Sunday, November 30, 2008

Wanita AS jual benih tampung krisis kewangan



CHICAGO: Semakin ramai wanita muda Amerika Syarikat berlumba-lumba menawarkan diri sebagai ibu tumpang atau menyumbangkan telur kepada pasangan bermasalah bagi mendapatkan wang berikutan krisis kewangan yang menyelubungi negara maju berkenaan. Usaha itu pula bukannya memberi pulangan kecil sebaliknya membolehkan wanita berkenaan memperoleh pendapatan lumayan mencecah kira-kira RM90,500 seorang. Stesen penyiaran CBS melaporkan semalam, pendedahan mengejutkan itu diakui syarikat terbabit dalam perkhidmatan itu, Alternative Reproductive Resources yang mendakwa peningkatan bilangan ibu tumpang dan penyumbang telur itu secara ketara iaitu lebih 30 peratus.
Malah, mereka menerima banyak panggilan setiap hari daripada wanita yang menawarkan diri untuk bergelar ibu tumpang dan penyumbang telur. "Dalam erti kata lain, semakin ramai yang sanggup melakukan sedemikian demi mendapatkan wang secara mudah. Jika sebelum ini kami menerima 50 hingga 60 panggilan sehari, kini jumlah panggilan itu mencecah 75 hingga 100 panggilan," kata Presiden syarikat, Robin von Halle. – Agensi
sumber: Berita Harian. November 2008.