Monday, December 1, 2008

Nota 3: Taburan penduduk dunia mengikut wilayah.

1. Penduduk dunia telah melebihi 6.1 bilion pada 2001 dan tumbuh pada kadar 1.3 peratus atau 77 juta orang setahun.
2. Dengan kadar pertumbuhan sedemikian, penduduk dunia dijangka akan melebihi 9 000 juta pada 2050.
3. Dari segi taburan, Lebih 60 peratus penduduk dunia tertumpu di benua Asia, 13.2 peratus tertumpu di Afrika dan 12 peratus di Eropah, manakala 14 peratus lagi di benua Amerika dan Oceania
4. Adalah dijangkakan antara 1950 – 2050, sebahagian besar penduduk dunia tertumpu di benua Asia.
5. Namun, perubahan ketara berlaku pada taburan penduduk benua Afrika dan Eropah.
6. Menjelang 2050, penduduk benua Afrika akan berjumlah 1 786.1 juta orang berbanding 227.3 juta pada 1950. Bagi benua Eropah pula, bilangan penduduk akan berkurangan pada 2050 iaitu 652.5 juta berbanding 728.5 juta pada 2000.

Nota 2: Penduduk sebagai Agen Perubahan

1. Selain berpotensi sebagai sumber, penduduk juga merupakan agen perubahan.
2. Peranan penduduk sebagai agen perubahan boleh dilihat melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi yang dijalankan.
3. Aktiviti pembangunan sosioekonomi adalah gabungan aktiviti ekonomi dan aktiviti sosial.
4. Aktiviti ekonomi dirujukkan kepada penerokaan hutan, pembangunan pertanian, perlombongan. pembuatan dan perkhidmatan.
5. Aktiviti sosial pula merujuk kepada kegiatan pendidikan, rawatan kesihatan, rekreasi, budaya, membeli belah dan lawatan.
6. Terdapat tiga perubahan yang dilakukan oleh penduduk melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi.
7. Pertamanya, perubahan terhadap ruang fizikal.
8. Penduduk bertindak melalui pelbagai cara terhadap persekitaran fizikalnya.
9. Secara umumnya, penduduk sering bertindak terhadap tanah, tanih, kawasan pertanian, air, udara dan hutan termasuk tumbuhan serta haiwan.
10. Antara tindakan yang dilakukan oleh penduduk termasuklah penerokaan tanah untuk kawasan kediaman, pembinaan petempatan desa dan bandar, pembukaan kawasan pertanian, perindustrian dan perniagaan, pembangunan rangkaian perhubungan dan pengangkutan.
11. Tindakan ini akan menghasilkan perubahan ruang fizikal.
12. Berlakunya hakisan cerun, pencemaran alam sekitar, bencana alam yang kerap dan sebagainya adalah kesan tindakan penduduk terhadap ruang fizikalnya.
13. Keduanya, aktiviti pembangunan sosioekonomi penduduk turut mempengaruhi kemajuan ekonomi di sesebuah negara.
14. Kemajuan ekonomi boleh dikesan melalui perubahan pekerjaan, pendapatan dan pemilikan harta benda.
15. Aktiviti pembangunan sosioekonomi seperti penerokaan hutan, pembangunan pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan telah menyediakan pelbagai pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan, meningkatkan pendapatan perkapita seterusnya dapat mengurangkan kadar kemiskinan, dan meningkatkan taraf sosial penduduk.
16. ketiga, aktiviti pembangunan sosioekonomi penduduk telah mengubah taraf sosial atau kualiti hidup penduduk.
17. Kemajuan ekonomi yang dijana melalui berbagai-bagai kegiatan ekonomi telah membantu kerajaan sesebuah negara menyediakan pelbagai prasarana sosial.
18. Prasarana sosial ini telah meningkatkan kadar literasi di kebanyakan negara, meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan mengubah mentaliti penduduk ke arah lebih moden.
19. Keadaan ini dikenali sebagai perubahan sosial.
20. Perubahan sosial merupakan fenomena yang sentiasa berlaku dalam sesebuah masyarakat.
21. Perubahan sosial bolehlah didefinisikan sebagai perubahan yang berlaku terhadap masyarakat dari satu tingkat kehidupan ke satu tingkat kehidupan yang lain.
22. Perubahan sosial dapat dilihat melalui peningkatan kualiti hidup seperti daripada segi taraf pendidikan, kesihatan, budaya dan pemikiran.

Nota 1: Penduduk sebagai Sumber

1. Penduduk dianggap sebagai sekumpulan manusia yang mendiami sesuatu kawasan atau negara.
2. Penduduk merupakan satu sumber kerana potensinya sebagai tenaga kerja yang akan membantu dalam pembangunan ekonomi negara. Tenaga kerja yang produktif akan menyumbang ke arah pembangunan berbanding tenaga kerja yang tidak produktif. Bagaimana kita boleh menentukan produktiviti penduduk?
3. Potensi penduduk sebagai sumber/tenaga kerja yang produktif, dilihat pertamanya dari segi bilangannya. Pada masa kini, penduduk ramai yang dimiliki oleh sesebuah negara banyak membantu pembangunan ekonomi negara berkenaan.
4. Negara seperti China dan India, telah membangun dengan pesat kerana salah satu faktornya adalah bilangan penduduknya yang ramai.
5. Ini kerana penduduk yang ramai, jika diberi pendidikan dan kemahiran, berpotensi menjadi tenaga kerja yang baik dan mampu menarik pelaburan asing.
6. Penduduk yang ramai ini juga dapat digamblengkan untuk memajukan negara melalui penglibatan mereka di sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing
7. Penduduk yang ramai juga mempengaruhi pasaran sesuatu barangan apa tah lagi jika dibantu oleh kuasa beli yang juga tinggi.
8. Selain bilangan, potensi penduduk sebagai sumber juga ditentukan oleh struktur umur dan jantina penduduk.
9. Struktur umur dan jantina boleh mempengaruhi corak guna tenaga yang ada di sesebuah kawasan atau negara.
10. Mudahnya, struktur umur penduduk boleh dibahagikan kepada tiga iaitu golongan kanak-kanak, golongan muda/dewasa dan golongan tua.
11. Penduduk muda yang terlatih boleh menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara. Sementara kehadiran ramai penduduk tua dan kanak-kanak selalunya dikaitkan dengan besarnya jumlah tanggungan keluarga dan negara. Ini bermaksud, negara yang mempunyai penduduk muda yang ramai memiliki kelebihan menjadi negara maju.
12. Jantina pula boleh dikaitkan dengan jenis aktiviti ekonomi, misalnya sektor industri berat yang memerlukan kekuatan tenaga fizikal manusia seperti kilang memasang kereta, membungkus baja dan kilang petrokimia lazimnya memerlukan lebih ramai pekerja lelaki. Manakala industri yang berintensif buruh seperti kilang yang menghasilkan produk barangan elektrik dan elektronik pula memerlukan ramai pekerja wanita.
13. Terakhir, potensi penduduk sebagai sumber yang produktif dipengaruhi oleh kualiti penduduk.
14. Kualiti penduduk merujuk kepada taraf pendidikan, kemahiran, kesihatan dan sikap.
15. Misalnya, penduduk sesebuah kawasan yang terdidik (lepasan universiti dan kolej), mahir dan berpengalaman mengendalikan peralatan kilang yang moden, sihat tubuh badan dan mempunyai sikap terbuka, boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, lazimnya lebih berkualiti dan mampu menarik pelaburan.
15. Oleh itu, kualiti penduduk dapat menentukan tahap pembangunan sesebuah negara atau kawasan.

Ramai tidak bersekolah di negara miskin

GENEVA: Seorang daripada lapan kanak-kanak di negara membangun tidak memperoleh pendidikan sekolah rendah, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini bermakna sasaran untuk memberi pendidikan di peringkat sekolah rendah bagi semua kanak-kanak dunia menjelang 2015 tidak akan tercapai. Daripada kira-kira 75 juta kanak-kanak di negara membangun yang tidak mendapat pendidikan sekolah rendah, kira-kira 65 peratus adalah kanak-kanak perempuan.
Di sub-Sahara Afrika, menurut laporan Pertubuhan Budaya, Saintifik dan Pendidikan PBB (Unesco), kira-kira satu pertiga kanak-kanak tidak berpeluang bersekolah, walaupun ada kemajuan di Tanzania dan Habsyah. "Kanak-kanak di Britain atau Perancis mempunyai lebih banyak peluang ke universiti berbanding kanak-kanak di Nigeria atau Senegal menamatkan persekolahan rendah. Pada masa sama, 20 peratus kanak-kanak daripada keluarga miskin di Habsyah, Mali dan Nigeria adalah tiga kali kurang kemungkinan untuk mendapat pendidikan sekolah rendah berbanding 20 peratus kanak-kanak daripada keluarga kaya, menurut laporan berkenaan. - Reuters

dipetik dari Berita Harian. November 2008.

5 STRATEGI PEMBANGUNAN EKONOMI SEIMBANG

1. Penyediaan infrastruktur fizikal
2. Pelaburan modal insan dan pendidikan supaya semua peluang dalam lingkaran ekonomi dapat dimaksimumkan
3. Kesungguhan mendapat pendidikan
4. Kepelbagaian sumber pertumbuhan
5. Pembangunan luar bandar

Lapan Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MPAB)

1. Membasmi kemiskinan melampau dan kelaparan.
2. Mencapai pendidikan rendah di seluruh dunia.
3. Menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita.
4. Mengurangkan kematian kanak-kanak.
5. Memperbaiki kesihatan ibu.
6. Menangani penyakit HIV/Aids, malaria dan wabak lain.
7. Memastikan kemampanan alam sekitar.
8. Membentuk perkongsian global untuk pembangunan.

4 Tonggak Pendidikan Untuk Abad 21

1. Belajar untuk mengetahui
2. Belajar untuk melakukan
3. Belajar untuk menjadi
4. Belajar untuk hidup bersama