpotensi dikenal pasti untuk dibina kilang pembuatan atau pemprosesan dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai zon industri bebas cukai, dibina kemudahan asas yang lengkap, diberikan insentif pelaburan, dan lain-lain untuk menarik pelabur membina industrinya.
Penyebaran industri ke desa di jangka dapat meningkatkan pendapatan penduduk desa melalui pewujudan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan moden.

Saturday, May 16, 2009

Pembangunan Ekonomi dan Impak terhadap Alam Sekitar (2)

Nota: Proses Pembangunan Ekonomi

Nota 1: Definisi Pembangunan
1. Pelbagai definisi diberikan untuk mentakrifkan konsep pembangunan. Dibawah diberikan beberapa definisi yang selalu digunakan bagi menerangkan makna pembangunan, antaranya:
a) Pembangunan sebagai peningkatan kesejahteraan hidup yang diukur melalui penunjuk ekonomi dan sosial.
b) Pembangunan menurut tafsiran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ialah pencapaian kadar pertumbuhan KNK pada paras enam peratus.
c) Tun Dr. Mahathir pula mentakrifkan pembangunan sebagai kesejahteraan yang dicapai melalui keselesaan hidup dan ketenteraman kerohanian.
d) Todoro pula mengertikan pembangunan sebagai proses berbagai-bagai dimensi yang melibatkan perubahan terhadap struktur masyarakat, sikap, dan institusi yang juga melibatkan pertumbuhan ekonomi, pengurangan kadar ketidakadilan dan penghapusan kemiskinan.
2. Pembangunan adalah suatu pembaikan pada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang merangkumi pelbagai aspek yang boleh disimpulkan sebagai kemajuan sosioekonomi yang dicapai melalui pertumbuhan ekonomi dan pengagihan pendapatan yang adil dan saksama.

Nota 2: Penunjuk Pembangunan
1. Pembangunan diukur melalui pelbagai penunjuk ekonomi dan sosial. Bagi memudahkan pemahaman pelajar, dibawah diterangkan lima penunjuk pembangunan, iaitu:
a) KDNK per kapita
Penunjuk ekonomi yang lazim digunakan untuk mengukur pembangunan adalah KDNK per kapita. KDNK per kapita merujuk kepada pengagihan pendapatan negara kepada setiap orang warganya. Semakin tinggi nilai KDNK per kapita, semakin tinggi tahap pembangunan. Misalnya KDNK per kapita negara Jepun pada 2002 ialah US$34 010 berbanding negara Malaysia (US$3 611) dan Cambodia (US$300). Berpandukan data tersebut, dapat dikatakan tahap pembangunan bagi negara Jepun lebih tinggi berbanding Malaysia dan Cambodia.

b) Peratus tenaga kerja dalam sektor ekonomi
Sektor ekonomi sesebuah negara biasanya terdiri daripada sektor primer, sektor sekunder dan sektor tertier. Peratusan tenaga kerja bagi setiap sektor ekonomi tersebut turut dijadikan ukuran pembangunan. Pembangunan adalah tinggi jika ramai tenaga kerja dalam sektor tertier dan sekunder.

c) Ciri demografi
Ciri demografi merujuk kepada kadar kelahiran, kadar kematian, kadar fertiliti, jangkaan hayat dan nisbah tanggungan. Ciri demografi adalah penunjuk sosial yang utama bagi mengukur pembangunan. Tahap pembangunan yang tinggi dicirikan secara demografinya melalui kadar kelahiran yang rendah, kadar kematian yang rendah dan jangkaan hayat yang tinggi.

d) Kemudahan asas.
Pengukuran pembangunan juga melibatkan penyediaan kemudahan asas seperti tenaga elektrik, bekalan air bersih, pengangkutan dan perhubungan, pendidikan dan kesihatan.

e) Pemilikan barangan.
Terakhir, pembangunan juga diukur melalui pemilikan barangan setiap isi rumah mahupun individu seperti peralatan rumah, pakaian, kenderaan dan alat perhubungan.

Nota: Tahap Pembangunan
1. Pembangunan adalah berbeza antara kawasan, antara negeri mahupun antara negara. Keadaan ini dikenali sebagai pembangunan tidak seimbang.
2. Pembangunan tidak seimbang merujuk kepada keadaan di mana aras kemajuan sosioekonomi yang tidak sama rata dicapai dalam sesebuah negara atau wilayah sehinggga mewujudkan kawasan mundur dan kawasan maju. Ketidakseimbangan ini boleh berlaku di antara negeri, antara wilayah atau antara kawasan dalam sebuah negeri.
3. Di Malaysia, ketidakseimbangan pembangunan berlaku pada tiga peringkat, iaitu;
a) Antara kawasan - pantai barat Semenanjung Malaysia lebih maju berbanding pantai timur.
b) Antara wilayah - Semenanjung Malaysia lebih maju berbanding Sabah dan Sarawak.
c) Antara negeri - Selangor dan W.P. Kuala Lumpur lebih maju berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
4. Berikut dijelaskan secara ringkas faktor-faktor yang mempengaruhi ketidakseimbangan pembangunan, kesannya terhadap penduduk dan sumber alam serta langkah-langkah mengatasi ketidakseimbangan pembangunan di Malaysia.

(a) Faktor ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan
1. Faktor fizikal meliputi bentuk muka bumi dan kesuburan tanah. Perbezaan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, berbukit-bukau, berlembah, dan berlurah dengan kawasan tanah pamah, rata, datar, dan beralun yang mempengaruhi pembangunan pertanian, pelbagai tapak bina khususnya petempatan dan juga ketersampaian yang berbeza. Di samping faktor jenis tanah, kualiti dan kesuburannya.
2. Taburan sumber alam yang tidak seimbang; seperti sumber mineral, hutan, bahan mentah, dan sebagainya. Ada negeri yang kaya dengan sumber mineral lebih awal diteroka dan dimajukan berbanding dengan sesetengah negeri yang amat kurang sumber berpotensi.
3. Kesan dasar penjajahan. Memajukan negeri yang berpotensi sahaja. Kawasan/negeri yang ketiadaan sumber ditinggalkan. Sejarah lampau menyaksikan negeri-negeri yang kaya dengan sumber alam sahaja yang dimajukan oleh penjajah seperti negeri Perak dan Selangor. Ini kerana niat penjajah ialah untuk mengeksploitasi sumber bijih timah.
4. Faktor governan. Dasar dan rancangan kerajaan terutama sekali di awal kemerdekaan. Meliputi rancangan pembangunan bandar, pembangunan industri, pembangunan pertanian dan lain-lain yang masih tertumpu di kawasan/negeri pantai barat Semenanjung. Manakala kawasan/negeri lain lambat dibangunkan.
5. Kadar perindustrian yang berbeza. Taburan dan kemajuan ekonomi industri serta rantaian ekonomi yang berkaitan dengannya seperti perkhidmatan masih tertumpu di negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Fokus pelaburan/kemasukan modal masih tertumpu di kawasan berkenaan. Kawasan-kawasan lain kurang diberi tumpuan. Ini menggalakkan migrasi dari negeri mundur ke negeri yang sudah sedia maju. Wujudnya dualisme ekonomi.
6. Faktor proses pembandaran/urbanisasi. Kewujudan dan perkembangan bandar juga tertumpu di negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Pusat-pusat pertumbuhan ekonomi utama/bandar besar banyak terdapat di kawasan ini. Manakala proses urbanisasi yang lambat di negeri-negeri pantai timur Semenanjung telah menyebabkan perkembangan ekonominya turut perlahan.
7. Faktor penduduk. Meliputi taburan dan kepadatannya, saiz (jumlahnya), pendapatan perkapitanya serta kualiti penduduk/taraf pendidikan yang berbeza mengikut negeri. Ini akan mempengaruhi saiz pasaran dan kuasa beli, taraf hidup, kesediaan menerima pemodenan, mengubah cara hidup dan lain-lain kemajuan.
8. Faktor-faktor sosial. Meliputi kemudahan pendidikan, kemudahan kesihatan, kemudahan asas (prasarana), kemudahan pengangkutan dan perhubungan masih tertumpu di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia berbanding dengan negeri-negeri lain.

(b) Kesan-kesan ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan
Kesan terhadap penduduk
1. Perbezaan taraf hidup antara kawasan maju dan kawasan mundur. Sektor ekonomi moden seperti perindustrian, perkhidmatan, perdagangan dan lain-lain menyediakan banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan dengan insentif lain berbanding sektor pertanian tradisional di kawasan mundur sekaligus meningkatkan taraf hidup, mengurangkan pengangguran dan membasmi kemiskinan.
2. Perbezaan taraf sosial antara kawasan maju dan kawasan mundur. Penyediaan kemudahan prasarana dan kemudahan bandar yang cukup untuk dinikmati penduduk di kawasan maju. Kawasan perindustrian maju lazimnya terdapat kemudahan bandar yang cukup seperti pusat membeli belah, kemudahan pengangkutan awam, kemudahan hospital. kemudahan riadah dan sukan, kemudahan hiburan, dan sebagainya bagi menampung keperluan penduduk.
3. Peningkatan kadar migrasi. Kegiatan ekonomi yang berkembang pesat di kawasan maju membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Akibatnya, ramai penduduk dari yang mundur, khususnya luar bandar, berpindah ke bandar-bandar untuk menceburi sektor ekonomi bandar yang baru.

Kesan terhadap sumber alam
1. Tekanan terhadap sumber di kawasan maju khususnya sumber tanah. Persaingan guna tanah petempatan, pertanian, perindustrian, pembandaran, infrastruktur dan sebagainya.
2. Kepupusan/kehabisan sumber alam khususnya jenis sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti sumber mineral seperti sumber bahan api fosil, bijih timah, bijih besi, emas dan lain-lain akibat pengeluaran berlebihan bagi menampung keperluan industri di kawasan maju.
3. Pencemaran dan kemusnahan/kerosakan sumber seperti sumber udara dan air akibat pertambahan industri, kenderaan, pembuangan sisa domestik di kawasan maju.
4. Sumber di kawasan mundur sukar dimajukan akibat kekurangan kemudahan prasarana sehingga terbiar membazir seperti sumber tanah dan sesetengahnya tertinggal sebagai stok sumber sahaja.

(c) Langkah mengatasi ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan
1. Program pembangunan insitu. Menekankan pembangunan fizikal/kemudahan infrastruktur desa seperti projek PPRT dan juga penyediaan kemudahan fizikal pertanian seperti Rancangan Pengairan Muda dan Kemubu yang dijadikan sebagai projek asas untuk memajukan sektor pertanian desa khususnya padi sawah. Terdapat dua jenis program pembangunan insitu yang dilaksanakan di Malaysia. Pertama ialah untuk kawasan penanaman padi dan kedua ialah untuk kawasan bukan penanaman padi.
2. Program Pembangunan Pertanian Bersepadu (Integrated Agricultural Development Programme – IADP). IADP ialah satu pakej pembangunan yang bersifat “kesepaduan” yang menggabungjalinkan segala resos, tenaga, sumber berpotensi, dan agensi kerajaan bagi memajukan sektor pertanian luar bandar dan seterusnya membasmi kemiskinan desa. Di antara strategi yang terlibat di bawah IADP ialah seperti program pembangunan tanah pertanian, kepelbagaian tanaman, program penanaman semula, dan juga penyatuan saiz dan skel tani yang tidak ekonomi di bawah rancangan mini estete (pertanian berkelompok).
3. Program penyelerakkan/penyebaran industri ke desa. Kawasan desa yang berpotensi dikenal pasti untuk dibina kilang pembuatan atau pemerosesan dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai zon industri bebas cukai (FTZ), dibina kemudahan asas yang lengkap, diberikan insentif pelaburan, dan lain-lain untuk menarik pelabur membina industrinya.
4. Rancangan Pembangunan Wilayah (RPW) secara khusus. Di bawah RPW strategi penjanaan sumber alam dan pembangunan tanah baru merupakan usaha-usaha utama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan di sekitar tahun 1970-an. Di antara contoh RPW yang telah diperbadankan dan mempunyai autonomi secara khusus untuk memajukan wilayah mundur ialah seperti Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) JENGKA, KETENGAH, KESEDAR, KEJORA, KEDA, PERDA, DARA dan lain-lain lagi.
5. Membandarkan kawasan luar bandar yang berfungsi sebagai pusat pertumbuhan baru. Pembandaran kawasan luar bandar dilaksanakan menerusi strategi-strategi seperti; mewujudkan bandar baru di kawasan pembangunan wilayah, membandarkan pekan-pekan berpotensi, mewujudkan bandar industri sejajar dengan program penyelerakan industri ke luar bandar.
6. Program pembangunan sosial. Seperti membina kemudahan pendidikan menengah dan IPT di luar bandar, naik taraf kemudahan kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, kemudahan rekreasi dan sebagainya mengikut keperluan penduduk setempat.
7. Program/pakej bantuan modal dan subsidi kepada petani, pekebun, penternak, nelayan dan usahawan desa untuk memajukan aktiviti ekonomi mereka seperti skim kredit mikro, tabung usahawan kecil dan sederhana dan lain-lain.
8. Membantu memasarkan hasil tani dan produk desa seperti mewujudkan pasar tani di bawah FAMA, LPN, LKIM, MARDEC , dan lain-lain.
9. Memberikan khidmat latihan, bimbingan dan kemahiran yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk menguruskan pelbagai sektor ekonomi desa dengan berkesan.
10. Memperluaskan penggunaan teknologi moden kepada petani, pekebun, penternak, nelayan desa menerusi pelbagai usaha R&D seperti penggunaan jentera moden, penggunaan bioteknologi, input pertanian moden dan lain-lain.

Nota: Impak Pembangunan Ekonomi Terhadap Alam Sekitar.
Impak terhadap alam sekitar
i) kemerosotan dan kepupusan sumber
a) bijih timah dan bijih besi sudah pupus akibat aktiviti perlombongan yang begitu giat suatu ketika dahulu.
b) sumber hutan dan perikanan laut, walaupun jenis yang boleh diperbaharui, belum pupus, tetapi sudah merosot dari segi kuantiti dan mungkin juga kualiti kerana aktiviti pembalakan dan perikanan pinggir pantai yang amat giat.

ii) pencemaran alam sekitar
a) sebahagian besar pencemaran berlaku akibat kemajuan perindustrian dan petempatan bandar yang pesat sejak tahun 1970.
b) pencemaran masih terus berlaku walaupun ada usaha mencegah dan mengurangkannya.

iii) kemerosotan kualiti alam sekitar
a) boleh dikesan daripada peningkatan suhu setempat, hakisan, tanah runtuh dan tanah tandus, banjir dan kemarau, dan ancaman kepupusan kepelbagaian biologi. kemusnahan habitat, dan rantaian makanan.
b) boleh menyebabkan kehidupan penduduk Malaysia tidak selesa, terancam dengan kehilangan harta benda dan nyawa, terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit.

Nota: Langkah mengurangkan impak pembangunan ekonomi terhadap alam sekitar
i) perundangan
a) merupakan suatu alat undang-undang yang digunakan bagi mengawal alam sekitar daripada dicemari, mengalami kemerosotan atau pun dicemari semula.
b) terdapat banyak sekali undang-undang awam yang memberi penekanan terhadap perlindungan alam sekitar. Contoh Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
c) undang-undang ini digubal melalui pelbagai Akta Parlimen.
d) penguatkuasaan undang-undang adalah juga langkah peundangan untuk memastikan kepatuhan kepada undang-undang tersebut.
e) pelbagai denda yang dikenakan kepada pesalah alam sekitar juga langkah perundangan.

ii) bukan perundangan
langkah-langkah bukan perundangan untuk mengurus alam sekitar termasuklah:
a) perancangan, pemantauan, penyelidikan serta penyebaran maklumat terutama oleh JAS
b) pendidikan secara formal oleh institusi persekolahan dan pengajian.
c) kempen kesedaran di kalangan orang ramai tentang alam sekitar oleh organisasi bukan kerajaan dan media massa
d) kesedaran dan penglibatan orang ramai dalam projek pemeliharaan alam sekitar.
e) kawalan oleh pihak swasta bagi mengelak kemerosotan alam sekitar

Sunday, March 22, 2009

TEMA 2: PEMBANGUNAN EKONOMI DAN IMPAK TERHADAP ALAM SEKITAR

Pengenalan.

1.Tema 2 ini membincangkan pembangunan ekonomi Malaysia dengan menekankan kepada tiga tajuk utama iaitu:
a) Sektor-sektor ekonomi utama.
b) Proses pembangunan ekonomi
c) Impak pembangunan ekonomi terhadap alam sekitar.

2. Perbincangan tentang tajuk-tajuk di atas dibuat secara umum sahaja manakala soalan peperiksaan biasanya bersifat khusus. Saya amat berbesar hati sekiranya para pelajar dapat menyesuaikan fakta-fakta yang bersifat umum itu untuk menjawab soalan-soalan yang khusus nanti.

3. Namun, sebagai memenuhi keperluan peperiksaan saya akan cuba membincangkan beberapa kegiatan ekonomi yang terpilih di dalam kelas.


Nota 1: Mengenal pasti sektor-sektor ekonomi.

1. Sudah menjadi peranan dan tanggungjawab sosial setiap kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan dan agihan pendapatan yang tidak adil dan saksama dalam negara.
2. Untuk memenuhi tuntutan tersebut, ekonomi negara perlu dikembangkan supaya pertumbuhan ekonomi yang tinggi akan di capai.
3. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dijana oleh sektor ekonomi yang pelbagai yang dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu:
a) Sektor ekonomi primer iaitu aktiviti menuai atau mengeluar/mengekstrak hasil daripada bumi. Aktiviti-aktiviti ini terletak pada permulaan proses pengeluaran. Contohnya aktiviti pertanian, perikanan, perhutanan dan perlombongan.
b) Sektor ekonomi sekunder iaitu aktiviti yang menambah nilai kepada bahan-bahan dengan mengubah bentuk mereka atau dengan mengadun mereka menjadi komoditi/barangan yang lebih berguna dan oleh itu lebih berharga. Contohnya aktiviti pemprosesan, pembuatan dan pembinaan.
c) Sektor ekonomi tertier. Sektor ini terbahagi pula kepada tiga iaitu
i) aktiviti yang memberi khidmat kepada sektor-sektor primer dan sekunder (tertier),
ii) aktiviti perkhidmatan yang diusahakan oleh profesional kolar putih yang bekerja dalam bidang pendidikan, pentadbiran kerajaan, pengurusan, pemprosesan maklumat dan penyelidikan (kuarterner), dan
iii) aktiviti khidmat yang terlibat dalam membuat keputusan peringkat tinggi dalam organisasi besar, awam dan swasta (kuiner)

Nota 2: Ciri-ciri sektor ekonomi.

1. Terlalu panjang jika tajuk ini dibincangkan satu persatu mengikut kegiatan ekonomi dan mungkin akan ada fakta yang berulang dan membosankan. Oleh itu memadailah tajuk ini dibincangkan secara umum dan ringkas.
2. Perbincangan tentang ciri-ciri sektor ekonomi ini akan tertumpu kepada enam ciri utama iaitu:
a) Taburan. Merujuk kepada persoalan di mana aktiviti-aktiviti ekonomi yang dibincangkan itu dijalankan. Misalnya. perbincangan tentang kegiatan pertanian. Pelajar mesti mengetahui kawasan-kawasan penanaman utama seperti penanaman padi di Dataran Kedah-Perlis, Dataran Kelantan dan sebagainya.
b) Skala. Merujuk kepada persoalan sama ada aktiviti ekonomi tersebut dijalankan secara kecil-kecilan atau pun secara besar-besaran. Misalnya kegiatan penanaman kelapa sawit secara ladang adalah aktiviti berskala besar tetapi jika dijalankan oleh pekebun kecil maka skalanya adalah kecil-kecilan.
c) Orientasi pengeluaran. Merujuk kepada tujuan pengeluaran aktiviti ekonomi tersebut sama ada untuk keperluan sendiri (sara diri), pasaran domestik atau pasaran eksport sepenuhnya. Di Malaysia masih terdapat kegiatan ekonomi yang dijalankan untuk keperluan sendiri tetapi telah ada kecenderungan kegiatan ekonomi yang dijalankan untuk memenuhi pasaran eksport sepenuhnya.
d) Penggunaan modal. Merujuk kepada intensiti dan sumber modal untuk menjalankan aktiviti ekonomi tersebut. Mudahnya begini, kegiatan ekonomi yang berskala besar dan orientasi pengeluaran untuk pasaran domestik dan eksport biasanya beroperasi dengan modal yang besar yang selalunya diperolehi melalui kaedah pinjaman.
e) Buruh. Merujuk kepada intensiti (jumlah/bilangan), jenis (mahir, separa mahir atau kurang mahir) dan sumber buruh (keluarga atau buruh yang diupah dari dalam atau luar negara).
f) Teknologi. Merujuk kepada tahap, jenis dan sumber teknologi yang digunakan dalam aktiviti ekonomi tersebut.
3. Sebarang perbincangan tentang ciri-ciri apa sahaja kegiatan ekonomi mestilah merujuk kepada enam ciri diatas. Kemahiran mengolah amat diperlukan untuk menghasilkan isi perbincangan yang matang.


Nota 3: Kepentingan setiap sektor kepada ekonomi negara.

1. Perbincangan tentang kepentingan tertumpu kepada dua aspek iaitu kepentingan kepada ekonomi dan kepentingan kepada penduduk. Oleh itu pelajar mesti tahu membezakan antara kepentingan terhadap ekonomi negara dan kepentingan terhadap penduduk.
2. Kepentingan terhadap ekonomi negara memerlukan pelajar menerangkan aspek-aspek berikut:
a) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
b) Pekerjaan
c) Kesan Pengganda
3. Kesan pengganda merujuk kepada kesan daripada sektor atau aktiviti ekonomi berkenaan kepada sektor atau aktiviti ekonomi yang lain.
4. Kesan pengganda ini dapat diperhatikan wujud dalam bentuk aktiviti ekonomi yang baru daripada berkembangnya satu-satu aktiviti tertentu. Misalnya perindustrian, pelancongan dan pertanian akan mewujudkan aktiviti ekonomi seperti perkhidmatan perniagaan, pengangkutan, kewangan dan lain-lain yang akan memberikan pekerjaan baru dan menjana perkembangan ekonomi setempat.
5. Kepentingan terhadap penduduk pula akan dibincangkan dalam kelas.

Nota 4: Perkembangan semasa sektor ekonomi.

1. Tajuk ini akan membincangkan perkara-perkara seperti:
a) Kemajuan
b) Isu-isu
c) Masalah, dan
d) Cabaran.

a) Kemajuan.
1. Boleh diperhatikan daripada data KDNK setiap sektor dalam tempoh masa seperti 10 hingga 30 tahun.
2. Jika pengeluaran meningkat dari tahun ke tahun, maka itu menunjukkan terdapat kemajuan dalam sektor berkenaan. Misalnya peningkatan sumbangan kegiatan perindustrian kepada KDNK negara menunjukkan adanya kemajuan dalam aktiviti tersebut.
3. Kemajuan boleh juga diukur melalui guna tenaga bagi sektor berkenaan.
4. Pelajar mesti menumpukan pembacaan kepada faktor-faktor yang mempengaruhi kemajuan atau kemerosotan tersebut.

b) Isu.
1. Isu-isu boleh timbul daripada perkembangan yang tidak seimbang antara sektor dan juga subsektor.
2. Isu besar juga berkait dengan kualiti alam sekitar yang dihasilkan oleh pembangunan ekonomi.
3. Pelajar mesti memberi tumpuan kepada persoalan bagaimana dan mengapa berlaku ketidakseimbangan kemajuan inter-sektor serta bagaimana mewujudkan pembangunan ekonomi yang lestari.
4. Contoh-contoh isu:
a) Kemajuan tertumpu kepada sektor-sektor tertentu seperti pembuatan dan perkhidmatan hingga mengabaikan pertanian.
b) Tumpuan kepada subsektor tertentu seperti perladangan komoditi hingga mengabaikan sub sektor makanan dalam pertanian.

c) Masalah.
1. Merujuk kepada hambatan, halangan atau kesulitan yang dihadapi oleh sektor-sektor ekonomi untuk mula dan terus berkembang maju.
2. Contoh-contoh masalah yang seringkali dialami oleh sektor-sektor ekonomi ialah modal, buruh, pasaran, persaingan, kualiti produk, teknologi dan sumber.

d) Cabaran.
1. Merujuk cabaran perkembangan semasa sektor-sektor ekonomi. Misalnya:
a) cabaran untuk menghasilkan produk dengan kos yang rendah, kualiti tinggi untuk bersaing di pasaran yang amat kompetitif.
b) cabaran untuk mempelbagaikan produk termasuk khidmat yang bertaraf global.

Nota 5: Perkembangan Bioteknologi.

1. Bioteknologi ialah penggunaan proses biologi untuk tujuan pertanian atau pembuatan seperti pembiakbakaan tisu, pengubahsuaian genetik untuk menghasilkan ubatan seperti antibiotik dan hormon, dan suplemen makanan.
2. Bioteknologi adalah jawapan kepada perkembangan subsektor makanan dan ubatan pada masa hadapan.
3. Kegiatan ekonomi berkaitan bioteknologi semakin berkembang pesat dan merupakan aktiviti yang memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi primer dan sekunder di Malaysia.
4. Usaha-usaha telah banyak dilakukan bagi memastikan sektor ini mampu memberi sumbangan kepada ekonomi negara pada masa hadapan. Pada masa kini, kegiatan bioteknologi menyumbang kira-kira lima peratus KDNK negara.