Friday, December 5, 2008

Nota 10: Konsep asas Pertumbuhan Penduduk

Pertumbuhan semula jadi.
1. Perubahan saiz penduduk, sama ada meningkat atau menurun, lazimnya dapat diperhatikan berdasarkan beberapa petunjuk seperti berikut:
(a). Kadar Kelahiran. Kadar kelahiran lazimnya dinyatakan sebagai jumlah kelahiran bayi bagi setiap 1 000 penduduk pada satu tahun. Ia dikira dengan membahagikan jumlah kelahiran dengan bilangan penduduk negara yang dikaji; (atau dengan membahagikan jumlah kelahiran dengan jumlah penduduk darab 1 000). Misalnya, jika penduduk Malaysia pada tahun 1947 berjumlah 4 908 000 orang dan jumlah kelahiran pada tahun tersebut adalah 215 915 orang, maka kadar kelahiran penduduk Malaysia pada tahun tersebut adalah 44 kelahiran bagi setiap 1 000 penduduk. Pada tahun 2001, kadar kelahiran penduduk Malaysia ialah 22 kelahiran bagi setiap 1 000 penduduk.

(b). Kadar Kematian. Kadar kematian ialah jumlah kematian bagi setiap 1 000 penduduk pada sesuatu tahun. Kadar kematian dikira dengan membahagikan jumlah kematian dengan bilangan penduduk sesebuah negara pada sesuatu tahun. Misalnya, jika penduduk Malaysia pada tahun 1947 ialah 4 908 000 orang dan kematian pada tahun tersebut ialah 98 160, maka kadar kematian penduduknya ialah 20 orang bagi setiap 1 000 penduduk. Pada tahun 2001, kadar kematian penduduk Malaysia ialah 4 orang bagi setiap 1 000 penduduk.

2. Berdasarkan dua petunjuk tersebut, kadar pertambahan penduduk semula jadi dapat dikira. Kadar pertambahan penduduk semula jadi ialah jumlah kelahiran ditolak dengan jumlah kematian yang berlaku di sesebuah negara pada sesuatu tahun. Lazimnya ia dinyatakan sebagai jumlah orang bagi 1 000 penduduk.

3. Kadar pertambahan penduduk semula jadi di negara membangun seperti Amerika Latin ialah kira-kira 25 orang bagi 1 000 penduduk setahun. Pertumbuhan tersebut tinggi jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, iaitu 9 orang, dan Jepun iaitu dua orang bagi setiap 1 000 penduduk setahun. Bagi negara Malaysia. pertumbuhan penduduk semula jadi masih agak tinggi, iaitu 18 orang bagi setiap 1 000 penduduk.

4. Penggunaan penunjuk kadar kelahiran dan kadar kematian sebagai asas untuk melihat perspektif pertumbuhan penduduk sesebuah negara lazimnya kurang tepat. Untuk mengatasinya, penunjuk kadar migrasi bersih perlu diambil kira.

(c). Kadar migrasi bersih. Sekiranya sesebuah negara atau kawasan menerima kemasukan penduduk dari luar, kemungkinan perpindahan penduduk masuk lebih penting dalam menentukan pertambahan penduduk. Kadar migrasi bersih dikira berdasarkan persamaan:

kadar migrasi bersih i = [hmi – hki / Pit + n – 0.5 (hmi – hki)] x k

di mana
hmi = migrasi masuk ke tempat i
hki = migrasi keluar dari i
Pit + n = penduduk i pada tahun t + n, iaitu meliputi tahun yang dikira
k = nilai pemalar bersamaan 100

5. Perpindahan penduduk dari luar adalah unsur penting yang mempengaruhi pertambahan penduduk di kebanyakan negara di dunia.

6. Di Asia Tenggara, jumlah penduduk asing yang berhijrah masuk terutamanya dari Eropah, selatan China dan India pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, adalah besar dan ia penting dalam meningkatkan pertumbuhan penduduk negara Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Burma, dan Filipina.

7. Dengan mengetahui penunjuk kadar kelahiran, kadar kematian dan kadar migrasi bersih, jumlah penduduk negara pada masa hadapan boleh dijangka.

8. Pertambahan penduduk semula jadi dikira dengan menolak jumlah kelahiran dengan jumlah kematian dicampur dengan jumlah penduduk tahun asas. Dengan menggunakan kadar ini dan menyesuaikannya dengan trend kadar kesuburan penduduk semasa, kita dapat menganggar jumlah pertambahan penduduk secara semula jadi untuk beberapa tahun berikutnya.

9. Kemudian, dengan mengira pertumbuhan penduduk disebabkan migrasi bersih dan mencampurkannya dengan jumlah penduduk tahun asas (awal) yang dikaji, kita dapat menganggar penduduk untuk tahun-tahun berikutnya.

Nota 9: Pertumbuhan Penduduk

1. Penduduk akan terus berkembang selagi ia diimbangi oleh pengeluaran bahan makanan.

2. Ahli kaji penduduk menjangka perkembangan penduduk akan menjadi perlahan selepas proses perkembangan ekonomi melalui pembangunan tidak lagi cekap kerana penduduk ramai.

3. Selepas tahap tersebut, pertambahan penduduk dengan sendirinya akan menjadi perlahan.

4. Disebalik pandangan para pengkaji penduduk ini, proses pertambahan penduduk dunia terus berlaku. Penduduk dunia meningkat daripada 500 juta orang pada 1650 kepada 1 000 juta orang pada 1850; meningkat lagi kepada 2 000 juta pada 1930 dan 3 000 juta pada 1960; jumlah tersebut mencapai 4 000 juta pada 1975 dan 6 000 juta pada 2000. Jika pertambahan 77 juta penduduk setahun kekal, penduduk dunia akan berjumlah 9 300 juta menjelang 2050.

5. Perubahan dalam saiz sebuah penduduk, sama ada bertambah atau berkurang adalah dikenali sebagai “pertumbuhan”.

6. Sejak tahun 1600, pertumbuhan manusia mungkin telah lima kali ganda bertambah dengan cepat, suatu yang tidak dijangka dibandingkan dengan tempoh masa sebelumnya.

7. Ada dua konsep asas yang perlu diketahui iaitu konsep pertambahan (perubahan) penduduk dan pertumbuhan penduduk. Pertambahan penduduk adalah perubahan relatif yang biasanya dinyatakan nilainya dalam peratus. Pertambahan penduduk adalah perbezaan jumlah penduduk tahun semasa dengan penduduk tahun-tahun sebelumnya sebelumnya didarab 100.

8. Manakala pertumbuhan pula dinyatakan dalam bentuk kadar yang nilainya juga dalam bentuk peratus. Persamaan yang digunakan untuk menentukan kadar pertumbuhan penduduk adalah:

r = 1/n Log e (Pn / Po) x 100
di mana r adalah kadar pertumbuhan,
n mewakili bilangan tahun,
Pn adalah penduduk tahun semasa,
Po adalah penduduk tahun asas.

atau;

r = [ t √Pn / Po – 1 ] x 100

iaitu
r adalah kadar purata pertambahan penduduk tahunan
Pn adalah penduduk tahun akhir/kemudian
Po adalah penduduk tahun awal
t mewakili bilangan tahun yang dikaji

9. Nilai kadar pertumbuhan penduduk ini lazimnya digunakan sebagai asas untuk mengukur taraf kemajuan sosial penduduk sesebuah negara.

10. Kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi menunjukkan kadar kelahiran yang tinggi, aras kesuburan yang tinggi dan kadar hijrah masuk penduduk yang tinggi.

11. Kadar pertumbuhan yang tetap akan menyumbang kepada pertambahan penduduk yang ramai. Walaupun ia merupakan satu kadar yang kecil tetapi ia menunjukkan pertambahan tahunan yang besar jika ianya berterusan untuk satu jangka masa yang panjang

Monday, December 1, 2008

Nota 8: Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan penduduk.

1. Taburan penduduk di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
2. Pertamanya adalah pengaruh fizikal muka bumi dan sumber alam.
3. Faktor fizikal meliputi bentuk muka bumi dan kesuburan tanih.
4. Lazimnya kawasan tanah pamah, rata, datar dan beralun menjadi tumpuan penduduk untuk tinggal berbanding kawasan yang bentuk muka buminya bergunung ganang, berbukit bukau, berlembah, dan berlurah.
5. Di samping itu, faktor jenis tanih, kualiti dan kesuburannya turut mempengaruhi taburan penduduk.
6. Taburan penduduk turut dipengaruhi oleh taburan sumber alam.
7. Kawasan yang mempunyai sumber alam yang diterokai dan dimajukan akan menjadi tumpuan penduduk
8. Kedua adalah faktor kegiatan ekonomi.
9. Aktiviti pembangunan sosioekonomi sesebuah kawasan mempengaruhi penumpuan penduduk.
10. Tarikan pekerjaan yang luas dalam sektor perindustrian, perkhidmatan, perniagaan dan sebagainya telah menyebabkan berlakunya migrasi masuk.
11. Sektor pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan disamping pelbagai insentif yang menarik yang disediakan seperti kemudahan rawatan percuma, kemudahan tempat tinggal, kemudahan pengangkutan dan lain-lain yang akhirnya mendorong penduduk luar bandar bertumpu di bandar.
12. Selain itu, dasar dan rancangan kerajaan terutama sekali di awal kemerdekaan, meliputi rancangan pembangunan bandar, pembangunan industri, pembangunan pertanian dan lain-lain yang masih tertumpu di kawasan dan negeri pantai barat semenanjung Malaysia menyebabkan lebih ramai penduduk tertumpu di kawasan dan negeri tersebut.
13. Seterusnya adalah faktor kemudahan sosial.
14. Nikmat pembangunan bandar seperti kemudahan pendidikan tinggi, kemudahan hospital canggih, kemudahan pengangkutan moden, kemudahan kediaman selesa, kemudahan hiburan dan lain-lain kemudahan pembandaran yang mungkin tidak ada di tempat-tempat lain mendorong penumpuan penduduk.
15. Kesannya kawasan tersebut akan mengalami pertambahan penduduk dan menjadi semakin padat.
16. Sejarah kawasan juga turut mempengaruhi taburan penduduk di Malaysia.
17. Dasar-dasar penjajah ialah memajukan kawasan dan negeri yang berpotensi sahaja dan mengabaikan kawasan yang tidak mempunyai sumber.
18. Sejarah lampau menyaksikan negeri-negeri yang kaya dengan sumber sahaja dimajukan menyebabkan penduduk tertumpu di kawasan tersebut seperti di negeri Perak dan Selangor.

Nota 7: Pola taburan penduduk Malaysia

1. Dalam tempoh antara tahun 1980 dan 2000 purata kepadatan penduduk meningkat daripada 42 orang kepada 71 orang bagi satu kilometer persegi.
2. Meskipun kepadatan purata meningkat, tetapi penduduk bertabur secara tidak sama rata.
3. Kebanyakan penduduk tertumpu di bandar-bandar utama yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi dan kawasan-kawasan delta dan lembah sungai yang subur.
4. Pada tahun 2000, 61 peratus penduduk Malaysia tertumpu di bandar-bandar utama. Penumpuan di bandar ini juga dialami di semua negeri.

Nota 6: Taburan penduduk Malaysia

1. Penduduk Malaysia pada tahun 2000 berjumlah 23.2 juta orang.
2. Angka ini merupakan pertambahan sebanyak 75 peratus kepada jumlah penduduk tahun 1950.
3. Lebih 50 peratus penduduk tertumpu di lima buah negeri iaitu Selangor 4.2.juta, Johor 2.7 juta, Sabah 2.6 juta, Sarawak 2.1 juta dan Perak 2.05 juta. Terdapat empat negeri yang penduduknya kurang daripada satu juta iaitu Perlis 204 ribu, Melaka 638 ribu, Negeri Sembilan 859 ribu dan Terengganu 899 ribu.
4. Walau bagaimanapun, bilangan penduduk bagi negeri-negeri di Malaysia hampir sekata kecuali Selangor.
5. Walau bagaimanapun, dari segi kepadatan menunjukkan taburan yang tidak seimbang.
5. Misalnya, Selangor merupakan negeri yang mempunyai penduduk ramai iaitu 4.2 juta, tetapi dari segi kepadatan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah negeri yang paling padat.
6. Keadaan ini dipengaruhi oleh dasar kerajaan, pembangunan ekonomi yang pesat serta saiz kawasan yang kecil.
7. Begitu juga negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Sabah yang mempunyai kepadatan penduduk yang rendah meskipun penduduknya ramai.

Nota 5: Faktor-faktor yang mempengaruhi taburan penduduk dunia

1. Taburan penduduk dunia dipengaruhi pertamanya oleh keadaan fizikal muka bumi.
2. Padang Pasir Sahara, Asia Tengah khususnya Mongolia, Utara Kanada, benua beku Antartika, Lembah Amazon dan Australia Tengah adalah wilayah-wilayah dunia yang kurang penduduk yang meliputi kawasan seluas 98.2 juta kilometer.
3. Wilayah ini kurang didiami kerana keadaan fizikal dan iklim yang kurang sesuai untuk manusia.
4. Sebahagian besar penduduk dunia tertumpu di kawasan lembah sungai yang subur seperti Lembah Yangtze, Lembah Ganges dan Chao Phraya kerana sesuai untuk petempatan dan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, perikanan, perindustrian dan sebagainya.
5. Keduanya ialah faktor kegiatan ekonomi.
6. Penduduk lazimnya tertumpu di kawasan bandar raya dan kawasan yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi.
7. Data yang diperolehi pada 1990 menunjukkan 43 peratus penduduk dunia tinggal di bandar.
8. Adalah dijangkakan menjelang 2015, 3.9 bilion penduduk tinggal di bandar.
9. Penumpuan penduduk di kawasan bandar adalah kerana dorongan ekonomi.
10. Bandar adalah pusat kegiatan ekonomi utama.
11. Wujudnya peluang pekerjaan yang banyak dan menawarkan kadar upah yang tinggi dan pelbagai insentif lain telah menarik ramai penduduk luar bandar berhijrah seterusnya menambahkan bilangan penduduk bandar.
12. Faktor ketiga ialah kemudahan asas.
13. Kemajuan ekonomi sering diiringi dengan penyediaan pelbagai prasarana sosial yang moden seperti jalan pengangkutan dan perhubungan, kemudahan pendidikan, kemudahan kesihatan yang moden dan kemudahan sosial lain khususnya berkaitan rekreasi, lawatan, membeli belah dan budaya.
14. Pembangunan aspek sosial ini menyebabkan kawasan-kawasan bandar besar menjadi tumpuan penduduk berbanding kawasan luar bandar yang mundur.
15. Seterusnya adalah faktor sumber alam.
16. Taburan sumber alam yang tidak seimbang turut mempengaruhi taburan penduduk.
17. Wilayah dunia yang padat penduduk adalah kawasan yang mempunyai sumber alam yang banyak dan pelbagai.
18. Sumber mineral, hutan, bahan mentah dan sebagainya diterokai dan dimajukan menyebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan penduduk.
19. Sejarah kawasan turut mempengaruhi taburan penduduk.
20. Taburan penduduk yang tidak seimbang juga boleh dikaitkan dengan sejarah kawasan sebagai petempatan awal manusia.
21. China dan India, dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia iaitu kira-kira 2.3 bilion orang merupakan pusat tamadun awal manusia.

Nota 4: Pola taburan penduduk dunia

1. Taburan penduduk dunia adalah tidak seimbang.
2. Oleh kerana sebahagian besar muka bumi diliputi air, penduduk dunia yang berjumlah lebih 6 078 juta orang bertumpu di kawasan daratan yang luasnya hanya 131 juta kilometer persegi.
3. Jika 75 peratus daripada jumlah keluasan daratan dunia yang hampir tidak didiami manusia kerana keadaan fizikal dan iklim yang kurang sesuai untuk manusia di ambil kira, penduduk dunia bertumpu di kawasan seluas 34 juta kilometer persegi.
4. Terdapat beberapa wilayah di dunia yang tidak mempunyai ramai penduduk. Kawasan seperti padang pasir Sahara yang menganjur 1 600 km dari pantai Atlantik di barat sehingga ke Timur sampai ke Arabia, Afghanistan, hingga Asia Tengah khususnya Monggolia, kecuali beberapa kawasan kecil seperti Lembah Nil dan Turkestan, kawasan lainnya kurang didiami.
5. Kawasan utara kanada, benua beku Antartika, Lembah Amazon di Amerika Selatan dan Australia Tengah, rata-rata hampir tidak didiami manusia.
6. Wilayah paling padat penduduk di dunia ialah Asia Timur yang meliputi China, Jepun, Korea, Filipina dan Vietnam. Negara China sahaja menampung 1 279 juta penduduk.
7. Tumpuan penduduknya ialah di pesisiran pantai dari utara ke selatan sepanjang 1 600 kilometer.
8. Kawasan lain yang juga padat penduduknya terdapat di lembah Yangtze dan dataran China Utara termasuk Lembah Sungai Kuning.
9. Wilayah yang padat dengan penduduk juga terdapat di Asia Selatan. Tumpuan penduduk di kawasan ini ialah di lembah sungai yang subur seperti Lembah Ganges.
10. Selain tumpuan penduduk yang berbeza mengikut wilayah, penduduk lazimnya bertumpu di bandar raya dan kawasan yang mempunyai banyak kegiatan ekonomi.
11. Dianggarkan pada tahun 1950, peratusan penduduk dunia yang tinggal di bandar ialah kira-kira 30 peratus meningkat kepada 43 peratus pada 1990 dan dijangka mencapai 61 peratus pada 2050.
12. Trend penumpuan penduduk di bandar raya-bandar raya amat ketara di negara-negara membangun kesan penumpuan program-program pembangunan di bandar-bandar utama.
13. Pada tahun 2015, dianggarkan 3.9 bilion penduduk akan mendiami kawasan bandar dan lebih 40 peratus akan mendiami bandar yang mempunyai penduduk melebihi satu juta orang.
14. Menjelang 2015 juga, 375 juta penduduk akan mendiami 23 buah “megacities” atau kawasan bandar yang mempunyai penduduk melebihi 10 juta seperti Tokyo, Mumbai, Lagos, Dhaka, dan Sao Paulo.